HALAMAN

Rabu, 13 November 2013

JOM PAKAT MAI RAMAI-RAMAI KE PESTA KONVO IKN

Rasanya baru saja kami membantu menyelaras Promosi Kraf Sempena Pesta Konvokesyen IKN 2012, sedar-sedar 'ia' datang lagi tahun ini. Cepat benar masa berlalu meninggalkan kita. Setahun sudah berlalu walaupun rasanya masih baru berlangsung, subhanallah.

Kami, warga KMCS berbesar hati menjemput pembaca blog KMCS untuk datang ramai-ramai bagi memeriahkan Pesta Konvo yang belangsung bermula pada hari ini, 13 hingga 16 November 2013 bertempat di Institut Kraf Negara, Templer Park, Rawang. 

Banyak aktiviti menarik menanti anda. Ada aktiviti jualan produk kraf, jualan produk FAMA, pameran hasil seni pelajar, jualan produk hasilan pelajar yang murah-murah dan banyak lagi. Jadi, apa tunggu lagi, jom pakat mai ramai-ramai.


Jumaat, 8 November 2013

TAHNIAH CIK MARSHILA MARZUKI


Assalam dan Salam Jumaat penghulu segala hari. Semoga hari ini akan memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada kita semua, insya-Allah. Seperti biasa pada hari Jumaat yang penuh barakah ini kami warga KMCS akan bersama-sama berada dalam Majlis Ilmu dan Bacaan Yassin. Semoga Allah menerima dan memakbulkan segala doa-doa serta mengampunkan dosa-dosa kita, ibu bapa, ahli keluarga, rakan-rakan, muslimin dan muslimat, amin.

Pagi ini, ada perkhabaran yang sungguh menggembirakan kami di KMCS. Apa dia agaknya ya? Salah seorang warga KMCS, Cik Marshila Marzuki telah menyertai Pameran 'Batik On Paper' yang telah diadakan di Lobi Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur yang telah bermula pada 24 Oktober 2013 yang lalu. Apa berita yang gembira tu? Pagi tadi pihak penganjur telah menghubungi Pengarah dan memaklumkan bahawa hasil karya Cik Shila kita telah dibeli oleh Dato' Nik Kamarudin, salah seorang pengumpul karya seni (art collector). Kami di KMCS mengucapkan tahniah kepada Cik Marshila dan doa kami agar beliau akan lebih berjaya di masa hadapan, insya-Allah.






Khamis, 7 November 2013

TAHNIAH CIK SRI NORHAFEEZA


Erm... Maafkan saya kerana terlepas pandang untuk mengucapkan tahniah kepada Cik Sri Norhafizah atau dengan panggilan mesranya Sri kerana telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Sulaman Bantal yang telah diadakan pada 2 Oktober 2013 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Pertandingan ini diadakan sempena Promosi Seni Taman dan Hiasan Dalaman yang telah diadakan pada 27 September hingga 6 Oktober 2013. 

Walaupun hampir sebulan telah berlalu, namun kami di KMCS tetap berbesar hati untuk mengucapkan tahniah kepadanya. Doa kami semua, agar Cik Sri akan lebih berjaya di masa hadapan dan sentiasa meneruskan usaha serta minatnya dalam bidang rekaan dan jahitan sehingga ke peringkat yang lebih baik di masa akan datang, insya-Allah.