Isnin, 31 Disember 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2013


Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia...



Saya mewakili Puan Pengarah dan warga KMCS ingin mengucapkan "Selamat Tahun Baru 2013" dan doa kami buat kalian semua agar tahun baru ini akan memberikan kita seribu kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan di dunia dan akhirat, insya-Allah".

Jumaat, 21 Disember 2012

SYABAS DAN TAHNIAH - ABAS & SAL BATIK DAN D'OR RUE SDN. BHD.



Kami warga KMCS mengucapkan syabas dan tahniah kepada dua usahawan negeri Selangor iaitu usahawan daripada syarikat Abas & Sal Batik dan D'Or Rue Sdn. Bhd. yang telah berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori batik dan kedua bagi kategori logam dalam pertandingan yang dipertandingkan sempena Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2012 yang telah berlangsung pada 7 hingga 9 Disember 2012 yang lalu bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Walaupun, kami tidak berada di sana (pada hari pertandingan) namun, kami amat berbangga atas kemenangan dan pencapaian kalian. Kami di KMCS turut mendoakan agar mereka terus maju dan berjaya di masa akan datang. Doa kami titipkan juga buat semua usahawan di bawah KMCS agar kalian semua terus berusaha dan bekerja keras demi memajukan industri kraf negara ke tahap yang lebih membanggakan, insya-Allah. Semoga berjaya. 

Sebelum mengundurkan diri, sekali lagi saya mewakili Puan Pengarah dan warga KMCS mengucapkan syabas dan tahniah pada Puan Salmah dan Puan Hanizah atas kejayaan tersebut.


TAHNIAH ADIGURU KRAF NEGERI SELANGOR 2012...


Alhamdulillah, pada tahun 2012 ini KMCS telah dikejutkan dengan satu perkhabaran gembira iaitu pelantikan dua orang adiguru baru bagi negeri Selangor. Jika pada sebelum ini, gelaran adiguru ini hanya disandang oleh En. Pion Anak Bumbong, namun kini telah bertambah lagi dua orang iaitu En. V.N. Ramadas a/l Vengadasalam (seni tembikar tradisional masyarakat India) dan En. Siow Ho Phiew (Seni pembuatan kepala singa dan Boneka). 

Skim adiguru kraf merupakan salah satu aktiviti di bawah program yang direncanakan dan bertujuan memelihara serta mengembangkan kemahiran seni kraf tradisi yang menjadi lambang kebanggaan budaya bangsa.  

Siapakah kedua-dua adiguru ini? Apa sumbangan mereka sehingga dianugerahkan sebagai Adiguru Kraf pada tahun 2012 ini? Nak tahu? Jom, kita baca ramai-ramai.......

------------------------------------------------------------------------------



Encik V.N Ramadas a/l Vengadasalam atau lebih mesra dengan panggilan Uncle Ramadas merupakan anak jati Kuala Selangor yang dilahirkan pada 25 Ogos 1951. Merupakan anak sulung daripada lima beradik kepada pasangan Vengadasalm a/l Muthusamy dan Nagamah a/p Adyar.

Tangannya jarang sekali kelihatan bersih kerana sering diselaputi tanah liat. Memilih kerjaya yang kurang diminati, perasaan bangga tidak pernah surut dalam diri beliau yang 40 tahun lebih berkecimpung dalam bidang pembuatan tembikar.

Menamatkan persekolahan pada tahun 1965, beliau telah membantu bapa membuat tembikar bagi menambah pendapatan keluarga. Biarpun, pada awalnya beliau turut bercita-cita untuk menjawat jawatan yang hebat di mata orang kampung namun, beliau terpaksa mengenepikan impian tersebut setelah beliau tidak mendapat sebarang pekerjaan.

Demi mencari wang saku, beliau mula berjinak-jinak mempelajari seni pembuatan tembikar ini dan akhirnya, beliau semakin seronok dan serasi membuat tembikar.


Mengimbau pembabitannya dalam bidang ini, beliau didedahkan dengan kaedah membuat tembikar sejak berusia 12 tahun daripada bapanya yang bermigrasi dari India. Bapa beliau, Vengadasalam datang ke negara ini pada tahun 1946 selepas Perang Dunia Kedua dan mula mengusahakan bengkel tembikar kecil di Batu Dua, Kuala Selangor, Selangor.

Berbekalkan sebuah roda gasing, tangan kasarnya mula menyiapkan pelbagai jenis buyung, periuk dan belanga tanah liat untuk dijual kepada orang kampung. Roda gasing merupakan sejenis alat tradisional yang digunakan untuk membentuk tembikar yang akan diputarkan menggunakan sebatang kayu berulang kali sehingga produk yang dihasilkan siap. 



Sejajar dengan perkembangan teknologi, pada tahun 2000 beliau mula menggantikan penggunaan roda gasing kepada mesin dan peralatan moden yang lain bagi menjimatkan masa dan tenaga serta memudahkan beliau menghasilkan tembikar dalam kuantiti yang banyak. Melihatkan perniagaan ini semakin maju, beliau menggembangkan perusahaan ini dengan membeli lori dan mula membuat jualan dari kedai ke kedai. Pada awalnya, produk tembikar yang dihasilkan hanyalah periuk tanah, bekas menyimpan air, bekas makanan dan beberapa produk berbentuk keagamaan seperti pelita tanah yang dipanggil ‘man vilakku’ dalam bahasa Tamil. 


Kini, beliau amat berbangga apabila hasil tembikar beliau semakin berkembang dengan pelbagai rekaan baru mengikut kehendak pasaran. Beliau juga bergabung tenaga memperluaskan perusahaan tembikar bersama anak lelaki beliau yang turut meminati bidang ini, iaitu Encik Velavar. Sokongan padu daripada isteri tercinta, Puan R. Barmnah a/p Rengasamy serta anak-anak yang lain mendorong beliau untuk terus maju.

Berkat usaha yang gigih dalam membantu industri kraf negara, beliau dianugerahkan sebagai tukang ulung oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2011.  Beliau merupakan seorang yang tidak lokek ilmu pengetahuan. 


Ilmu yang dimiliki turut dimanfaatkan kepada orang lain dengan turut menerima jemputan menjadi jurudemo pembuatan tembikar tradisional India sama ada dari kraftangan malaysia dan agensi luar. Beliau juga sering menyambut baik kehadiran pelajar yang datang untuk menjalani latihan amali atau membuat kajian berkaitan bidang ini. Beliau juga turut mencurahkan ilmu dengan memberi tunjuk ajar kepada beberapa usahawan tembikar seperti di Melaka dan Perak.
  
----------------------------------------------------------------------


Encik siow ho phiew atau lebih mesra dengan panggilan Master Siow dilahirkan pada 24 november 1955 di Klang, selangor. Beliau mula mempelajari tarian singa daripada seorang guru, Chen Liang Min pada tahun 1975 ketika berusia 18 tahun.

Selepas itu, beliau berguru dengan beberapa sifu lain yang turut mengajarnya kung fu sekali gus mempertingkat kemahirannya dalam tarian singa. Beliau mempelajari disiplin tarian singa Fuo Shan dan Shan Sar Ping.

Kerana kegigihan dan minatnya yang tinggi, dalam tempoh lima tahun sahaja, beliau menjadi pembantu jurulatih dan ‘master’ pada usia 24 tahun. Cintanya terhadap tarian singa semakin mendalam sehingga beliau menyifatkan tarian singa sudah menjadi darah dagingnya.

Beliau bukan sahaja menguasai tarian singa bahkan membuka perniagaan membuat kepala singa bagi tujuan tarian itu.  Segalanya bermula, apabila beliau cuba menghasilkan kepala singa sendiri ekoran kepala singa yang dibeli dari china lama dan rosak.


Master Siow merupakan seorang yang kreatif. Memandangkan di malaysia, hasil tumbuhan seperti rotan amat mudah diperolehi dan tahan lasak, beliau mula membuat inovasi dengan mengaplikasikan bahan tersebut bagi menggantikan buluh yang sukar untuk dilentur sekiranya sudah tua. Walaupun pada mulanya, kepala singa yang dihasilkan tidak sebaik yang diharapkan namun, lama-kelamaan beliau berjaya


Justeru, pada tahun 1986, beliau mengasaskan syarikat pembuatan barangan tarian singa, Wan Seng Hang Dragon & Lion Arts yang kini terletak di Subang Dua, Shah Alam. Syarikat ini berjaya menghasilkan sehingga 500 buah kepala singa dalam setahun.  Bukan sahaja menerima tempahan dari Amerika Syarikat, Taiwan, Singapura dan negara-negara Eropah, bahkan China, negara asal tarian itu, juga ada mengimport kepala singa daripadanya.

Beliau dipilih sebagai salah seorang amazing malaysian (warganegara Malaysia yang mengagumkan) oleh syarikat telekomunikasi digi pada tahun 2005. Master siow berusaha meletakkan tarian singa malaysia di peta dunia  dengan melahirkan kumpulan juara dunia tarian singa, dari serata dunia seperti China, Macau, Hong Kong, Indonesia, Thailand, Mauritius, Australia, Jepun, Kanada, Amerika Syarikat dan New Zealand. 

Beliau pernah dilaporkan media sebagai sifu tarian singa paling disegani di dunia.  Pernah juga ditemu bual oleh agensi berita antarabangsa Cable News Network (CNN) dan mengadili tarian singa peringkat antarabangsa. Pengajarannya turut dimasukkan ke dalam subjek tarian singa di Taiwan. Beliau turut berbangga kerana walaupun tidak belajar ke peringkat yang lebih tinggi namun beliau turut berpeluang untuk menyampaikan syarahan di universiti-universiti di luar negara.

Beliau turut membuat inovasi terhadap kepala singa dengan mengaplikasikan kain batik pada hiasan kepala dan badan singa bagi menggantikan kain warna-warni yang biasa digunakan dan menjadi ikutan di kalangan pembuat patung singa yang lain.

Pelbagai pengiktirafan diterima oleh Master Siow sama ada dari dalam dan luar negara.  Pada tahun ini, beliau menerima anugerah tukang ulung sempena Hari Kraf Kebangsaan 2012 oleh Kraftangan Malaysia sebagai tanda penghargaan kepada usaha-usaha yang telah dilakukan oleh beliau dalam memartabatkan kraf tempatan ke persada dunia.

Beliau seorang yang tidak kedekut ilmu dan turut menurunkan latihan kepada para pekerjanya dan individu yang berminat. Beliau juga turut menerima jemputan kraftangan malaysia untuk menjadi jurudemo dalam aktiviti demonstrasi pembuatan patung kepala singa sempena Hari Kraf Kebangsaan, Promosi Kraf Tekstil dan Promosi Kraf Malaysia.

Beliau turut bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pernah dilantik sebagai pengerusi persatuan tarian singa dan naga antarabangsa yang pertama pada tahun 1992. Selain itu, beliau turut dilantik sebagai pengerusi persatuan tarian singa Selangor.  Sehingga kini, Master Siow sering menjadi sumber rujukan di kalangan persatuan tarian singa dari dalam dan luar negara.