Jumaat, 6 November 2009

SEJARAH WAU NEGERI SELANGOR




Dipercayai bahawa mengikut sejarah orang-orang lama wau kapal adalah menjadi simbol bagi Negeri Selangor. Kisah ini diambil berdasarkan kepada cerita lama, bahawa selepas musim menuai padi, para petani terpaksa menunggu musim padi yang akan datang iaitu selama satu tahun, dan bagi mengisi kelapangan masa itu mereka cuba mencari keseronokan dengan bermain wau / layang-layang.

Di sebalik nama wau kapal tersembunyi kisahnya yang tersendiri, ini adalah kerana nama wau kapal diilhamkan dari gabungan dua bahagian iaitu nelayan dan juga petani, mereka mengambil gabungan nelayan adalah kerana pada masa itu kawasan pertanian padi dan tempat permainan wau / layang-layang adalah berhampiran dengan laut. Jika dilihat dari reka bentuk wau / layang-layang itu sendiri dapat dilihat bahawa reka bentuk bawah ataupun ekornya adalah berbentuk kapal ( yang melambangkan nelayan ), manakala bahagian atas ataupun kepaknya berbentuk bujur ( yang melambangkan petani ).

Reka corak dan motif wau kapal adalah di ambil dari reka corak telepuk yang mempunyai maksud yang tersendiri, reka corak ini di buat bagi menambahkan lagi kecerian sesuatu wau / layang-layang.

Berbagai-bagai jenis wau / layang-layang yang terdapat di Malaysia di antaranya ialah :

v Wau kapal
v Wau burung
v Wau kucing


v Wau bulan


v Wau jala budi
v Wau lenggang kebayan
v Wau Puyuh




v Wau Kangkang



v Wau katak
v Wau bayan
v Wau barat
v Wau merak
v Wau Hodo Helang














Khamis, 22 Oktober 2009

PENDIDIKAN KRAF LAYANG-LAYANG

Permainan wau atau lebih dikenali sebagai layang-layang pada suatu ketika dulu menjadi permainan popular terutamanya di kawasan pedalaman seperti di kawasan pantai dan kawasan lapang seperti sawah padi, padang dan sebagainya. Namun kini, permainan ini telah menjadi popular bukan sahaja di kawasan pedalaman tapi juga amat digemari oleh masyarakat pelbagai kaum di bandar.

Sehubungan itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor telah mengambil inisiatif untuk mengadakan aktiviti pendidikan kraf wau dan layang-layang bagi memberi peluang dan pendedahan kepada golongan pelajar khususnya, untuk mempelajari seni pembuatan layang-layang. Usaha ini merupakan langkah pemuliharaan agar seni kraf pembuatan layang-layang ini tidak tenggelam di telan zaman.

Bertepatan dengan itu, satu bengkel pendidikan kraf pembuatan layang-layang telah dilaksanakan bertempat di Sekolah Kebangsaan Parit 6, Sungai Besar, Selangor pada 15 Ogos 2009 yang lalu. Bengkel ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Homestay Air Manis, lima orang ahli daripada Persatuan Layang-Layang Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam.

Sebanyak 17 buah sekolah menengah di Daerah Sabak Bernam telah mengambil bahagian di mana seramai 100 orang pelajar terlibat beserta lima orang tenaga pengajar. Bengkel ini telah dibahagikan kepada 4 kumpulan di mana setiap kumpulan terdiri daripada 25 orang peserta dan seorang tenaga pengajar, bagi setiap kumpulan.

Aktiviti bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 4 petang. Setiap peserta telah berjaya menyiapkan layang-layang mereka mengikut kreativiti sendiri. Selepas itu, layang-layang tersebut telah dinaikkan di kawasan petak-petak sawah yang kosong seperti mana dimainkan pada zaman dahulu. Apa yang menarik, pelbagai warna dan bentuk layang-layang telah terbang menghiasi ruang udara, menjadikan pemandangan pada petang itu begitu unik dan cantik.

Walaupun sedikit kepenatan, namun tergambar kegembiraan dan kepuasan di wajah masing-masing. Mereka amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana aktiviti seumpama ini bukan sahaja menarik, namun ianya turut mengeratkan hubungan dan mewujudkan perpaduan di kalangan peserta. Bagi kakitangan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor, kami amat berpuas hati dan gembira dengan kerjasama yang telah diberikan oleh pelbagai pihak berkaitan dalam menjayakan aktiviti ini.

Selamat Maju Jaya....

Rabu, 9 September 2009

CHILDRENCARE ARTS AND CRAFTS DAY



Pada 29 hingga 31 Mei yang lalu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dengan kerjasama Great Eastern Mall telah melangsungkan program Childrencare Arts and Crafts Day bertempat di pusat membeli belah Great Eastern, Jalan Ampang.



Aktiviti ini diadakan bagi mengumpul dan menyampaikan sumbangan kepada 10 buah rumah kebajikan dan rumah kanak-kanak kurang upaya di sekitar Lembah Klang yang telah dipilih oleh pihak Great Eastern Mall sendiri. Selain itu, aktiviti ini memberi peluang kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini untuk mempelajari cara-cara menghasilkan produk kraf seperti mencanting batik, anyaman rotan dan mempelajari teknik hiasan permukaan seramik.

Aktiviti seumpama ini merupakan permulaan bagi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dalam menjalankan tanggungjawab sosial dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik untuk mengumpul dana bagi meneruskan kehidupan mereka ke tahap yang lebih baik.

Bagi memeriahkan lagi program ini, demonstrasi kraf seramik India telah dipertontonkan kepada orang ramai untuk menarik minat di samping dapat memberi pendedahan tentang penghasilan tembikar masyarakat India menggunakan kaedah pembuatan seramik tradisional dan pengunjung boleh melihat secara dekat penghasilan produk tersebut.

Menurut Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor, Encik Mohd Yusof bin Abd. Rani, berkata "walaupun ianya merupakan program amal namun, pihak kami berharap ianya sedikit sebanyak dapat membantu dalam menyumbangkan dana kepada mereka yang lebih memerlukan di samping memperkenalkan produk kraf kepada pengunjung dan pelancong yang datang."

Latar Belakang PKKM Cawangan Selangor

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor telah di tubuhkan hasil keputusan Mesyuarat Jawatan Kuasa Pengurusan Ibu Pejabat pada November 2002 yang memutuskan untuk membuka Pejabat cawangan Kraftangan Malaysia di Selangor. Shah Alam telah dipilih bagi menempatkan pejabat cawangan ini memandangkan Shah Alam adalah ibu negeri Selangor. Dengan itu, ianya akan memudahkan orang ramai untuk berurusan dengannya. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor ditempatkan di Bangunan Dagangan UMNO Shah Alam, Seksyen 11.

Cawangan Selangor dengan rasminya telah beroperasi pada 1 Februari 2003 dengan anggota kerja seramai 3 orang. Pada Tahun 2009, Pengarah Cawangan Selangor telah ditukarkan ke Ibu Pejabat dan telah digantikan dengan Pengarah yang baru menjadikan semua anggota kerja cawangan ini seramai 14 orang. Program utama yang dijalankan oleh cawangan ini ialah Pembangunan Usahawan, Penyelidikan & Pembangunan, Pemasaran Promosi Domestik, Pemuliharaan Kraf dan Pentadbiran & Kewangan. Sejak penubuhannya hingga kini, pelbagai program dan aktiviti yang diaturkan bagi membantu usahawan telah berjalan dengan lancar seiring dengan visi kami "menjadi pemimpin dalam pertumbuhan, pembangunan dan promosi industri kraf yang kukuh dan berdaya saing".

Promosi Aidilfitri One Utama



Hanya tinggal beberapa hari lagi bagi umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mengambil kesempatan ini, ramai warga kota berpusu-pusu membeli belah sebagai persiapan akhir sebelum menyambut hari lebaran yang di nanti-nantikan. Bertepatan dengan itu, pusat membeli-belah One Utama, Damansara dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor telah menganjurkan Promosi Aidilfitri yang telah mengenengahkan lima orang usahawan kraf pelbagai bidang bagi menjayakan program tersebut.

Demonstrasi anyaman rotan, mencanting batik dan anyaman ketupat merupakan aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh pengunjung kerana ianya diberikan secara percuma kepada pengungjung yang berminat untuk mempelajari seni warisan ini. Beberapa jurudemo berpengalaman dibawakan khas oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor untuk mengajar para pengunjung cara-cara pembuatan produk kraf tersebut. Selain itu, banyak produk kraf menarik turut ditawarkan di sini dengan harga yang berpatutan seperti bunga hiasan daripada sisik ikan, aksesori wanita daripada mutiara, batik lukis, hiasan dalaman daripada tempurung kelapa dan anyaman rotan.

Bertemakan perkampungan nelayan, program ini diserikan dengan pelbagai hiasan yang menggambarkan suasana kampung nelayan di mana terdapatnya jeti, sampan, rumah kayu berbumbungkan atap nipah, ditaburi cengkerang dan pasir yang memutih serta banyak lagi. Pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian nelayan, bale-bale, tarian kanak-kanak dan banyak lagi turut menjadi tarikan pengunjung. Apa yang menarik, penggunjung turut diberikan peluang untuk bersama-sama menari di pentas bersama para penari profesional yang di bawakan khas daripada Istana Budaya. Jadi apa tunggu lagi, datanglah beramai-ramai bagi memeriahkan lagi promosi ini.....