Alhamdulillah, pada tahun 2012 ini KMCS telah dikejutkan dengan satu perkhabaran gembira iaitu pelantikan dua orang adiguru baru bagi negeri Selangor. Jika pada sebelum ini, gelaran adiguru ini hanya disandang oleh En. Pion Anak Bumbong, namun kini telah bertambah lagi dua orang iaitu En. V.N. Ramadas a/l Vengadasalam (seni tembikar tradisional masyarakat India) dan En. Siow Ho Phiew (Seni pembuatan kepala singa dan Boneka).
Skim
adiguru kraf merupakan salah satu aktiviti di bawah program yang direncanakan dan bertujuan memelihara serta mengembangkan kemahiran seni
kraf tradisi yang menjadi lambang kebanggaan budaya bangsa.
Siapakah kedua-dua adiguru ini? Apa sumbangan mereka sehingga dianugerahkan sebagai Adiguru Kraf pada tahun 2012 ini? Nak tahu? Jom, kita baca ramai-ramai.......
------------------------------------------------------------------------------
Encik V.N Ramadas a/l Vengadasalam atau
lebih mesra dengan panggilan Uncle Ramadas merupakan anak jati Kuala Selangor yang
dilahirkan pada 25 Ogos 1951. Merupakan anak sulung daripada lima beradik
kepada pasangan Vengadasalm a/l Muthusamy dan Nagamah a/p Adyar.
Tangannya
jarang sekali kelihatan bersih kerana sering diselaputi tanah liat. Memilih
kerjaya yang kurang diminati, perasaan bangga tidak pernah surut dalam diri
beliau yang 40 tahun lebih berkecimpung dalam bidang pembuatan tembikar.
Menamatkan
persekolahan pada tahun 1965, beliau telah membantu bapa membuat tembikar bagi
menambah pendapatan keluarga. Biarpun, pada awalnya beliau turut bercita-cita
untuk menjawat jawatan yang hebat di mata orang kampung namun, beliau terpaksa
mengenepikan impian tersebut setelah beliau tidak mendapat sebarang pekerjaan.
Demi
mencari wang saku, beliau mula berjinak-jinak mempelajari seni pembuatan
tembikar ini dan akhirnya, beliau semakin seronok dan serasi membuat tembikar.
Mengimbau
pembabitannya dalam bidang ini, beliau didedahkan dengan kaedah membuat
tembikar sejak berusia 12 tahun daripada bapanya yang bermigrasi dari India. Bapa
beliau, Vengadasalam datang ke negara ini pada tahun 1946 selepas Perang Dunia Kedua dan mula mengusahakan bengkel tembikar kecil di Batu Dua, Kuala Selangor, Selangor.
Berbekalkan sebuah roda gasing, tangan kasarnya
mula menyiapkan pelbagai jenis buyung, periuk dan belanga tanah liat untuk
dijual kepada orang kampung. Roda gasing merupakan sejenis alat tradisional
yang digunakan untuk membentuk tembikar yang akan diputarkan menggunakan sebatang kayu berulang kali sehingga produk yang dihasilkan
siap.
Sejajar
dengan perkembangan teknologi, pada tahun 2000 beliau mula menggantikan
penggunaan roda gasing kepada mesin dan peralatan moden yang lain bagi
menjimatkan masa dan tenaga serta memudahkan beliau menghasilkan tembikar dalam
kuantiti yang banyak. Melihatkan perniagaan ini semakin maju, beliau
menggembangkan perusahaan ini dengan membeli lori dan mula membuat jualan dari
kedai ke kedai. Pada awalnya, produk tembikar yang dihasilkan hanyalah periuk
tanah, bekas menyimpan air, bekas makanan dan beberapa produk berbentuk
keagamaan seperti pelita tanah yang dipanggil ‘man vilakku’ dalam bahasa Tamil.
Kini,
beliau amat berbangga apabila hasil tembikar beliau semakin berkembang dengan
pelbagai rekaan baru mengikut kehendak pasaran. Beliau juga bergabung tenaga
memperluaskan perusahaan tembikar bersama anak lelaki beliau yang turut
meminati bidang ini, iaitu Encik Velavar. Sokongan padu daripada isteri
tercinta, Puan R. Barmnah a/p Rengasamy serta anak-anak yang lain
mendorong beliau untuk terus maju.
Berkat
usaha yang gigih dalam membantu industri kraf negara, beliau dianugerahkan
sebagai tukang ulung oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2011. Beliau merupakan seorang yang tidak lokek
ilmu pengetahuan.
Ilmu yang
dimiliki turut dimanfaatkan kepada orang lain dengan turut menerima jemputan
menjadi jurudemo pembuatan tembikar tradisional India sama ada dari kraftangan
malaysia dan agensi luar. Beliau juga sering menyambut baik kehadiran pelajar
yang datang untuk menjalani latihan amali atau membuat kajian berkaitan bidang
ini. Beliau juga turut mencurahkan ilmu dengan memberi tunjuk ajar kepada
beberapa usahawan tembikar seperti di Melaka dan Perak.
----------------------------------------------------------------------
Encik
siow ho phiew atau lebih mesra dengan panggilan Master Siow dilahirkan pada 24
november 1955 di Klang, selangor. Beliau mula mempelajari tarian singa daripada
seorang guru, Chen Liang Min pada tahun 1975 ketika berusia 18 tahun.
Selepas
itu, beliau berguru dengan beberapa sifu lain yang turut mengajarnya kung fu
sekali gus mempertingkat kemahirannya dalam tarian singa. Beliau mempelajari
disiplin tarian singa Fuo Shan dan Shan Sar Ping.
Kerana
kegigihan dan minatnya yang tinggi, dalam tempoh lima tahun sahaja, beliau
menjadi pembantu jurulatih dan ‘master’ pada usia 24 tahun. Cintanya terhadap
tarian singa semakin mendalam sehingga beliau menyifatkan tarian singa sudah
menjadi darah dagingnya.
Beliau
bukan sahaja menguasai tarian singa bahkan membuka perniagaan membuat kepala
singa bagi tujuan tarian itu. Segalanya
bermula, apabila beliau cuba menghasilkan kepala singa sendiri ekoran kepala
singa yang dibeli dari china lama dan rosak.
Master Siow merupakan seorang
yang kreatif. Memandangkan di malaysia, hasil tumbuhan seperti rotan amat mudah
diperolehi dan tahan lasak, beliau mula membuat inovasi dengan mengaplikasikan
bahan tersebut bagi menggantikan buluh yang sukar untuk dilentur sekiranya
sudah tua. Walaupun pada mulanya, kepala singa yang dihasilkan tidak sebaik
yang diharapkan namun, lama-kelamaan beliau berjaya
Justeru,
pada tahun 1986, beliau mengasaskan syarikat pembuatan barangan tarian singa, Wan Seng Hang Dragon & Lion Arts yang kini terletak di Subang Dua, Shah Alam. Syarikat ini berjaya menghasilkan sehingga 500 buah kepala singa dalam
setahun. Bukan sahaja menerima tempahan
dari Amerika Syarikat, Taiwan, Singapura dan negara-negara Eropah, bahkan China,
negara asal tarian itu, juga ada mengimport kepala singa daripadanya.
Beliau
dipilih sebagai salah seorang amazing
malaysian (warganegara Malaysia yang
mengagumkan) oleh syarikat telekomunikasi digi pada tahun 2005. Master siow
berusaha meletakkan tarian singa malaysia di peta dunia dengan melahirkan kumpulan juara dunia tarian
singa, dari serata dunia seperti China, Macau, Hong Kong, Indonesia, Thailand, Mauritius, Australia, Jepun, Kanada, Amerika Syarikat dan New Zealand.
Beliau
pernah dilaporkan media sebagai sifu tarian singa paling disegani di dunia. Pernah juga ditemu bual oleh agensi berita
antarabangsa Cable News Network (CNN) dan mengadili tarian singa peringkat
antarabangsa. Pengajarannya turut dimasukkan ke dalam subjek tarian singa di Taiwan. Beliau turut berbangga kerana walaupun tidak belajar ke peringkat yang lebih
tinggi namun beliau turut berpeluang untuk menyampaikan syarahan di
universiti-universiti di luar negara.
Beliau
turut membuat inovasi terhadap kepala singa dengan mengaplikasikan kain batik
pada hiasan kepala dan badan singa bagi menggantikan kain warna-warni yang
biasa digunakan dan menjadi ikutan di kalangan pembuat patung singa yang lain.
Pelbagai
pengiktirafan diterima oleh Master Siow sama ada dari dalam dan luar
negara. Pada tahun ini, beliau menerima
anugerah tukang ulung sempena Hari Kraf Kebangsaan 2012 oleh Kraftangan Malaysia sebagai tanda penghargaan kepada usaha-usaha yang telah dilakukan oleh
beliau dalam memartabatkan kraf tempatan ke persada dunia.
Beliau seorang
yang tidak kedekut ilmu dan turut menurunkan latihan kepada para pekerjanya dan
individu yang berminat. Beliau juga turut menerima jemputan kraftangan malaysia
untuk menjadi jurudemo dalam aktiviti demonstrasi pembuatan patung kepala singa
sempena Hari Kraf Kebangsaan, Promosi Kraf Tekstil dan Promosi Kraf Malaysia.
Beliau turut
bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pernah dilantik sebagai
pengerusi persatuan tarian singa dan naga antarabangsa yang pertama pada tahun
1992. Selain itu, beliau turut dilantik sebagai pengerusi persatuan tarian
singa Selangor. Sehingga kini, Master Siow sering menjadi sumber rujukan di kalangan persatuan tarian singa dari
dalam dan luar negara.
(y)
BalasPadam