NUZUL Al-QURAN
Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi S.A.W hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad S.A.W. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Apabila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi S.A.W maka, ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘Al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘Al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah, inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam Al-Quran.
Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi S.A.W ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Sumber dari - http://www.jundullahosman.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan