Pada hari sabtu yang lalu (4 Jun 2011), kami, warga KMCS telah ramai-ramai turun padang bagi memeriahkan aktiviti rewang perkahwinan masyarakat Melayu Jawa Negeri Selangor yang telah diadakan dengan kerjasama di antara Kraftangan Malaysia bersama FAMA Negeri Selangor. Menu yang telah disediakan sudah tentunya Nasi Ambeng, makanan tradisi masyarakat Jawa.
Rewang yang berasal daripada perkataan basahan masyarakat Melayu-Jawa bermaksud konsep tolong-menolong, bekerjasama dan bantu-membantu bagi menjayakan sesuatu majlis serta perayaan di sebuah kampung atau kawasan. Amalan rewang secara tradisinya bukan saja digunakan oleh orang kampung ketika penganjuran majlis perkahwinan malahan juga untuk mendirikan rumah, membina jambatan atau membersihkan masjid.
Bertepatan dengan program Promosi Kerja Kahwin ini, Kraftangan Malaysia telah menjalinkan kerjasama bersama FAMA Negeri Selangor bagi menyemarakkan kembali aktiviti rewang ketika majlis kenduri perkahwinan yang kini kian pudar ditelan zaman. Pada kali ini, satu kelainan akan ditampilkan dengan menggabungkan konsep 1Malaysia di mana aktiviti rewang ini telah diadakan sempena kenduri perkahwinan seorang pemuda masyarakat Melayu Jawa bersama seorang gadis berbangsa Cina. Beberapa elemen berkonsepkan 1Malaysia telah ditonjolkan melalui penglibatan ahli rewang yang berbilang bangsa seperti Melayu, Cina dan India.
Seawal jam 8 pagi, kami telah berkumpul bersama pihak FAMA bagi menyiapkan tapak tempat memasak dan melakukan persiapan untuk memulakan aktiviti masak-memasak. Dari jauh sudah kedengaran bunyi riuh rendah bagaikan suasanan di rumah kenduri yang sebenar. Apa tidaknya, celetoh Kak Siti dan rakan-rakan FAMA di tambah pula dengan sampuk-menyampuk daripada warga KMCS telah menjadikan susasana meriah.
Kehadiran besan (ibu pengantin perempuan yang berbangsa Cina) telah menjadi gimik kepada aktiviti rewang pada kali ini. Ibu pengantin lelaki begitu petah bercerita tentang apa yang terjadi di rumahnya semasa rewang dan menerangkan perihal keunikan Nasi Ambeng yang menjadi makanan tradisi masyarakat Jawa.
Melalui jalinan kerjasama ini, Kraftangan Malaysia telah menggunakan produk-produk kraf sebagai hiasan dan peralatan bagi menghidangkan makanan. Ini juga merupakan salah satu cara Kraftangan Malaysia untuk mempromosikan produk kraf usahawan tempatan. Produk kraf yang dipamerkan telah menggabungkan tradisi masyarakat Melayu Jawa dan Cina. Manakala, FAMA pula mengambil kesempatan bagi mempromosikan produk-produk keluaran usahawan mereka melalui penggunaan produk tersebut sebagai pelengkap utama masakan, penyediaan minuman dan kudapan.
Bagi menampilkan sedikit kelainan dalam aktiviti ini, ibu pengantin lelaki akan menjemput tetamu VIP dan jemputan bagi acara menggaul Pecal Yee Sang bersama-sama. Pecal Yee Sang merupakan gabungan Pecal (sayur-sayuran yang dicelur dan dimakan bersama kuah kacang) yang digaul menggunakan penyepit (chopsticks) dan dilakukan seperti amalan tradisi masyarakat Cina.
Bagi menampilkan sedikit kelainan dalam aktiviti ini, ibu pengantin lelaki akan menjemput tetamu VIP dan jemputan bagi acara menggaul Pecal Yee Sang bersama-sama. Pecal Yee Sang merupakan gabungan Pecal (sayur-sayuran yang dicelur dan dimakan bersama kuah kacang) yang digaul menggunakan penyepit (chopsticks) dan dilakukan seperti amalan tradisi masyarakat Cina.
Suasana begitu meriah dengan kehadiran orang ramai yang mahu merasa keenakan Nasi Ambeng sehinggakan ada yang merajuk kerana tidak dapat merasa Nasi Ambeng tersebut. Nasi Ambeng kami begitu laris sekali. Apa yang menariknya, makanan yang dihidangkan telah habis sebelum jam 2.00 petang. Sehinggakan ada tetamu yang sanggup membayar bagi mendapatkan Nasi Ambeng tersebut, namun tiada apa yang dapat kami katakan melainkan memohon maaf kerana sememangnya semua makanan telah habis. Kepada yang tidak dapat merasa, kami memohon maaf dan mungkin kita akan cuba mengadakannya lagi di masa akan datang, insya-Allah.
Kami bersurai setelah semuanya selesai. Jutaan terima kasih kami ucapkan buat warga FAMA Negeri Selangor kerana telah bertungkus lumus memberikan yang terbaik dan harapan kami agar kita dapat bekerjasama lagi di masa hadapan, insya-Allah. Buat warga Kraftangan Malaysia yang telah banyak membantu dalam menjayakan Rewang 1Malaysia ini, KMCS mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tidak lupa juga saya mewakili Puan Pengarah mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan KMCS yang telah mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan aktiviti ini berjaya. Tahniah kawan-kawan semua...
*Gambar tidak dapat dipaparkan disebabkan terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan. Harap maklum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan