PENYAMBUNG WARISAN… 7 Oktober 2011, Seawal jam 8.30 pagi, Kami memulakan perjalanan meninggalkan perkarangan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (KMCS) menuju ke destinasi yang tidak asing lagi bagi kami iaitu Pulau Carey yang terletak di daerah Kuala Langat. Misi kami pada kali ini berbeza dan tidak seperti kebiasaannya. Kalau dahulu kami lebih sinonim dengan Perkampungan Orang Asli Mahmeri di Kampung Sungai Bumbun namun pada kali ini, sesuatu yang baru kami usahakan. Setelah dua jam tiga puluh minit perjalanan merentasi kawasan bukit-bukau, bandaraya Shah Alam serta kawasan ladang kelapa sawit maka sampailah kami ke tempat yang dituju, Perkampungan Orang Asli Kaum Mahmeri, Kampung Sungai Kurau, Pulau Carey.
Apa yang menarik, kedatangan kami disambut baik oleh penduduk di sana. Kami telah ditemukan dengan ketua masyarakat Orang Asli iaitu Tok Batin Nengkak Anak Mat serta beberapa penduduk Orang Asli setempat. Tujuan sebenar kami ke sana adalah untuk mencari pakar-pakar ukiran serta golongan muda-mudi yang berminat dalam mengikuti Bengkel Latihan Jangka Pendek (LJP) Penghasilan Produk Kraf Orang Asli Ukiran Kayu di Kampung Sungai Kurau. Satu perbincangan telah diadakan bersama masyarakat Orang Asli setempat bertempat di perkarangan rumah Tok Batin. Ia diadakan bagi mendapat persetujuan serta membincangkan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan semasa Bengkel LJP tersebut.
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah meyediakan bengkel gunasama untuk kegunaan Orang Asli Sungai Kurau dan bengkel tersebut masih lagi dalam proses akhir pembinaan. Ternyata masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Kurau tertunggu-tunggu untuk menggunakan bengkel tersebut bagi menghasilkan produk-produk Kraf Ukiran Kayu.
Di kala jam menunjukkan pukul 2.00 petang, kami memulakan perjalanan meninggalkan Perkampungan Orang Asli Sungai Kurau dengan seribu harapan...Harapan kami agar bengkel tersebut dimanfaatkan oleh semua yang terlibat dan segala harta benda yang telah disumbangkan oleh Kraftangan Malaysia akan digunakan dengan penuh rasa tanggungjawab demi kesinambungan generasi Orang Asli akan datang…
Sue dan Akmal tekun mendengar penerangan Tok Batin Nengkak
Antara penduduk Orang Asli yang akan mengikuti (LJP)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan