HALAMAN

Rabu, 4 Januari 2012

CERAMAH AGAMA - TRANSFORMASI KERJAYA DALAM KONSEP HIJRAH


Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah kerana dengan rahmat-Nya kita masih lagi diberikan segala nikmat terutamanya nikmat yang tidak terhingga iaitu masih dapat bernafas di bumi Allah yang penuh barakah ini. Walaupun kita sering dihimpit dengan pelbagai ujian dan dugaan dalam melayari kehidupan ini, namun Allah sentiasa bersama kita dan tidak pernah meninggalkan kita walaupun sesaat.  Nikmat Allah sentiasa ada dan cuma kita sebagai hamba-nya ini yang sering kali terleka dengan nikmat dunia sehingga sering melupakan-Nya.

 
Sempena meraikan sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, KMCS telah mengambil kesempatan untuk mengadakan ceramah agama bertajuk Transformasi Kerjaya Dalam Konsep Hijrah. Ceramah agama ini telah diadakan pada 28 Disember 2011 dan telah disampaikan oleh YBhg Ustaz Husni Mubarak. Ceramah yang begitu santai telah berjaya membuka mata dan minda kami untuk melakukan perubahan dalam kehidupan terutamanya dalam bidang kerjaya.

Beberapa inti pati ceramah yang boleh kami kongsikan bersama rakan-rakan pembaca ialah:

1.    Bersyukur kerana kita telah dikurniakan TIGA (3) nikmat yang paling berharga iaitu Islam, Iman dan nikmat dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad s.aw.; 

2.   Sentiasa menjaga keberkatan rezeki kerana rezeki yang baik akan membentuk sahsiah diri dan anak-anak; 

3. Budaya menuntut ilmu yang berterusan kerana ilmu merupakan pemimpin dalam kehidupan kita;

4.  Memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan memperbanyakkan amalan-amalan  yang baik seperti solat, berzikir, berdoa memohon keredhaan Allah, membaca Al-Quran dan sebagainya.

5.  Perlu menggunakan waktu bekerja dengan baik supaya rezeki yang diperolehi sentiasa diberkati oleh Allah s.wt.

6.  Kita perlu memahami keutamaan dalam melaksanakan kerja seharian.  Kita haruslah melaksanakan kerja mengikut kepentingan. Kerja yang penting harus diselesaikan dahulu kemudian barulah melaksanakan kerja-kerja yang kurang penting.

Di akhir sesi ceramah, kami telah diberikan masa untuk mengemukakan soalan dan kemusykilan dan Alhamdulillah Ustaz yang cukup sporting ini telah berjaya menjawab soalan kami dengan baik. Masing-masing amat berpuas hati dengan kandungan ceramah yang diberikan sehingga kami merasakan begitu cepat masa berlalu. Insya-Allah, ilmu yang kami perolehi bersama ustaz akan kami manfaatkan dengan sebaik-baiknya.  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan