Isnin, 21 Oktober 2013

SENTIASA BERSYUKUR DAN POSITIF - PROF DR MUHAYA


Rahsia cantik


Wajahnya tampak tenang, sering mengukir senyuman manakala susunan butir bicara dan penampilan gaya sederhana, namun keanggunan terpancar menjadikan sesiapa berurusan dengan wanita penuh sifat positif ini begitu menyenanginya.

Kelibat Pakar Optalmologi dari Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Mohamad, 54, memang tidak asing lagi dalam dunia perubatan dengan khidmatnya tidak sekadar merawat dan mengubati penyakit berkaitan mata, malah kemunculannya mengendalikan program motivasi di kaca televisyen juga dinanti.
 
Hidupnya sentiasa sibuk dan terisi dengan pelbagai tugas hakiki tetapi beliau tampak sentiasa ceria, berseri dan bersemangat. Ini membuatkan FAMILI ingin menyingkap bagaimana ibu kepada dua anak ini menjaga kecantikan dan penampilan seiring dengan penitian usianya.


Prof Dr Muhaya menjelaskan, kecantikan bergantung kepada amalan, corak, gaya hidup yang baik dan sifat positif kerana itu amat penting bagi memancarkan kejelitaan sebenar wanita.


Katanya, beliau tidak pernah mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran semata-mata untuk menambah aura kecantikan wajah, sebaliknya mengamalkan ayat Penghulu Istighfar dan membaca selawat tafrijiyah.

Saya juga mengamalkan bacaan tiga surah Qul sebanyak tiga kali sebelum tidur sebagai ayat pelindung, selain sentiasa berzikir dan bersyukur setiap kali melakukan sesuatu, katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kajang, baru-baru ini.


Kecantikan terserlah memulakan hari dengan motivasi diri dan mengadunkan tiga perkara penting iaitu mengutamakan makanan rohani, makanan fizikal dan makanan emosi. 


'Makanan rohani' yang dimaksudkanProf Dr Muhaya ialah dengan bersembahyang, mengaji dan berzikir untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT manakala 'makanan fizikal', mengamalkan pengambilan makanan seimbang termasuk pil vitamin dan sebagainya. Sementara, 'makanan emosi' sentiasa berniat baik, berbuat baik, membayangkan hari yang baik dan bersifat positif.


Katanya, rutin hariannya sentiasa bersyukur, berdoa, memohon ampun dan bertaubat kepada Allah sebaik saja celik daripada tidur.

Setiap hari adalah hari baru. Saya memohon dijauhi neraka dan didekatkan syurga sambil membayangkan perjalanan hari itu berjalan dengan baik. Apabila kaki melangkah bangun daripada katil, saya akan mengamalkan meminum segelas air putih sambil selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Kemudian, melihat wajah pada cermin, melemparkan senyuman lalu berkata pada diri sendiri:


Alhamdulillah, saya gembira dan bersyukur kerana masih lagi cantik dan sihat seperti usia 40 tahun. Setiap kali sebelum sembahyang Subuh, minum segelas lagi air jenama kesihatan BYoung. Minuman ini dipercayai mengandungi 60 bahan semula jadi seperti cendawan, sayur-sayuran dan campuran pati buah-buahan untuk khasiat tubuh dan kesihatan retina mata.


Saya mencampurkan tiga lagi minuman serbuk lain untuk kolagen, menurunkan kolesterol dan tinggi serat. Sambil minum perlahan, ketika itu saya lakukan beberapa aktiviti lain antaranya menelan sebiji demi sebiji pil kesihatan dan kecantikan.

 
Bagi saya kecantikan dan kesihatan perlu seiringan. Saya mengambil bermacam-macam jenis pil yang mempunyai berbagai fungsi tersendiri antaranya untuk pembakaran lemak, pelangsingan badan, kecerdasan minda, kekuatan tulang dan lutut dan sebagainya, katanya tertawa kecil apabila suaminya, Dr Azmi Jamion sering mengatakan beliau tetap kelihatan umur di syurga iaitu 33 tahun.


Sambil menghabiskan minuman dan menunggu bilik saunanya panas, beliau akan menonton rancangan keagamaan di televisyen dan melayari Facebook yang kini sudah mempunyai lebih 272,000 pengunjung untuk menyampaikan inspirasi kepada peminatnya, di laman laman sosial itu.


Ketika sauna saya akan menghabiskan masa sendirian mendengar cakera padat bermotivasi dan keagamaan sebagai terapi jiwa dan minda. Sauna dilakukan jika tidak sempat bersenam atau ada kalanya melakukan yoga selama 10 minit untuk merenggangkan otot serta meningkatkan fleksibiliti atau berenang bersama cucu, katanya.


Minum air satu kemestian, dengan membawa 2.5 liter air putih ditapis yang dicampur dengan serbuk teh hijau, HerbaLife sebagai amalan minuman kesihatan berfungsi membakar lemak dan anti-penuaan.


Tugasan sebagai pakar perlu memberikan khidmat terbaik kepada pesakit. Sehari kira-kira 15 pesakit datang mendapatkan rawatan. Masa 15 minit untuk rawatan laser mata. Masa makan terhad dan saya gantikan dengan minum banyak air termasuk segelas air campuran ginseng sebelum memulakan tugas," katanya.


Berkali-kali menegaskan sifat positif penting untuk membentuk keperibadian, emosi dan kecantikan individu.


Tidak solat, ia mengundang kepada emosi tak elok. Bersolek tetapi tidak berhubung baik dengan Allah, individu tidak nampak cantik. Saya seperti wanita lain mencuci solekan sebelum tidur dengan sabun mengandungi bahan gunung berapi dari Jerman, diikuti produk kecantikan kulit. Mengoles serum mengandungi vitamin A dan C setiap kali keluar rumah dan produk pelindung mentari dan pelembap.


Saya memakai krim mata untuk menjaga bahagian itu dan menitikkan air mata palsu ke dalam mata. Ia seakan losyen kulit, air mata palsu berfungsi mengelak mata daripada kering dan memberi kesegaran mata, katanya.


Rumah dilengkapi bilik gimnasium dengan dikendalikan oleh jurulatihnya, Indra Shamugam untuk aktiviti kecergasan tubuh dengan latihan dua kali seminggu selama sejam yang mampu membuang 400 kalori bagi setiap sesi. Tumpukan kepada aresistant toning untuk mengelak penyakit osteoporosis dan menguatkan tulang serta regangan, bertujuan mengelak sakit badan.


Saya hanya memakai kasut setinggi dua inci untuk mengelak sakit kaki dan belakang. Saya juga tampil sederhana memakai pakaian Muslimah warna tidak terlalu terang dan longgar hingga paras lutut bagi memudahkan bersolat," katanya yang tidak taksub menggayakan barangan berjenama dan mahal, selain mempunyai butik pakaian dalam talian dan Facebook menerusi jenama Modest Culture. 

Sumber - http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Rahsiacantik/Article/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan