HALAMAN

Khamis, 3 Oktober 2013

MOTIVASI - UBAT HATI


Sedar atau tidak ramai di antara kita tidak mempunyai ketenangan hati. Ini kerana mereka mencari ketenangan tidak pada sumbernya. Di anggapnya harta memberi ketenangan, maka diburunya harta, akhirnya harta itu jugalah yang merungsingkannya. Diburunya pangkat, disangka pangkat memberi ketenangan padanya, rupanya, dengan pangkat, lagi tidak tenang, lantaran takut pangkatnya hilang.

Inilah manusia. Allah menyatakan di dalam al-Quran bahawa Allahlah pemilik ketenangan dan Dia hanya memberikannya pada hati orang yang beriman. Mari kita renung, kesilapan mencari tenang dan bagaimanakah ubatnya.

1. Ramai orang mencari ketenangan dengan sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka melihat keaiban orang lain, tidak redha. tidak bersyukur dan sebagainya, tetapi hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada sifat mazmumah itu ketenangan. Ubat bagi hati seperti ini ialah dengan menanam dan menyuburkan sifat mahmudah

2. Ramai orang mencari ketenangan dengan melakukan maksiat seperti bergaul lelaki perempuan, mendengar muzik dan sebagainya. tetapi hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada maksiat itu mendatangkan ketenangan. Ubat bagi sikap seperti ini ialah dengan menggantikan setiap maksiat dengan ketaatan

3. Ramai orang mencari ketenangan dengan memperbanyakkan harta yang tidak tahu apakah sumbernya, hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada harta yang haram itu mencukupkan. Ubat bagi hati tamakkan harta sehingga terlibat dengan yang haram ialah dengan mencari dan berusaha kepada harta yang halal

4. Ramai orang merasa puas jika bersikap bongkak dengan manusia. Jika dia berpangkat, boleh tengking orang, boleh arah orang dengan kasar dan dia seolah-olah rasa puas sedangkan Allah tidak akan menjadikan pada kesombongan itu kemuliaan. Ubat bagi penyakit ini ialah melatih hati supaya sentiasa tawadhuk.

5. Ramai orang lalai melayan perasaan sedihnya sedangkan Allah tidak menjadikan pada putus asa itu jalan keluar. Ubat bagi penyaki ini ialah kesabaran

6. Ramai orang yang cuba mencari kepuasan dengan dunia, dicubanya berbagai aktiviti supaya hatinya puas sedangkan Allah tidak menjadikan pada cinta dunia itu kepuasan, ubat bagi hati yang demikian ialah memperkukuhkan hati mencintai Allah. Dua cinta tidak akan duduk di dalam satu hati. Jika seorang telah mencintai dunia, maka cinta Allah payah ingin dirasakan.

7. Ramai orang yang merasa puas jika dia marah-marah sedangkan Allah tidak menjadikan pada marah itu hikmah. Ubat bagi hati dan lidah yang marah ialah menanamkan cinta akhirat. Dengan demikian, rasa tidak puas hati pada dunia akan kurang.

Demikianlah beberapa keadaan hati dan ubatnya, semoga memberi manfaat kepada kita semua, amin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan