Rabu, 13 Julai 2011

HARI BERTEMU PELANGGAN KRAFTANGAN MALAYSIA


Pada tanggal 12 Julai yang lalu, telah berlangsungnya Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia (HBP) bertempat di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur. HBP ini diadakan bagi mendapatkan maklum balas daripada usahawan kraf berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kraftangan Malaysia di samping mendapatkan cadangan bagi mengambil langkah-langkah penambahbaikan serta peningkatan mutu perkhidmatan Kraftangan Malaysia.

Ini merupakan kali yang ke-2, Kraftangan Malaysia menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan dan ia diadakan secara serentak di seluruh cawangan negeri kecuali negeri Sarawak. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Ramli bin Mohd Noor, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia. Turut hadir bersama bagi memeriahkan HBP ini adalah Pengarah KMCS dan Pengarah-Pengarah Bahagian Ibu Pejabat.

Penganjuran HBP di Kompleks Kraf ini telah mengumpulkan usahawan-usahawan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan sebagai usaha Kraftangan untuk mewujudkan hubungan yang baik dan mesra di samping memberi peluang kepada para usahawan untuk mengemukakan cadangan untuk kebaikan semua pihak.

Melalui HBP ini juga, Kraftangan Malaysia dapat berhubung secara terus bersama usahawan dan banyak permasalahan yang dihadapi oleh usahawan dapat dikemukan kepada Kraftangan Malaysia supaya dapat ditangani bersama.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah diadakan semasa HBP tersebut adalah:
1. Taklimat Korporat oleh Pengarah Negeri
2. Sesi Dialog bersama Usahawan Kraf
3. Kaunter Helpdesk
4. Kempen Penggunaan Laman Web Kraftangan Malaysia

Kami, warga KMCS mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada usahawan yang telah sudi meluangkan masa menghadiri Hari Bertemu Pelanggan ini dan berharap agar ikatan yang terjalin ini akan terus berkekalan, insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan