Isnin, 11 Julai 2011

PELANCARAN PROGRAM ‘J1M1K’ OLEH TIMBALAN PERDANA MENTERI





Pada hari Jumaat yang lalu (8 Julai 2011), telah berlangsungnya aktiviti pendidikan kraf mencanting dan mewarna batik “Jelajah 1Murid 1Kraf” bertempat di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor sempena Majlis Pelancaran Buku Panduan dan Peraturan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) untuk Penambahbaikan UPSR dan PMR mulai Tahun 1 pada 2011 dan Tingkatan 1 pada 2012. Seramai 3,000 orang jemputan telah hadir ke majlis yang telah dirasmikan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.

Program yang dinamakan “Jelajah 1Murid 1Kraf” atau singkatannya ‘J1M1K’ ini merupakan usaha proaktif yang diambil oleh Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (KMCS) bagi memupuk minat generasi muda terhadap kraf dan menyediakan tenaga pelapis bagi meneruskan kesinambungan perusahaan kraf ke peringkat yang lebih tinggi. Program ini juga untuk menarik minat murid terhadap kraf bermula daripada peringkat awal.

J1M1K beraspirasi/ bermatlamat untuk:

  • Membantu murid mengenali dan mencintai seni kraf sebagai seni budaya warisan negara;
  • Membantu Kementerian Pelajaran Malaysia dan sekolah dalam menjadikan kraf sebagai subjek kemahiran yang dipelajari oleh semua murid sekolah rendah;
  • Menbantu memberi pendedahan awal supaya murid dapat memilih kraf sebagai topik kerja kursus di peringkat sekolah menengah serta;
  • Membantu memupuk minat murid untuk memilih kraf sebagai bidang potensi kerjaya.

Seramai lebih daripada 870 orang peserta telah terlibat dalam aktiviti mencanting dan mewarna batik ini termasuk guru dan murid daripada pelbagai sekolah yang terlibat. Syukur Alhamdulillah, J1M1K ini telah dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pada hari berkenaan semasa lawatan beliau ke tapak aktiviti KMCS. Maka, dengan itu, telah terlancarnya J1M1K dan program ini telah bermula di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dan akan diteruskan ke sekolah-sekolah di dearah lain khususnya di negeri Selangor dan Kuala Lumpur sebagai titik permulaan bagi KMCS dalam melahirkan pelajar yang lebih kreatif dan celik kraf. Kumpulan inilah merupakan kumpulan pelapis untuk mewarisi kemahiran dan seterusnya menggerakkan usaha-usaha pemuliharaan kraf.

KMCS berharap agar program ini akan memberi impak yang besar dalam meningkatkan nisbah murid untuk mengambil topik kraf dalam kerja kursus yang ditawarkan pada setiap tahun dan mampu menjadikan pendidikan kraf ini sebagai satu bidang kebitaraan (niche area) dan penanda aras bagi peluasan pelaksanaan di peringkat negeri. Insya-Allah. Kerjasama dengan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor/Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan perlu kami perkukuhkan. Insya-Allah, kami berdoa segalanya akan dipermudahkan-Nya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan