Selasa, 31 Disember 2013

SELAMAT TAHUN BARU 2014



Padi dijemur di dalam nyiru,
   Diletak bersama bunga raya,
Kami ucapkan 'Selamat Tahun Baru',
   Seiring doa agar terus berjaya.


Kami warga KMCS mengucapkan 'Selamat Tahun Baru' 2014 kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia dan rakyat Malaysia. Doa kami agar kita semua dilimpahi rahmat, dimurahkan rezeki serta diberikan kejayaan dunia dan akhirat, insya-Allah.

SESI PEMBENTANGAN KPI KALI TERAKHIR 2013..


Cepat sungguh masa berlalu. Hari ini sudah 31 Disember 2013. Tinggal beberapa jam sahaja lagi kita akan masuk ke tahun baru 2014. Tahun 2013 akan meninggalkan kita dengan pelbagai kenangan. Suka duka, pahit getir dan segala macam rasa terlipat kukuh dalam ingatan. 


Setiap orang mempunyai catatan pengalaman dan kenangan tersendiri. Bagi kami di KMCS, tahun 2013 merupakan tahun yang sungguh indah kerana banyak pengalaman baru telah ditimba dan banyak kelemahan telah diperbaiki sedikit demi sedikit bagi meningkatkan kualiti kerja kami di sini.

Pada hari ini, kami di KMCS telah berkumpul bersama-sama dalam majlis serba ringkas bagi kali terakhir tahun 2013. Majlis pada kali ini lebih kepada sesi pembentangan KPI bagi setiap unit di KMCS. Unit-unit yang terlibat adalah Unit Rekaan, Unit Usahawan, Unit Promosi, Unit Pemuliharaan serta Unit Pentadbiran dan Kewangan. 

Alhamdulillah, hampir semua unit di KMCS telah mencapai sasaran KPI yang telah ditetapkan dan peruntukan yang diturunkan juga telah mencapai 100% belanja. Di sini, ingin saya kongsikan sasaran KPI yang telah ditetapkan bagi setiap Program Pembangunan KMCS dan butirannya adalah seperti berikut:


Manakala, bagi Unit Pentadbiran dan Kewangan pula, semua warga KMCS telah berjaya mencapai 100% menghadiri kursus lebih daripada tujuh hari, melaksanakan lebih enam kali Mesyuarat KPKA dan JKPAK serta sembilan kali Mesyuarat JKPC. Dari segi perbelanjaan mengurus juga, KMCS telah mencapai hampir 95% belanja berakhir 31 Disember 2013.



Di akhir majlis, Puan Pengerusi telah mengucapkan tahniah kepada semua warga KMCS di atas kerjasama baik yang telah diberikan serta turut menyarankan agar semua warga KMCS meningkatkan usaha, bekerja dengan ikhlas, bersungguh-sungguh, bertanggungjawab dan penuh amanah bagi menghadapi tahun 2014. Selamat Tahun Baru 2014.


SELANGOR MUNCUL LAGI SEBAGAI JUARA SHOWCASE SDSI 2013...

Gambar kenangan semua pemenang Showcase SDSI 2014

Alhamdulillah dan syabas kami di KMCs ucapkan kepada usahawan kraf negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang telah menyertai Karnival Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Nasional 2013 dan telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SDSI 2013 dengan membawa pulang hadiah sebanyak RM125,000.00 pada  29 November hingga 1 Disember 2014 yang lalu.

Nampaknya, sudah dua tahun berturut-turut negeri Selangor telah muncul sebagai Juara Keseluruhan SDSI. Tiada kata yang mampu kami ungkapkan dan ucapkan melainkan sekalung tahniah serta berbangga dengan pencapaian usahawan SDSI kami yang telah menggondol beberapa hadiah dan turut menyumbang kepada kecemerlangan negeri Selangor.

Mengimbas kembali kejayaan usahawan SDSI negeri Selangor dan Kuala Lumpur pada tahun 2012 telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada usahawan syarikat Abas & Sal Batik yang telah menggondol dua hadiah iaitu Tempat Pertama bagi kategori Tekstil dan Hadiah Terbaik bagi kategori Produk Inovasi dan syarikat D'Or Rue telah memenangi Tempat Kedua bagi kategori Logam.

Pada tahun 2013 pula, sekali lagi tuah dan rezeki telah menyebelahi syarikat East Art Enterprise dengan memenangi Tempat Kedua bagi Kluster Kraf, Laman Kraf Tani Sdn. Bhd. juga turut memenangi Tempat Kedua bagi Kluster Hasil Rimba dan Barakaff Holdings Sdn. Bhd. telah mendapat Tempat Ketiga bagi Kluster Tekstil.

Bagi meraikan kemenangan tersebut, pihak Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Negeri Selangor) telah mengadakan satu majlis sebagai tanda penghargaan kepada usahawan yang telah diadakan pada 20 Disember 2013 yang lalu.

Kami amat bersyukur dan berdoa agar usahawan kami sentiasa dikurniakan kejayaan dan lebih tekun berusaha bagi menempa kejayaan di peringkat yang lebih baik. Kami juga mengambil kesempatan ini mengucapkan "Tahniah dan semoga maju jaya pada masa hadapan".

Isnin, 16 Disember 2013

INFO KRAF - TENUNAN SONGKET

 Sumber gambar - Manang Songket

Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kreativiti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.
 
Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan. Tenunan songket mula berkembang dibeberapa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

 Sumber gambar - Manang Songket


Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan. Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.

  Sumber gambar - Manang Songket

Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.

 Sumber gambar - Manang Songket

Tradisi menenun masih dapat dikekalkan tidak berubah sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenunan atau kek, motif dan ragamhiasnya serta cara menenun itu sendiri memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan hasil ciptaan zaman silam yang masih segar hingga ke hari ini.


Sumber - http://www.kraftangan.gov.my
Sumber gambar - http://authentique-terengganu.blogspot.com/2010/12/classy-songket-by-wan-manang-songket.html

Jumaat, 13 Disember 2013

PROMOSI KRAF MALAYSIA ANGSANA JOHOR BAHRU MALL

Assalamualaikum dan Salam Jumaat yang penuh barakah...

Apa khabar semua? Sedar mahupun tidak kita kini sudah berada di pertengahan bulan Disember 2013 dan tidak lama sahaja lagi tahun baru 2014 akan menjelma. Kraftangan Malaysia masih lagi giat berusaha untuk membantu usahawan yang kami kasihi walaupun tahun 2013 hanya tinggal beberapa hari lagi.
Bersempena dengan musim cuti sekolah ini, kami, warga Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (KMCS) dengan hormatnya menjemput rakan-rakan pembaca blog KMCS untuk datang beramai-ramai ke Promosi Kraf Malaysia yang telah bermula pada hari ini (13 Disember 2013) sehingga 25 Disember 2013 bertempat di Padang A Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru.  Pelbagai aktiviti diadakan seperti jualan kraf terkini, pameran, interaktif dan juga persembahan kesenian. 

Jadi, bagi yang berkesempatan, jom luangkan masa untuk membawa sesi keluarga dan saudara mara yang berkunjung bagi memeriahkan aktiviti ini. Selain dapat membeli-belah, pasti anak-anak anda mendapat pengalaman baru dengan aktiviti interaktif dan demonstrasi kraf yang kami sediakan. Sama-samalah kita menyokong industri kraf tangan tempatan.

Selasa, 3 Disember 2013

INTERAKTIF KRAF DI SACC MALL, SHAH ALAM

Pada 29 November hingga 1 Disember yang lepas kami team J1M1K turun padang ke SACC Mall, Shah Alam untuk menjayakan aktiviti interaktif kraf mencanting batik dan mewarna tempurung. Aktiviti ini adalah sempena Promosi Kraf Tekstil 2013 yang telah kami anjurkan bermula pada 26 November hingga 4 Disember 2013. 

Memang sungguh meriah. Ramai yang menyertai kami untuk aktiviti interaktif ini. Mereka pun gembira bila tengok hasil tangan sendiri. Apa-apa pun, orang-orang Shah Alam memang terbaik :)












 Jangan lupa nantikan kedatangan kami ke sini lagi. Tahun depan insya-Allah kita jumpa lagi...

Isnin, 2 Disember 2013

MARI RAMAI-RAMAI DATANG PROMOSI KRAF TEKSTIL DI SACC MALL

Walaupun, tahun 2013 kian hampir melabuhkan tirainya, namun kami di KMCS masih lagi berusaha untuk meningkatkan jualan usahawan-usahawan kraf dengan melaksanakan Promosi Kraf Tekstil bertempat di Pusat Beli-Belah SACC Mall, Shah Alam. 

Promosi yang telah bermula pada 26 November 2013 yang lalu, akan berlangsung selama sembilan (9) hari dan akan berakhir pada 4 Disember 2013. Seramai 14 usahawan kraf tekstil yang telah dijemput dari beberapa negeri termasuk Kelantan, Melaka dan tidak ketinggalan usahawan batik negeri Selangor dan Kuala Lumpur.


Pelbagai jenis tekstil yang dijual di promosi ini termasuk kain dan baju batik, songket dan aneka tekstil yang lain. Di samping itu, aktiviti promosi ini turut dimeriahkan dengan aktiviti interaktif kraf sempena cuti sekolah ini dengan mengadakan aktiviti interaktif mencanting batik dan mewarna tempurung kelapa. 

Kami, warga KMCS dengan berbesar hati menjemput anda semua untuk bersama-sama datang ke SACC Mall bagi memeriahkan lagi promosi ini.