HALAMAN

Selasa, 29 Mei 2012

SKUAD J1M1K MENERUSKAN JELAJAH…


  
Pada 23 Mei yang lalu Skuad J1M1K KMCS telah bergerak ke destinasi seterusnya bagi ekspedisi Jelajah 1Murid 1Kraf dan kali ini telah membawa kami ke sebuah sekolah tidak jauh dari bandar Rawang. Sekolah yang terpilih bagi kali ini ialah Sekolah Kebangsaan Bandar  Sg. Buaya, Rawang.  Kedatangan kami telah disambut mesra oleh Cikgu Zuriani dan guru-guru sekolah ini yang sememangnya begitu peramah dan ceria. Guru besar sekolah ini yang mesra dipanggil sebagai “Ayahanda” oleh guru-guru dan murid-murid juga turut serta menyambut kedatangan kami pada pagi itu.

Seperti biasa, aktiviti J1M1K ini akan bermula dengan sesi pengenalan mengenai batik di samping menerangkan kegunaan dan kepelbagaian produk daripada batik serta demonstrasi mencanting batik kepada para peserta yang terlibat. Pada kali ini, seramai 71 orang murid dan 12 orang guru telah mengambil kesempatan untuk mencuba menghasilkan lukisan batik.


Nampak seperti mudah, tapi belum cuba belum tahu… Ketika sesi penerangan, kelihatan adik-adik di sini begitu tekun mendengar namun, apabila diberi peluang untuk mencuba barulah mereka sedar mencanting batik ini memerlukan daya kreativiti dan kesabaran yang tinggi. Tapi, kami tetap yakin mereka ini bijak-bijak belaka. Mana kan tidak, lihat saja kepada hasil lukisan masing-masing sudah membuktikan mereka ini berbakat. Guru besar juga amat teruja apabila melihat ‘anak didik’ beliau begitu berkebolehan dan mula merancang untuk mengadakan aktiviti seterusnya untuk program akan datang.

Skuad J1M1K pada kali ini begitu terharu dengan kerjasama dan layanan yang diberi. Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana telah memberikan komitmen yang begitu baik demi membangunkan anak bangsa. Kiranya, masih belum terlewat bagi kami Skuad J1M1K untuk mengucapkan “Terima Kasih dan Selamat Hari Guru”.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan