Khamis, 13 September 2012

KERANA SEPOTONG AYAT...


alt"Aku tak pernah tinggal solat lima waktu walaupun aku tahu aku tidak menutup aurat dengan sempurna. Setiap amalan kita hanya Allah sahaja yang dapat menilai; bukan engkau, bukan ustaz," tutur kawan saya sewaktu menikmati makan tengahari bersamanya.

Pantas saya mengangkat muka. Nasi di tangan tidak jadi disuap ke mulut. Saya jangkakan ada sesuatu yang menarik yang hendak dikongsikan. Lantas saya bertanya, "Apa yang membuatkan engkau berkata begitu?"
"Bukan apa. Aku cuma merasakan tidak adil untuk seseorang itu menghukum orang lain hanya kerana dia menutup aurat dengan sempurna sedangkan orang yang dihukumi pula tidak. Kau tidak merasakan begitu?" dia bertanya pada saya pula.

"Jadi pada pendapat kau, adil tu macam mana pula?" Saya meluncurkan pertanyaan. Sebetulnya saya sendiri pun tidak pasti apa jawapan yang patut saya berikan jika saya ditanya begitu.

"Maksud aku, dia cuba menghukum orang yang macam aku tetapi dia menutup mata pada orang yang melakukan maksiat hanya kerana mereka menutup aurat dengan sempurna. Faham?"

Saya mengangguk-anggukkan kepala. Mengikut perkiraan saya, mungkin apa yang dimaksudkan ialah gejala maksiat yang berleluasa dalam kalangan orang yang menutup aurat.

Kawan di hadapan saya ini seorang perempuan biasa. Tidak lahir dalam keluarga yang beragama, ayahnya bukan siak masjid, ibunya juga bukanlah ustazah apatah lagi kedua ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Tapi pemikirannya agak luas dan tidak terperosok ke dalam lembah kejumudan. Itu yang saya suka pada dirinya. Hari ini dia memulakan topik aurat dan saya begitu teruja untuk berdiskusi bersamanya.

Tanpa semena-mena saya nampak matanya mula berkaca. Ada air mata di pelupuk matanya.

"Kau tahu, selama ini aku tak henti-henti berdoa supaya Allah bukakan pintu hati aku untuk taat kepada-Nya. Aku nak tutup aurat dengan sempurna. Aku tak mahu membebankan dosa ayahku di akhirat kelak gara-gara sikapku. Aku perlukan bimbingan tetapi aku hanya mendapat cemuhan," katanya sayu.

Saya menundukkan kepala. Terasa sayu mendengar luahan hatinya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana harus aku memujuknya. Lama aku terdiam. Sebelum sempat aku berkata-kata, dia terlebih dahulu bersuara.

"Tak mengapa kalau kau tidak mampu berkata apa-apa. Aku cuma mahukan orang mendengar luahan hatiku."

Saya hanya mampu mengetap bibir.

Hari ini, selepas lima tahun berlalu, saya masih lagi teringat peristiwa tersebut. Begitulah saya. Apabila berdepan situasi yang menyentuh hati, ia menjadi amat sukar untuk dilupakan. Saya masih ingat lagi sebelum saya berangkat ke Glasgow lima tahun lepas, dia memeluk saya erat-erat. Dia menangis. Katanya, dia akan kehilangan seorang sahabat yang benar-benar mengerti keadaannya. Saya katakan padanya mungkin kita terpisah di bumi nyata tetapi tidak di bumi maya. Sebelum masuk ke balai berlepas, saya berbisik di telinganya, "Jangan lupa install Skype."

Dia tergelak dan mengangguk-anggukkan kepala.

Di hadapan saya kini terbaring seorang perempuan yang pernah menjadi kawan baik saya. Wayar-wayar berselirat di lengannya. Saya masih ingat sewaktu saya di tahun pertama, dia selalu mengirim e-mel kepada saya. Jika ada masa terluang, kami pasti berbual di Skype. Masuk tahun berikutnya, banyak tugasan harus disiapkan dan saya tidak mempunyai masa untuk berbual dengannya. Saya mengesat air mata yang tumpah di pipi. Saya duduk di sebelahnya dan menggenggam erat jemarinya.

"Saya datang," perlahan saya membisikkan di telinganya. Saya yakin dia pasti dapat mendengarnya. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Dia tersenyum memandang saya. Itulah keistimewaan dirinya, sentiasa tersenyum meskipun dalam keadaan sakit begitu.

"Aku dah tutup aurat dengan sempurna," katanya perlahan. Ternyata dia masih ingat butir perbualan kami lima tahun dahulu. Saya tersenyum.

"Alhamdulillah," ucap saya ringkas.

"Rehatlah," saya menyambung.

Dia menggeleng-geleng.

"Ayat Allah begitu sempurna dan syahdu," secara tiba-tiba dia bersuara.

Dahiku berkerut tidak memahami apa yang hendak disampaikan. Dia menyambung lagi, "Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik."

Air mata saya bergenang mendengar ayat tersebut. Ayat tersebut merupakan ayat ke 16 dalam surah Al-Hadid. Ayat itu jugalah yang membuatkan seorang ulama bernama Malik Bin Dinar bertaubat dan menyesali segala perbuatannya.

"Kau tahu, ayat ini muncul dalam mimpiku beberapa tahun lepas. Waktu itu malam terakhir Ramadhan, aku berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah berkenan untuk membuka hatiku. Betapa berkuasanya Allah, hanya sepotong ayat mampu menyedarkan aku," katanya sambil mengesat air mata.

"Sememangnya Dia lah yang paling berkuasa ke atas semua makhlukNya," ringkas saya menjawab.
"Dahulu aku dicemuh kerana aku tidak menutup aurat dengan sempurna, tetapi lihatlah. Allah mengubah aku dengan sekelip mata dan hanya dengan sepotong ayat. Dan kadang-kadang aku terfikir, bagaimana ada manusia tergamak untuk mencemuh dan menghukum orang lain hanya kerana mereka berbuat dosa? Bukankah setiap manusia itu pendosa? Semakin aku berubah, semakin aku bersimpati kepada mereka yang seperti aku suatu ketika dahulu. Mereka selayaknya didampingi bukannya dicemuh."

Saya menelan air liur. Terasa pahit. Mungkin kerana kebenaran itu pahit? Mungkin?

"Walau sejahat dan sezalim mana pun kita, yang memberi hidayah hanyalah Allah, bukannya orang lain. Dan saya bersyukur kerana Allah memilih saya."

Dia menghembus nafas lega. Daripada riak wajahnya, dia seakan-akan puas kerana dapat meluahkan segala yang terbuku di hati kepada saya, sahabat baiknya.

Sahabat saya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir tiga hari kemudian. Berada di sisinya ketika itu ialah suami, dua orang anaknya yang masih kecil serta saya sendiri. Anak-anaknya saya lihat bertudung litup, mungkin mengikut jejak ibunya. Segala puji bagi Allah.

[NOTA: Cerita di atas hanya sebuah cerita cerpen mengenai seorang yang berjaya mendapat hidayah daripada Allah SWT. Ia bukan kisah benar.]

Sumber dari - Artikel iluvislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan