Siapa tahu apakah itu penyakit pekerjaan? Mesti ramai yang fikir penyakit MALAS kan? Sebenarnya penyakit pekerjaan adalah penyakit atau kemalangan yang disebabkan oleh faktor keselamatan atau persekitaran di tempat kerja yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja perlulah diberi penekanan yang serius bagi memastikan setiap anggota kerja selamat dan bebas daripada kesan kesihatan (penyakit) di samping kebajikan pekerjaan diambil kira.
Memandangkan betapa seriusnya hal ini, pihak KMCS telah menganjurkan satu ceramah berkaitan ‘Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan’ bertempat di Bilik Limar, IKN Rawang, pada 16 Mac 2011. Mengambil masa selama dua jam, ceramah ini telah dimulakan oleh En. Rushdan selaku juru acara majlis telah mengalu-alukan kedatangan penceramah yang dijemput khas dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negeri Selangor iaitu Encik Zulkarnain bin Mohd Falim (En. Zul). Ceramah ini bermula dari pukul 9.00 hingga 11.00 pagi telah melibatkan semua warga KMCS dan beberapa warga IKN yang terlibat.
Walaupun ia dianggap remeh oleh sesetengah pihak, namun ceramah ini telah memberikan kesedaran kepada kami bahawa betapa pentingnya aspek keselamatan dan kesihatan ini dititik beratkan kerana kita semua terlibat secara langsung dan sentiasa terdedah kepada agen-agen hazard (bahaya) seperti hama, bahan kimia, habuk, persekitaran tempat kerja yang merbahaya dan sebagainya.
Banyak ilmu yang telah dikongsikan oleh En. Zul demi kebaikan bersama. Kami juga akan memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi dalam memastikan semua warga kerja KMCS khususnya selamat dan sentiasa bersemangat dalam menjalankan tugas kita sebagai kakitangan awam yang sentiasa maju ke hadapan, InsyaAllah…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan