Selasa, 10 Mei 2011

ESTET…KERANAMU MAHMERI


ESTET~ keranamu Mahmeri… Seawal pagi yang hening dan nyaman ditambah pula dengan semangat berkobar-kobar, kali ini kami berkunjung lagi ke Pulau Carey, demi memartabatkan seni kraf, warisan khazanah tidak ternilai.

Apa pun, bukan suatu kebetulan bagi Unit Usahawan ditugaskan untuk membuat lawatan sambil bekerja ke sebuah lagi perkampungan Orang Asli di Pulau Carey kerana lebih kurang dua bulan yang lalu, kami sudahpun berkunjung ke sini.

Kali ini, tugasan yang diberi sedikit mencabar, dengar-dengarnya Unit kami perlu menempuhi perjalanan yang agak panjang dengan meredahi kawasan estet ladang kelapa sawit semata-mata untuk bertemu dengan masyarakat Orang Asli di situ yang sangat mahir menghasilkan aktiviti ukiran patung Mahmeri serta anyaman menggunakan daun pandan dan mengkuang.

Terbukti, ‘dengar-dengar’ kami itu benar apabila tempoh perjalanan kami ke checkpoint Kampung Sungai Kurau mengambil masa hampir dua jam setengah! Mujurlah ditemani oleh pakar, Encik Samri bertindak sebagai pemandu arah. Perjalanan menjadi selesa dan sungguh menyeronokkan.



Syukur, akhirnya kami selamat sampai ke Kampung Sungai Kurau, yang memakan masa sejam perjalanan dari Kampung Sungai Bumbun. Apa yang menarik, kedatangan kami disambut baik oleh penduduk di sana. Kami juga telah dipertemukan dengan wakil masyarakat Asli di situ, Pak Layon Bumbong dan Kak Mili.



Untuk pengetahuan semua, Pak Layon adalah adik kepada Adiguru Kraf ukiran patung Mahmeri, Pak Pion Anak Bumbong. Istimewanya, tidak semua masyarakat Orang Asli di sini mahir mengukir patung dan anyaman. Hanya mereka yang cekap dan berpengalaman luas seperti Pak Layon yang boleh membuatnya. Lagipun, setiap ukiran dan anyaman ini menuntut komitmen yang tinggi dan tidak hairanlah ia dihasilkan atas permintaan dan tempahan. Bukan membuatnya secara sepenuh masa.



Tidak cukup dengan itu, rombongan unit kami dibawa ke kawasan pokok Nyirih Batu dan Nyirih Bunga yang digunakan oleh mereka untuk menghasilkan produk-produk kraf yang menarik.

Sebaik selesai sahaja tugasan, mereka menghidangkan kami air kelapa muda segar yang menjadikan kami serta-merta lebih bertenaga dan bersemangat waja. Tersenyum lebar masing-masing apabila dihidangkan air kelapa muda…murahnya rezeki kami hari ini…Alhamdullilah..

Pengalaman indah ini tidak akan dilupakan kami sampai bila-bila. Jutaan terima kasih kepada Pak Layon serta Kak Mili di atas kerjasama dan maklumat yang diberikan.

Jaga diri dan jangan lupa mengundang kami minum air kelapa muda lagi! Terbaik Dari Ladang! Hihihi .. J









Tiada ulasan:

Catat Ulasan