Rabu, 9 September 2009

CHILDRENCARE ARTS AND CRAFTS DAY



Pada 29 hingga 31 Mei yang lalu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dengan kerjasama Great Eastern Mall telah melangsungkan program Childrencare Arts and Crafts Day bertempat di pusat membeli belah Great Eastern, Jalan Ampang.



Aktiviti ini diadakan bagi mengumpul dan menyampaikan sumbangan kepada 10 buah rumah kebajikan dan rumah kanak-kanak kurang upaya di sekitar Lembah Klang yang telah dipilih oleh pihak Great Eastern Mall sendiri. Selain itu, aktiviti ini memberi peluang kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini untuk mempelajari cara-cara menghasilkan produk kraf seperti mencanting batik, anyaman rotan dan mempelajari teknik hiasan permukaan seramik.

Aktiviti seumpama ini merupakan permulaan bagi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dalam menjalankan tanggungjawab sosial dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik untuk mengumpul dana bagi meneruskan kehidupan mereka ke tahap yang lebih baik.

Bagi memeriahkan lagi program ini, demonstrasi kraf seramik India telah dipertontonkan kepada orang ramai untuk menarik minat di samping dapat memberi pendedahan tentang penghasilan tembikar masyarakat India menggunakan kaedah pembuatan seramik tradisional dan pengunjung boleh melihat secara dekat penghasilan produk tersebut.

Menurut Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor, Encik Mohd Yusof bin Abd. Rani, berkata "walaupun ianya merupakan program amal namun, pihak kami berharap ianya sedikit sebanyak dapat membantu dalam menyumbangkan dana kepada mereka yang lebih memerlukan di samping memperkenalkan produk kraf kepada pengunjung dan pelancong yang datang."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan