Seronoknya rasa hati bila kita sentiasa diingati. Yang bagusnya bukan ingat saja, malah datang melawat sekali. Setelah hampir beberapa bulan tidak menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya, tiba-tiba dapat panggilan telefon yang menyatakan mereka ingin datang melawat. Alang-alang hendak datang ke KMCS, boleh juga bawa mereka melawat IKN. Sekurang-kurangnya banyak ilmu pengetahuan tentang kraf dapat dipelajari.
Semalam (Selasa, 26 April 2011), masa yang dinanti telah tiba. Seramai 10 anggota kerja daripada Perbadanan Putrajaya (Jabatan Landskap dan Taman) telah tiba di perkarangan pejabat KMCS lebih kurang pukul 10.00 pagi. Mereka telah disambut oleh En. Rushdan, Cik Mursyida, Cik Seri dan En. A’A. En. Razali, warga kerja IKN dari Jurusan Rotan telah siap menanti kedatangan kami. Peserta lawatan telah dibawa ke Bilik Pameran pelajar Jurusan Rotan. Apa lagi, masing-masing teruja dengan hasil kerja yang telah dipamerkan. Itu baru satu bilik pameran. Belum sampai lagi bilik pameran yang lain.
Kami bergerak menuju ke lobi bangunan HEP IKN kerana Puan Che Salmah dan Puan Aisyah telah lama menanti. Setelah memberi penerangan ringkas berkaitan IKN, mereka dibawa melawat ke bengkel Jurusan Kayu, bengkel Jurusan Logam, bengkel Jurusan Seramik, bengkel Jurusan Batik, bengkel Jurusan Seni Tenunan dan berakhir di pejabat KMCS. Walaupun penat, mereka kelihatan begitu gembira kerana banyak maklumat baru yang telah diperolehi.
Puan Pengarah KMCS sempat meluangkan masa untuk beramah mesra, berbual-bual sambil berkenal-kenalan kerana pertama kali bersua muka. Harapan beliau agar jalinan kerjasama yang sedia terjalin dapat diperkukuhkan demi kebaikan bersama. Sesi lawatan telah berakhir dengan jamuan makan tengah hari ala kadar pada pukul 1.00 tengah hari.
Buat teman-teman dari Perbadanan Putrajaya, “terima kasih di atas ingatan dan kerjasama yang telah diberikan kepada KMCS dan usahawan kraf selama ini. Harapan kami agar KMCS dan Perbadanan Putrajaya akan terus bekerjasama demi memelihara seni warisan negara agar terus diminati oleh generasi muda di samping membantu usahawan dalam mempromosikan produk kraf mereka kepada pelancong khususnya di Putrajaya. Jika sebelum ini jalinan kerjasama hanya melibatkan KMCS namun kini telah diperkembangkan dengan gabungan bersama IKN, insyaAllah”.
Kepada Puan Che Salmah, Puan Aisyah dan semua warga IKN yang terlibat dalam menjayakan lawatan ini, kami di KMCS amat berterima kasih dengan kerjasama yang telah dihulurkan. Hanya Allah saja yang dapat membalas budi baik kalian. “Terima Kasih Setulus Ikhlas…”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan