Disediakan oleh Cik Sri Norhafeeza binti Abdul Razak / Rabu / 30 Mei 2012.
Penghijrahan itu
merupakan suatu peralihan cara hidup yang kemudiannya akan memberi kesan pada
masa hadapan. Hijrah itu sinonim dengan perkara yang akan membawa seseorang itu
ke arah kebaikan bukan sebaliknya. Setiap keputusan untuk melakukan penghjrahan
itu datangnya daripada hati yang inginkan kebaikan dalam diri atau ingin
memperbaiki diri.
Bagaimanakah penghijrahan dari suatu tempat ke suatu tempat
yang lain itu boleh memberi kesan yang baik dalam kehidupan? Pada zaman
Rasulullah s.a.w.,
Rasulullah diberi perintah oleh Allah s.w.t.
untuk berhijrah ke Madinah, dan perintah itu ditaati semata-mata kerana Allah s.w.t.. Ancaman orang-orang kafir di tempat
Baginda s.a.w., iaitu di Mekah
bukanlah sebab utama penghijarahan itu berlaku, tetapi atas perintah Allah s.w.t. yang pasti banyak hikmah yang akan
mendatangkan keuntungan kepada seluruh umat Islam secara keseluruhannya.
Keperitan dirasai ketika memulakan penghijrahan, namun
kebahagiaan yang diimpikan pasti sedang menunggu jika penghijrahan itu
dilakukan dengan niat yang baik. Penghijrahan itu tidak akan berlaku
seandainya keadaan pada waktu ini sudah aman, tenteram dan damai (dalam banyak
aspek kehidupan). Tercetusnya tindakan seseorang itu untuk berhijrah
adalah disebabkan oleh kurangnya rasa bahagia di dalam hidupnya kini. Demi
menuju kebaikan diri dan umat khususnya, maka hati yang benar-benar ingin
mencari kebaikan di dunia ini pasti menjadi pemangkin seseorang itu untuk
berhijrah demi menuju kebaikan.
Sesungguhnya apa yang telah kita miliki itu bukanlah sesuatu
yang perlu dipertikaikan lagi, kerana pasti, apa yang telah dimiliki oleh kita
sekarang ini merupakan suatu ujian, iaitu ia akan mencerminkan diri kita sama
ada kita mampu atau tidak untuk menghadapi ujian itu, walau apapun bidang yang
diceburi di dalam dunia ini. Peluang itu berada di mana-mana sahaja, sama ada
peluang untuk melakukan kebaikan atau peluang untuk melakukan keburukan, dan
pelbagai lagi peluang yang sentiasa terbuka untuk diceburi di dunia ini.
Sesungguhnya Allah s.w.t. telah
berfirman dalam surah Al-Baqarah pada ayat terakhir;
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan
kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan
ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.”
Jika apa yang kita ada sekarang ini telah kita yakini bahawa
ia merupakan suatu ujian daripada Allah s.w.t.,
maka mengapa melakukan penghijrahan? Adakah ingin lari daripada ujian Allah s.w.t.? Jika dahulu penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda ke Madinah
merupakan perintah daripada Allah s.w.t.,
maka adakah manusia pada zaman sekarang ini tidak boleh berhijrah kerana tiada
perintah terus daripada Allah s.w.t.
seperti hal penghijrahan Baginda s.a.w?
Kita melihat
penghijrahan Nabi s.a.w. itu sebagai
sesuatu yang telah terjadi dan telah kita ketahui kesannya, maka daripada itu
kita melihat apakah makna sebenar penghijrahan. Penghijrahan yang kita fahami
daripada peristiwa penghijrahan Nabi s.a.w.
merupakan suatu perkara yang membincangkan hal hijrah yang lengkap dalam aspek
kehidupan seharian.
Dalam kehidupan kita, ada hijrah yang dilakukan secara semula
jadi atas usaha yang telah kita usahakan. Manakala ada penghijrahan yang
dilakukan tanpa keadaan yang semula jadi, dan hijrah ini merupakan hijrah yang
memeritkan diawalnya. Ia perit jika tindakan kita itu dinilai kesannya dengan
penilaian yang berkaitan tentang perkara keduniaan, bukan penilaiaan yang
bersandarkan keakhiratan.
Penghijrahan itu suatu perkara yang berat, setiap perkara yang
dirasakan berat itu merupakan suatu bebanan, setiap bebanan yang kita rasai
pula merupakan suatu ujian yang datang daripada Allah s.w.t.. Setiap ujian Allah s.w.t. itu bertujuan untuk mengesan keimanan
dan ketaqwaan kita kepadaNya, setiap ujian yang kita hadapi itu hanya bertujuan
untuk kebaikan diri kita, jika bukan di dunia, maka di akhiratlah kebaikan itu
muncul. Sesungguhnya, hanya insan-insan yang sedar akan ujian itu diberikan
kepadanya sahaja yang akan memahami bahawa ia bertujuan untuk kebaikan. Atas
kesedaran itu, maka muncul pula tindakan untuk menggapai kebaikan di sebalik
ujian yang dihadapi. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, hikmah itu perlu
dicari, pencariannya haruslah bersama kesedaran yang mengiringi, dan setiap
kesedaran itu harus berteraskan aqidah yang betul dan hakiki di sisi Allah s.w.t..
Sumber dari - http://muslimnetwork.wordpress.com