Baru-baru ini, KMCS telah mengadakan Taklimat Kesedaran Keselamatan Kebakaran bertempat di Bilik Mesyuarat KMCS dan telah disampaikan oleh Encik Tan wakil daripada Jabatan Pusat Pencegahan Kebakaran Kuala Lumpur. Jom, kita lihat reaksi dan gelagat rakan-rakan KMCS ketika sesi taklimat ini.
NO. 1, KM. 20, JALAN IPOH-RAWANG, TAMAN REKREASI TEMPLER, 48000 RAWANG, SELANGOR. TEL:03-60916564 FAKS:03-60915463
Selasa, 29 Oktober 2013
Jumaat, 25 Oktober 2013
UCAPAN TAHNIAH KEPADA YBHG. DATO' MOHD KAMIL
Seluruh warga KMCS merakamkan ucapan tahniah kepada YBhg. Dato' Mohd Kamil bin Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia di atas penerimaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang ke-83 pada 24 Oktober 2013.
Khamis, 24 Oktober 2013
PAMERAN BATIK ATAS KERTAS
Pernah dengar batik di atas kertas? Ha, saya pun baru saja dengar bulan lepas. Maklumlah, bukan semua pandai batik. Apa batik atas kertas? Sebenarnya, batik di atas kertas adalah batik yang dilukis di atas kertas dan bukan di atas kain seperti biasa. Ia masih lagi menggunakan warna dan lilin batik cuma menggunakan kertas sebagai medium utama.
KMCS turut membantu dalam menyelaras penyertaan beberapa usahawan batik yang turut serta dalam Pameran Batik Atas Kertas ini. Pameran ini merupakan idea dan usaha keras daripada Mama Gajah (isteri kepada Yusuf Gajah) dan Prof Salmah (UKM) telah diadakan bertempat di Lobi, Hotel Seri Pacifc, Kuala Lumpur. Beberapa pelajar daripada UiTM juga telah turut menghantar 'hasil tangan' mereka untuk sama-sama dipamerkan semasa pameran ini berlangsung.
Pameran yang bermula pada hari ini (24 Oktober 2013) akan berlangsung sehingga 15 November 2013. Majlis perasmian pameran ini akan diadakan pada 28 Oktober 2013 bertempat di hotel yang sama.
Jom, tengok persiapan yang telah dilakukan semalam (23 Oktober 2013) bersama Prof Salmah, Mama Gajah, En. Fikri (Pensyarah UiTM Machang), Fiza, Moon, Shaza (Pelajar UiTM Shah Alam) dan Cik Sarimah Ahmad di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Kami di KMCS berbesar hati menjemput Tuan/Puan untuk hadir sepanjang pameran ini berlangsung. Banyak lukisan menarik yang menanti anda di sana. Jadi, jom pakat datang ramai-ramai bagi memeriahkan pameran ini.
Rabu, 23 Oktober 2013
MESYUARAT JKP BULAN OKTOBER
Assalamualaikum dan Salam Selasa buat semua pembaca blog KMCS yang tersayang...
Erm.. Kami memohon maaf kerana sejak akhir-akhir ini jarang dapat meluangkan masa untuk meninggalkan coretan buat anda semua. Bukan sudah melupakan teratak kecil kami ini namun, keadaan internet yang tidak mengizinkan kami untuk bersama kalian selalu.
Seperti biasa, saban bulan kami akan duduk di meja bulat bagi bermesyuarat. Mesyuarat apa? Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan atau nama singkatannya JKP bagi bulan Oktober 2013. Puan Pengarah sebagai Pengerusi Mesyuarat telah menyampaikan beberapa amanat penting dan membincangkan status aktiviti semasa yang memerlukan tindakan segera oleh semua unit di KMCS.
Mesyuarat ini bermula pada 9.00 pagi telah berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Alhamdulillah, hampir semua unit di KMCS telah melepasi sasaran KPI yang telah ditetapkan dan kami akan terus berusaha untuk memantapkan lagi perkhidmatan kami dari masa ke semasa, insya-Allah.
Isnin, 21 Oktober 2013
SENTIASA BERSYUKUR DAN POSITIF - PROF DR MUHAYA
Wajahnya tampak tenang, sering mengukir senyuman manakala susunan
butir bicara dan penampilan gaya sederhana, namun keanggunan terpancar
menjadikan sesiapa berurusan dengan wanita penuh sifat positif ini
begitu menyenanginya.
Kelibat Pakar Optalmologi dari Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Mohamad, 54, memang tidak asing lagi dalam dunia perubatan dengan khidmatnya tidak sekadar merawat dan mengubati penyakit berkaitan mata, malah kemunculannya mengendalikan program motivasi di kaca televisyen juga dinanti.
Kelibat Pakar Optalmologi dari Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Mohamad, 54, memang tidak asing lagi dalam dunia perubatan dengan khidmatnya tidak sekadar merawat dan mengubati penyakit berkaitan mata, malah kemunculannya mengendalikan program motivasi di kaca televisyen juga dinanti.
Hidupnya sentiasa sibuk dan terisi dengan pelbagai tugas hakiki
tetapi beliau tampak sentiasa ceria, berseri dan bersemangat. Ini
membuatkan FAMILI ingin menyingkap bagaimana ibu kepada dua anak ini
menjaga kecantikan dan penampilan seiring dengan penitian usianya.
Prof Dr Muhaya menjelaskan, kecantikan bergantung kepada amalan, corak, gaya hidup yang baik dan sifat positif kerana itu amat penting bagi memancarkan kejelitaan sebenar wanita.
Katanya, beliau tidak pernah mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran semata-mata untuk menambah aura kecantikan wajah, sebaliknya mengamalkan ayat Penghulu Istighfar dan membaca selawat tafrijiyah.
Saya juga mengamalkan bacaan tiga surah Qul sebanyak tiga kali sebelum tidur sebagai ayat pelindung, selain sentiasa berzikir dan bersyukur setiap kali melakukan sesuatu, katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kajang, baru-baru ini.
Kecantikan terserlah memulakan hari dengan motivasi diri dan mengadunkan tiga perkara penting iaitu mengutamakan makanan rohani, makanan fizikal dan makanan emosi.
'Makanan rohani' yang dimaksudkanProf Dr Muhaya ialah dengan bersembahyang, mengaji dan berzikir untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT manakala 'makanan fizikal', mengamalkan pengambilan makanan seimbang termasuk pil vitamin dan sebagainya. Sementara, 'makanan emosi' sentiasa berniat baik, berbuat baik, membayangkan hari yang baik dan bersifat positif.
Katanya, rutin hariannya sentiasa bersyukur, berdoa, memohon ampun dan bertaubat kepada Allah sebaik saja celik daripada tidur.
Setiap hari adalah hari baru. Saya memohon dijauhi neraka dan didekatkan syurga sambil membayangkan perjalanan hari itu berjalan dengan baik. Apabila kaki melangkah bangun daripada katil, saya akan mengamalkan meminum segelas air putih sambil selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Kemudian, melihat wajah pada cermin, melemparkan senyuman lalu berkata pada diri sendiri:
Alhamdulillah, saya gembira dan bersyukur kerana masih lagi cantik dan sihat seperti usia 40 tahun. Setiap kali sebelum sembahyang Subuh, minum segelas lagi air jenama kesihatan BYoung. Minuman ini dipercayai mengandungi 60 bahan semula jadi seperti cendawan, sayur-sayuran dan campuran pati buah-buahan untuk khasiat tubuh dan kesihatan retina mata.
Saya mencampurkan tiga lagi minuman serbuk lain untuk kolagen, menurunkan kolesterol dan tinggi serat. Sambil minum perlahan, ketika itu saya lakukan beberapa aktiviti lain antaranya menelan sebiji demi sebiji pil kesihatan dan kecantikan.
Bagi saya kecantikan dan kesihatan perlu seiringan. Saya mengambil bermacam-macam jenis pil yang mempunyai berbagai fungsi tersendiri antaranya untuk pembakaran lemak, pelangsingan badan, kecerdasan minda, kekuatan tulang dan lutut dan sebagainya, katanya tertawa kecil apabila suaminya, Dr Azmi Jamion sering mengatakan beliau tetap kelihatan umur di syurga iaitu 33 tahun.
Sambil menghabiskan minuman dan menunggu bilik saunanya panas, beliau akan menonton rancangan keagamaan di televisyen dan melayari Facebook yang kini sudah mempunyai lebih 272,000 pengunjung untuk menyampaikan inspirasi kepada peminatnya, di laman laman sosial itu.
Ketika sauna saya akan menghabiskan masa sendirian mendengar cakera padat bermotivasi dan keagamaan sebagai terapi jiwa dan minda. Sauna dilakukan jika tidak sempat bersenam atau ada kalanya melakukan yoga selama 10 minit untuk merenggangkan otot serta meningkatkan fleksibiliti atau berenang bersama cucu, katanya.
Minum air satu kemestian, dengan membawa 2.5 liter air putih ditapis yang dicampur dengan serbuk teh hijau, HerbaLife sebagai amalan minuman kesihatan berfungsi membakar lemak dan anti-penuaan.
Tugasan sebagai pakar perlu memberikan khidmat terbaik kepada pesakit. Sehari kira-kira 15 pesakit datang mendapatkan rawatan. Masa 15 minit untuk rawatan laser mata. Masa makan terhad dan saya gantikan dengan minum banyak air termasuk segelas air campuran ginseng sebelum memulakan tugas," katanya.
Berkali-kali menegaskan sifat positif penting untuk membentuk keperibadian, emosi dan kecantikan individu.
Tidak solat, ia mengundang kepada emosi tak elok. Bersolek tetapi tidak berhubung baik dengan Allah, individu tidak nampak cantik. Saya seperti wanita lain mencuci solekan sebelum tidur dengan sabun mengandungi bahan gunung berapi dari Jerman, diikuti produk kecantikan kulit. Mengoles serum mengandungi vitamin A dan C setiap kali keluar rumah dan produk pelindung mentari dan pelembap.
Saya memakai krim mata untuk menjaga bahagian itu dan menitikkan air mata palsu ke dalam mata. Ia seakan losyen kulit, air mata palsu berfungsi mengelak mata daripada kering dan memberi kesegaran mata, katanya.
Rumah dilengkapi bilik gimnasium dengan dikendalikan oleh jurulatihnya, Indra Shamugam untuk aktiviti kecergasan tubuh dengan latihan dua kali seminggu selama sejam yang mampu membuang 400 kalori bagi setiap sesi. Tumpukan kepada aresistant toning untuk mengelak penyakit osteoporosis dan menguatkan tulang serta regangan, bertujuan mengelak sakit badan.
Saya hanya memakai kasut setinggi dua inci untuk mengelak sakit kaki dan belakang. Saya juga tampil sederhana memakai pakaian Muslimah warna tidak terlalu terang dan longgar hingga paras lutut bagi memudahkan bersolat," katanya yang tidak taksub menggayakan barangan berjenama dan mahal, selain mempunyai butik pakaian dalam talian dan Facebook menerusi jenama Modest Culture.
Sumber - http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Rahsiacantik/Article/
Isnin, 7 Oktober 2013
SEJUKKAN DENGAN WUDUK
Disediakan oleh Mursyida Mansor/ Santapan Rohani / 7 Oktober 2013
“Rasulullah SAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak
ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak
daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada
satu keadaan yang lebih baik.”
Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi,
tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika
sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Islam mengajar umatnya bagaimana
mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak
berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan
berdiri, adalah lebih baik dia duduk.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian
marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk.
Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad).
Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya
dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk, pertamanya
membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan
hati yang melahirkan ketenangan.
Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu
daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api
itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang
daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.”
Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat
ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih
mana-mana bidadari yang mereka sukakan.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Barang
sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah
akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya
kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat
Tirmizi dan Ibn Majah)
Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia
memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain
digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah, sifat pemaaf
meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi.
Sumber -
http://www.iluvislam.com
Jumaat, 4 Oktober 2013
PETUA MENGILATKAN BARANGAN TEMBAGA
Jika anda mempunyai
barang antik atau perhiasan daripada tembaga yang sudah kusam, usah risau. Ia dapat dikilatkan dengan kos yang sangat rendah.
Caranya, ramas asam jawa dengan air dan gosok menggunakan kain kepada
barang tembaga. Basuh dan keringkan tembaga tersebut, pasti bahan
tembaga tadi berkilat dan bersinar. Selamat mencuba.
Khamis, 3 Oktober 2013
MOTIVASI - UBAT HATI
Sedar atau tidak ramai di antara kita tidak mempunyai ketenangan hati.
Ini kerana mereka mencari ketenangan tidak pada sumbernya. Di anggapnya
harta memberi ketenangan, maka diburunya harta, akhirnya harta itu
jugalah yang merungsingkannya. Diburunya pangkat, disangka pangkat
memberi ketenangan padanya, rupanya, dengan pangkat, lagi tidak tenang,
lantaran takut pangkatnya hilang.
Inilah manusia. Allah
menyatakan di dalam al-Quran bahawa Allahlah pemilik ketenangan dan Dia
hanya memberikannya pada hati orang yang beriman. Mari kita renung,
kesilapan mencari tenang dan bagaimanakah ubatnya.
1. Ramai orang
mencari ketenangan dengan sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka
melihat keaiban orang lain, tidak redha. tidak bersyukur dan sebagainya,
tetapi hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada sifat mazmumah itu
ketenangan. Ubat bagi hati seperti ini ialah dengan menanam dan
menyuburkan sifat mahmudah
2. Ramai orang mencari ketenangan
dengan melakukan maksiat seperti bergaul lelaki perempuan, mendengar
muzik dan sebagainya. tetapi hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada
maksiat itu mendatangkan ketenangan. Ubat bagi sikap seperti ini ialah
dengan menggantikan setiap maksiat dengan ketaatan
3. Ramai orang
mencari ketenangan dengan memperbanyakkan harta yang tidak tahu apakah
sumbernya, hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada harta yang haram itu
mencukupkan. Ubat bagi hati tamakkan harta sehingga terlibat dengan yang
haram ialah dengan mencari dan berusaha kepada harta yang halal
4.
Ramai orang merasa puas jika bersikap bongkak dengan manusia. Jika dia
berpangkat, boleh tengking orang, boleh arah orang dengan kasar dan dia
seolah-olah rasa puas sedangkan Allah tidak akan menjadikan pada
kesombongan itu kemuliaan. Ubat bagi penyakit ini ialah melatih hati
supaya sentiasa tawadhuk.
5. Ramai orang lalai melayan perasaan
sedihnya sedangkan Allah tidak menjadikan pada putus asa itu jalan
keluar. Ubat bagi penyaki ini ialah kesabaran
6. Ramai orang yang
cuba mencari kepuasan dengan dunia, dicubanya berbagai aktiviti supaya
hatinya puas sedangkan Allah tidak menjadikan pada cinta dunia itu
kepuasan, ubat bagi hati yang demikian ialah memperkukuhkan hati
mencintai Allah. Dua cinta tidak akan duduk di dalam satu hati. Jika
seorang telah mencintai dunia, maka cinta Allah payah ingin dirasakan.
7.
Ramai orang yang merasa puas jika dia marah-marah sedangkan Allah tidak
menjadikan pada marah itu hikmah. Ubat bagi hati dan lidah yang marah
ialah menanamkan cinta akhirat. Dengan demikian, rasa tidak puas hati
pada dunia akan kurang.
Demikianlah beberapa keadaan hati dan ubatnya, semoga memberi manfaat kepada kita semua, amin...
Langgan:
Catatan (Atom)