Disediakan oleh Mursyida Mansor/ Santapan Rohani / 7 Oktober 2013
“Rasulullah SAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak
ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak
daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada
satu keadaan yang lebih baik.”
Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi,
tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika
sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Islam mengajar umatnya bagaimana
mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak
berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan
berdiri, adalah lebih baik dia duduk.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian
marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk.
Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad).
Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya
dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk, pertamanya
membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan
hati yang melahirkan ketenangan.
Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu
daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api
itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang
daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.”
Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat
ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih
mana-mana bidadari yang mereka sukakan.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Barang
sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah
akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya
kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat
Tirmizi dan Ibn Majah)
Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia
memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain
digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah, sifat pemaaf
meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi.
Sumber -
http://www.iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan