Apa yang terbit dari
hati adakalanya sukar sekali dikawal. Sifat mazmumah mudah sekali
hinggap meski kita sendiri tidak sama sekali menyukainya. Timbul rasa
takut andai apa jua yang dilakukan tiada nilai di sisi Allah dek kerana
sifat sombong, takbur dan riak menguasai diri.
Astagfirullah…
Aduhai lemahnya diri dan
masih kotor rupanya hati yang tertanam dalam dada ini. Teringat saya
tentang kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah dikatakan sebagai ahli
syurga hanya kerana beliau tidak sesekali berhasad dengki walhal
ibadah-ibadahnya biasa-biasa sahaja.
Begitulah besarnya
akhlak kita serta keikhlasan dalam apa jua yang kita usahakan di dunia.
Sehingga ia bisa melabelkan seseorang itu sebagai ahli syurga.
Ironinya, apalah yang
dikejar semahu-mahunya isi dunia ini sehingga membiarkan diri dikuasai
sifat mazmumah yang tak mengenal siapa yang lebih besar. Sesungguhnya
kita ini sangat kecil dan apa jua yang kita miliki kini semuanya milik
Allah.
Fikir kembali tatkala
nyawa terpisah dari jasad tentang apa yang kita bawa bersama. Dan
tentang apa yang kita tinggalkan. Yang pasti bukan kemegahan dengan apa
yang dimilki. Yang kita bawa pulang amal ibadah yang soleh serta
diredhai Allah.
Benar sekali bandingan
hidup di dunia ini terlalu kecil dibandingkan kehidupan di akhirat
kelak. Usahkan begitu hatta alam barzah sahaja menjadikan kita dalam
ketakutan yang tak berkesudahan. Gelap dan sendiri. Lalu ketika itu
apalagi yang diharapkan. Selain rahmat dan kasih-sayang Ilahi.
Aduhai sukar sekali
mengawal hati ini. Muhajadah yang hebat sekali. Muhajadah yang membawa
kepada membesarkan Allah dalam apa jua yang diurusi. Tiada daya dan
upaya selain terus mengharapkan kurniaan-Nya.
Wahai Allah, kami bertaubat. Terimalah taubat hati kami. Lindungilah hati ini dari bisikan mazmumah.
Sumber dari - http://citratus.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan