Jumaat, 20 Mei 2011

AGENDA INTEGRITI NASIONAL SEJAUH MANA KESEDARAN KITA


Setelah tujuh tahun pengenalan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan tertubuhnya Institut Integriti Malaysia (IIM), arah tuju pembangunan sebuah negara maju yang dinamik dengan memiliki aset modal insan berkualiti dan berhemah mampu direalisasikan jika peranan tersebut didokong bersama seluruh anggota masyarakat.

Sepanjang bulan April dan Mei ini, pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan Institut Integriti Malaysia (IIM) menjurus kepada pemupukan kesedaran dan pemahaman tentang kepentingan budaya moral dan berakhlak dalam kalangan rakyat, agensi kerajaan mahupun organisasi korporat.

Pelbagai cadangan dan pendekatan telah disuarakan dalam usaha menyuburkan kembali nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat yang dilihat kian terhakis kini. Terdapat beberapa elemen penting yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak bermula dengan pengukuhan institusi kekeluargaan yang semakin rapuh kini.

Sehubungan itu, sebagai sebuah pelan yang lahir selaras dengan aspirasi rakyat untuk kesejahteraan bersama, Pelan Integriti Nasional (PIN) telah menggariskan beberapa ciri khusus dengan tumpuannya untuk meningkatkan pegangan moral dan etika rakyat secara lebih menyeluruh.

Konsep dan amalan berintegriti ini telah diberi penekanan khusus ke arah menjadikan rakyat Malaysia komuniti moden bertamadun dan berakhlak selaras dengan falsafah ke arah negara maju berpendapatan tinggi. Matlamat ini memerlukan perancangan strategik dan berpanjangan untuk merealisasikannya.

Menurut Muhyiddin, konteks politik hari ini, pemimpin dan pemerintah berperanan penting dalam menbentuk tahap kebolehpercayaan institusi kerajaan di mata rakyat bagi mengelakkan persepsi negatif serta tanggapan birokrasi menebal dan penyalahgunaan kuasa dalam sektor awam.

Persoalan rasuah dan salah guna kuasa tidak hanya berlegar di sekitar nafsu penguasa sahaja, sebaliknya ia turut melibatkan semua peringkat organisasi jika tiada langkah konkrit diambil segera bagi mengawal dan membasminya.

”Dalam perjalanan menuju negara maju, hakikat yang perlu kita sedari ialah kemajuan tidak harus semata-mata dinilai dari aspek pencapaian ekonomi dan teknologi, tetapi melibatkan ketinggian nilai sosial, budaya , moral, intelek, etika dan rohani.

“Kewujudan sebuah masyarakat yang berintegriti iaitu masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai etika, moral dan kerohanian yang luhur merupakan prasyarat utama kepada keupayaan kita untuk mengurus kejayaan dan menuju masa depan lebih gemilang”, katanya.


Perkara yang disentuh oleh pembentang kertas kerja di dalam Forum Integriti ialah:

• Keutuhan moral individu, masyarakat bangsa mahupun institusi bergantung kepada banyak faktor, antaranya ialah kurangnya nilai dan moral serta tiada ketakwaan kepada Tuhan.


• “Aspek atau gejala rasuah sebahagian besarnya muncul daripada kurangnya nilai integriti dalam diri. Ia amat bersangkut paut dengan nilai moral seseorang iaitu tidak amanah, tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri dan sebagainya.


• “Berdasarkan Indek Persepsi Rasuah 2010, 20 buah negara paling kurang rasuah dunia memperlihatkan hanya sebuah negara Islam disenaraikan iaitu Qatar di kedudukan ke-19 dengan 7.7 mata.


• “Manakala daripada sembilan negara paling rasuah dicatatkan, hanya Myanmar bukan negara Islam dengan 1.4 mata, selebihnya negara Islam. Malaysia pula dengan 4.4 mata berada di kedudukan 56” jelasnya.


• Rendahnya prestasi dan nilai integriti di kalangan negara islam perlu dilembagakan semula sikap dan budaya dengan menjadikan takwa satu dasar dan budaya dalam kepimpinan dan pemerintahan negara.


Sumber dipetik dari – Utusan Malaysia, Selasa, 10 Mei 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan