Rabu, 2 November 2011

DEMI BERKONGSI ILMU…






Kata orang jauh perjalanan, luas pemandangan.. Begitu juga dengan ‘team’ J1M1K yang telah bertamu banyak daerah demi berkongsi ilmu khasnya kepada pelajar-pelajar sekolah. Jika sebelum ini kami telah meredah SMK Kampung Jawa, Klang, namun pada kali ini kami telah meredah hampir ke sempadan Negeri Sembilan bagi meneruskan misi kami bagi menjayakan program J1M1K ini.

Sekolah Kebangsaan Kampung Kuala Pajam, yang terletak di daerah Beranang merupakan sebuah sekolah kecil yang bilangan keseluruhan pelajarnya lebih kurang 500 orang. Biarpun, bilangannya kecil, namun semangat mereka besar. Syabas buat guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah ini yang amat ‘sporting’ dan tekun mendengar penerangan yang telah disampaikan oleh kami.

Guru besar yang pada mulanya sedikit risau untuk membenarkan murid-muridnya untuk mencanting telah berjaya dipujuk oleh Puan Lilis Suriyani. Seorang demi seorang anak muridnya berjaya mencanting dengan baik sedikit sebanyak telah menghilangkan kerisauan tersebut. Akhirnya beliau sendiri teruja untuk mencanting bersama kami semua. Nah, hasilnya pembaca boleh lihat sendiri cantik atau tidak. Percubaan kali pertama yang tidak kurang hebatnya telah ditunjukkan oleh adik-adik yang membesar di sebuah kawasan yang agak terpencil.

Selain mencanting batik, kami juga turut mengadakan aktiviti mewarna permukaan seramik. Murid-murid di sini begitu kreatif dengan mengaplikasikan pelbagai warna pada pasu tersebut. Pada masa yang sama juga kami turut memeriahkan aktiviti dengan mengadakan kuiz dan hadiah-hadiah comel telah menggembirakan hati mereka. Pelbagai telatah yang menghiburkan kami dan kami amat berterima kasih kepada pihak sekolah kerana telah memberi kepercayaan dan kerjasama yang terbaik dalam menjayakan aktiviti ini. Terima kasih cikgu-cikgu… Terima kasih adik-adik Sekolah Kebangsaan Kampung Kuala Pajam.. Semoga kita bertemu lagi di lain kali, insya-Allah.




























1 ulasan: