Jumaat, 26 September 2014

INTERAKTIF KRAF DI SEKOLAH SEK. KEB. BESTARI JAYA



Pada 25 September 2014 yang lalu 'team J1M1K' telah kembali sekali lagi ke Sekolah Kebangsaan Bestari Jaya kerana dijemput oleh Pengurusan sekolah ini bagi mengadakan interaktif kraf mencanting dan mewarna batik serta mewarna tabung tempurung. Kali pertama kami ke sini ialah pada dua tahun lepas untuk aktiviti mewarna batik dan kipas. Alhamdulillah, sambutan pada kali ini juga amat menggalakkan seperti dua tahun lalu.



Suasana sungguh meriah takkala kami tiba di sekolah ini memandangkan aktiviti interaktif ini merupakan aktiviti sampingan sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak anjuran sekolah ini. Team J1M1K turut dibantu oleh beberapa orang guru dan pembantu guru sekolah ini kerana ia melibatkan hampir 100 pelajar peringkat Prasekolah dan Pendidikan Khas. Semua nampak teruja mewarna pelbagai bentuk tabung buah-buahan dan mewarna batik karakter kartun . Jom, kita lihat gelagat adik-adik comel ni...













Isnin, 22 September 2014

ORIENTASI NOSTALGIA FAKULTI FARMASI UiTM PUNCAK ALAM




Sudah tiga tahun berturut-turut team J1M1K turun padang ke Fakulti Farmasi, UiTM Puncak Alam untuk sesi mencanting batik di sini. Alhamdulillah, Dekan Fakulti Farmasi ini sangat meminati aktiviti seni terutamanya kraf. Dia mahu 'anak-anak' yang belajar Sains turut terlibat dalam aktiviti seni kerana seni kan mampu memberikan ketenangan jika dilakukan secara santai pada masa lapang. 


Kami datang atas jemputan mengajar mencanting batik sempena aktiviti 'Orientasi Pelajar Semester 1, Fakulti Farmasi. Aktiviti yang bermula pada jam 10.00 pagi ini agak meriah. Pada mulanya mereka agak kekok dan mengaku diri sendiri 'buta seni' tapi semua ilmu boleh kita dapat melalui pembelajaran kan? Cepat saja mereka belajar dan boleh mencanting tanpa sebarang masalah.



Pada kali ini pengisian aktiviti sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika, sebelum ini sesi mencanting dilakukan secara santai, namun kali ini agak mencabar kerana aktiviti mencanting batik ini jadikan 'check point' terakhir sebelum menamatkan aktiviti ala-ala 'tresure hunt'. Memang kelam kabut kedua-dua pihak. Baik team J1M1K mahupun ahli kumpulan yang bertanding. Semuanya kena pantas! Aktiviti yang melibatkan hampir 20 kumpulan dengan bilangan 350 peserta ini memang sangat meriah dengan pelbagai gelagat. Jom, kita lihat..


















Jumaat, 19 September 2014

ADAB DAN SUNNAH HARI JUMAAT




1. Memperbanyakkan Selawat ke atas Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang ertinya, “Sesungguhnya hari yang paling utama bagi kalian adalah hari Jumaat, maka perbanyaklah selawat kepadaku di dalamnya, kerana selawat kalian akan ditunjukkan kepadaku.


Para sahabat berkata: ‘Bagaimana ditunjukkan kepadamu sedangkan engkau telah menjadi tanah?’ Nabi bersabda: ‘Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi untuk memakan jasad para Nabi.”


(HR. Abu Dawud, Ibnu Majah, An-Nasa’i)


2. Mandi Jumaat


Mandi pada hari Jumaat adalah sunat yang sangat digalakkan bagi setiap muslim yang baligh berdasarkan hadis Abu Sa’id Al Khudri, di mana Rasulullah S.A.W. bersabda ertinya, “Mandi pada hari Jumaat adalah wajib bagi setiap orang yang baligh.”


(Shahih HR. Bukhori dan Muslim)

Mandi Jumaat ini diwajibkan bagi setiap muslim lelaki yang telah baligh, tetapi tidak wajib bagi anak-anak, wanita, orang sakit dan musafir. Sedangkan waktunya adalah sebelum berangkat solat Jumaat. Mandi Jumaat ini seperti mandi janabah iaitu seperti mandi wajib .. menyiram seluruh anggota tubuh. Rasulullah S.A.W bersabda yang ertinya, ”Barang siapa mandi Jumaat seperti mandi janabah.”

(Shahih HR. Bukhari dan Muslim)


3. Menggunakan Minyak Wangi


Rasulullah S.A.W. bersabda yang ertinya, ”Barang siapa mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, lalu memakai minyak rambut atau minyak wangi kemudian berangkat ke masjid dan tidak memisahkan antara dua orang, lalu solat sesuai yang ditentukan baginya dan ketika imam memulakan khutbah, ia diam dan mendengarkannya maka akan diampuni dosanya mulai Jumaat ini sampai Jumaat berikutnya.”


(Shahih HR. Bukhari dan Muslim)


4. Bersegera untuk Berangkat ke Masjid


Anas bin Malik berkata, ”Kami berpagi-pagi menuju solat Jumaat dan tidur siang setelah solat Jumaat.”


(Shahih HR. Bukhari)


Al Hafidz Ibnu Hajar berkata, ”Makna hadis ini iaitu para sahabat memulai solat Jumaat pada awal waktu sebelum mereka tidur siang, berbeza dengan kebiasaan mereka pada solat dzuhur ketika panas, sesungguhnya para sahabat tidur terlebih dahulu, kemudian solat ketika matahari telah rendah panasnya.”


(Lihat *Fathul Bari II/388)


5. Solat Sunat ketika Menunggu Imam atau Khatib


Abu Huroiroh R.A menuturkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda,”Barang siapa mandi kemudian datang untuk solat Jumaat, lalu ia solat semampunya dan dia diam mendengarkan khutbah hingga selesai, kemudian solat bersama imam maka akan diampuni dosanya mulai jumaat ini sampai jumaat berikutnya ditambah tiga hari.”


(Shahih HR. Muslim)


6. Tidak Duduk dengan Memeluk Lutut Ketika Khatib Berkhutbah


“Sahl bin Mu’ad bin Anas mengatakan bahwa Rasulullah melarang Al Habwah iaitu dengan cara duduk sambil memegang lutut pada ketika solat Jumaat ketika imam sedang berkhutbah.”


(Hasan HR. Abu Dawud, Tirmidzi)


7. Solat Sunat setelah Solat Jumaat


Rasulullah S.A.W. bersabda yang ertinya, “Apabila kalian telah selesai mengerjakan solat Jumaat, maka solatlah empat rakaat.” Amr menambahkan dalam riwayatnya dari jalan Ibnu Idris, bahawa Suhail berkata,“Apabila engkau tergesa-gesa kerana sesuatu, maka solatlah dua rakaat di masjid dan dua rakaat apabila engkau pulang.”


(Shahih HR. Muslim dan Tirmidzi)


8. Membaca Surat Al Kahfi


Nabi bersabda yang ertinya, ”Barang siapa yang membaca surat Al Kahfi pada hari Jumaat maka Allah akan meneranginya di antara dua Jumaat.”
(HR. Imam Hakim dalam Mustadrok)

Sumber - http://www.sinarharian.com.my/adab-dan-sunnah-hari-jumaat

Khamis, 18 September 2014

SEMINAR 'GOODS & SERVICES TAX' (GST)




GST oh GST... Alhamdulillah semalam (17 September 2014), dengan izin Allah KMCS dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Negeri Selangor telah menganjurkan Seminar 'Goods & Services Tax' atau lebih dikenali dengan GST bertempat di Auditorium, Institut Kraf Negara, Rawang. Seminar ini telah dirasmikan oleh Puan Ruslah Khalid, Pengarah KMCS pada jam 9.30 pagi. 


Jabatan Kastam DiRaja Malaysia telah menghantar dua (2) orang pegawai sebagai panel penceramah iaitu Puan Nooramilia dan Puan Charan Kaur a/p Bishen Singh serta lima (5) orang anggota bagi mengendalikan urusan pendaftaran GST. Sebanyak 3 kaunter pendaftaran telah dibuka sejak dari jam 9.00 pagi sehingga 4.30 petang. 


Hampir 80 orang peserta yang terdiri daripada usahawan, anggota kerja dan beberapa wakil daripada syarikat swasta telah terlibat dalam seminar ini. Alhamdulillah, para peserta nampak sungguh teruja dan banyak mengutarakan soalan bagi mendapatkan penjelasan berkaitan GST.



Seperti yang semua sedia maklum, Kerajaan akan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa pada 1 April 2015 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang dimansuhkan. 

Pelaksanaan GST ini akan melibatkan semua sektor ekonomi termasuklah industri kraf. Sehubungan itu, bagi usahawan yang wajib mendaftar tetapi gagal mendaftar sebelum 31 Disember 2014, mereka akan dikenakan denda sebanyak RM30,000.00 seperti mana yang diwar-warkan oleh pihak Kastam melalui media.


Seminar berakhir pada jam 4.30 petang dan hampir 13 usahawan kraf yang wajib mendaftar GST telah mendaftar manakala selebihnya akan mendaftar kemudian disebabkan terdapat beberapa dokumen yang diperlukan tidak lengkap. 


Saya mewakili pihak urus setia, Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Negeri Selangor dan semua usahawan kraf yang sudi meluangkan masa untuk menghadiri seminar yang sungguh bermanfaat ini dan memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan serta kelemahan di sepanjang majlis ini berlangsung.