Tazkirah Mingguan


 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu dalam Tazkirah Mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-20 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

Hadith  20
BUKAN DARI GOLONGAN KAMI…….. YANG BERSUMPAH DENGAN SELAIN DARI NAMA ALLAH

Daripada Ibnu Buraidah dari bapanya berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. : “Barangsiapa bersumpah atas nama amanah maka dia bukan termasuk golongan kami.” (kerana) menyamakannya dengan Asma Allah dan SifatNya.
Riwayat Abu Daud

Hadith ini melarang kita daripada bersumpah dengan lafaz ‘bil amanah’ iaitu demi sebuah amanat dan kepercayaan kerana ia bukanlah ikutan Rasulullah s.a.w. Barangsiapa yang mengagungkan selain Allah dengan suatu pengagungan yang tidak layak diberikan selain Allah s.w.t. maka dia telah menjadi musyrik. Akan tetapi seseorang yang bersumpah dan tidak menyakini keagungan sesuatu yang dijadikan sumpahnya tersebut sebagaimana keagungan Allah s.w.t. maka dia tidak melakukan syirik besar tetapi syirik kecil. Dalam hadith lain Rasulullah s.a.w. bersabda :

                “Barangsiapa yang bersumpah atas nama selain Allah maka dia telah berbuat kekufuran atau kesyirikan.”
Riwayat Tirmizi dan Abu Daud
               
                “Sesungguhnya Allah s.w.t. melarang kalian bersumpah atas nama nenek moyang kalian, barangsiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau lebih baik diam.”
Riwayat Bukhari

Timbul satu kemusykilan dan persoalan bahawa telah diriwayatkan dari Nabi s.a.w. bahawasanya telah bersumpah dengan bersabda :

                Sungguh, demi ayahnya! Telah beruntunglah dia, jika dia benar (bersungguh-sungguh)”
Riwayat Muslim

Kata “demi ayahnya!” tersebut masih diperselisihkan oleh para hafizh (ulama yang banyak menghafal hadith). Diantara mereka ada yang mengingkari lafaz semacam itu dan menyatakan tidak sahih berasal dari Nabi s.a.w.  Akan tetapi bedasarkan kalimat itu tersebut sah dan sahih, maka jawapannya adalah bahawa ini termasuk musykil sementara masalah bersumpah atas nama selain Allah termasuk “Muhkam” (sesuatu yang jelas) sehingga kita memiliki dua hal; Muhkam dan Mutasyabih (yang masih samar). Dan cara yang diambil oleh para ulama yang mantap keilmuannya dalam hal ini adalah dengan meninggalkan yang Mutasyabih tersebut dan mengambil yang Muhkam. Hal ini dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

                “Dialah yang menurunkan Al-Kitab (Al-Quran) kepada kamu. Diantara isinya ada ayat-ayat yang muhkamat itulah pokok-pokok isi Al-Quran dan yang lain (ayat-ayat) mutasyabihat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari ta’wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta’wilnya  melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata, “Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Rabb kami.”
Surah Ali-Imran : 7

  Kerana ia dikatakan sebagai mutasyabihat ialah kerana didalamnya terdapat banyak sekali kemungkinan-kemungkinan boleh terjadi, hadith ini dinyatakan sebelum datangnya larangan tentang hal itu. Boleh jadi juga ia khusus bagi Rasulullah s.a.w. sahaja ( di dalam mengungkapkan lafaz) kerana Rasulullah sangat jauh dari melakukan kesyirikan. Boleh jadi juga, ia hanya merupakan sesuatu yang terbiasa diucapkan lisan tanpa maksud sebenarnya. Adapun jika terdapat kemungkinan-kemungkinan seperti ini terhadapa kalimat tersebut jika ia memang sohih dari Rasulullah maka menjadi kewajipan kita untuk mengambil sesuatu yang sudah muhkam, iaitu larangan bersumpah nama selain Allah s.w.t.

  
Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".


-----------------------------------------------------------------------
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu dalam Tazkirah Mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini, saudara Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-19 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

HADITH 19 
BUKAN DARI GOLONGAN KAMI..... YANG MENINGGALKAN KEMAHIRAN MEMANAH

Telah berkata Uqbah : Kalaulah tidak kerana aku mendengar kata-kata nabi tersebut tentu tak ku pedulikannya… Berkata Al-Harith : Aku berkata kepada Ibnu Syamasah : Apa yang diperkatakan oleh nabi itu? Berkata Uqbah : Sesungguhnya telah bersabda Rasulullah s.a.w. : “Sesiapa yang mempunyai kemahiran memanah, tetapi kemudian dia meninggalkannya, maka bukanlah ia dari golongan kami atau pun ia telah berdosa. “
Riwayat Muslim

Hadith ini merupakan amaran keras daripada Nabi s.a.w. agar jangan sesekali melupakan kemahiran memanah selepas mempelajarinya. Ia menjadi satu perkara yang dibenci oleh Nabi kepada sesiapa yang meninggalkan kemahiran ini tanpa ada keuzuran. Ianya bertujuan menyatakan kelebihan kemahiran memanah dan Islam mengambil berat dengan niat untuk berjihad di jalan Allah s.w.t. demi meninggikan dan mempertahankan kalimah Allah. Dalam hadith lain Nabi bersabda :

                Dari Uqbah bin Amir r.a. katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda di atas mimbar :   “Siapkan untuk menghadapi musuh dari kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi Ketahuilah! Sesungguhnya kekuatan itu ialah keterampilan memanah. Sesungguhnya kekuatan itu ialah keterampilan memanah. Sesungguhnya kekuatan itu ialah keterampilan memanah.”
Riwayat Muslim
               
                Dari Uqbah bin Amir r.a. katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Banyak negeri bakal ditakluk dan Allah s.w.t. akan menyempurnakan janji-Nya itu kepadamu, kerana itu janganlah kamu bosan                 berlatih memanah.”
Riwayat Muslim

Islam juga membolehkan peperangan menggunakan pedang, panah dan kuda. Islam datang menentukan tujuan-tujuan berperang, memerintahkan manusia untuk bersiap menghadapi peperangan, bersikap waspada terhadap musuh, serta menyiapkan segala kekuatan untuk berperang seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

                “Hai orang-orang yang beriman, bersiap-siagalah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!.”
Surah An-Nisa : 71

                “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah   dan musuhmu.”
Surah Al-Anfal : 60

Namun demikian, Islam tidak sewenang-wenangnya mengharuskan peperangan malah memberikan landasan etika yang harus diikuti dalam berperang. Allah s.w.t. tidak menyuruh atau membenarkan kita membunuh orang yang tidak bersalah di dalam melaksanakan jihad peperangan (al-qital) sebagaimana yang termaktub dalam al-quran atau as-sunnah. Islam juga mengharamkan pembunuhan golongan wanita, kanak-kanak, orang tua, orang sakit, para pendeta dan rahib, orang-orang yang beribadat, golongan pekerja dan sebagainya. Malah diharamkan juga pembunuhan haiwan ternakan, merosakkan tanaman sebagai mana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

                “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu   melampui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”
Surah Al-Baqarah : 190


Kesimpulannya, umat Islam hendaklah membuat persiapan kekuatan semampu mungkin, bersikap waspada terhadap musuh, serta melatih umat juga sama. Peralatan, persenjataan dan strategi akan berubah mengikut peredaran zaman sementara ajaran dan tujuannya adalah tetap.


Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".

-------------------------------------------------------------------
  السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه 

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang diadakan pada setiap hari Jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-18 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

Hadith  18 - BUKAN DARI GOLONGAN KAMI... YANG MEROSAKKAN RUMAH TANGGA ORANG LAIN SEHINGGA BERCERAI-BERAI

Daripada Ibnu Abu Hurairah telah berkata : Sabda Rasulullah s.a.w. : “Bukanlah daripada golongan kami, sesiapa yang mengancam tentang seorang wanita kepada suaminya (merosakkan si isteri atau berusaha agar ia berpisah dengan suaminya) ataupun (merosakkan) seorang hamba kepada tuannya.” 

Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim

Maksud hadith ini ialah seseorang lelaki berusaha mengeluarkan isteri orang lain dari ketaatan suaminya kerana hendak berkahwin dengannya, seperti menyebut-nyebut keburukan suaminya, memburuk-burukkan suami di depan isterinya serta menyebut-nyebut kebaikan lelaki lain dengan tujuan merosakkan hubungan rumah tangga dan memisahkan mereka.

Hadith ini mengharamkan perbuatan merosakkan rumah tangga orang lain sehingga berlaku pengkhianatan dalam hubungan suami isteri serta kehilangaan kasih sayang dan ketenangan antara keduanya. Perkara ini merupakan satu jenayah atau dosa yang menyebabkan Nabi s.a.w berlepas diri dari sesiapa yang terjerumus dalam perkara ini. Apabila hubungan rumahtangga sudah rosak dan tidak aman lagi, ini memungkinkan seseorang isteri akan meminta talak dari suaminya sedangkan ianya ditegah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

Dari Tsuaban r.a berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Mana perempuan yang meminta talak dari suaminya tanpa ada sebab maka haram ke atasnya bau syurga.

Riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah

Adalah wajib bagi seorang isteri kembali kepangkuan suaminya dan meminta maaf kepada suaminya dan bertaubat. Menurut mazhab Al-Maliki haram mengahwini perempuan yang bercerai kerana menyintai lelaki lain yang telah merosakkan rumah tangganya dengan hujah untuk menutup pintu kerosakan rumah tangga kerana perkahwinan yang bermula dengan maksiat tidak akan selamat dan tidak membawa keberkatan.
  
Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".

------------------------------------------------------------------------------------
 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-17 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.
  
Hadith  17 - BUKAN DARI GOLONGAN KAMI... YANG TIDAK HORMAT-MENGHORMATI SESAMA INSAN DAN TIDAK MENJALANKAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR.

Daripada Ibnu Abbas berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: Bukan dari golonganku sesiapa yang tidak mengasihi golongan muda dan yang tidak menghormati orang tua dan tidak menyeru kepada makruf dan melarang kemungkaran.

Sebagai seorang nabi, Rasulullah s.a.w telah menganggap masalah hilangnya penghormatan pada orang dewasa dan lenyapnya kasih-sayang kepada anak-anak kecil dan orang muda sebagai sebuah masalah besar. Orang tua, terutama ibubapa wajiblah selalu kita hormati sepanjang hidup kita walaupun itu bukan orang tua kita. Baginda memerintahkan agar hendaklah dimulai oleh orang yang lebih tua, sebagaimana dalam tegurannya kepada Abdul Rahman bin Sahl yang memulai pembicaraan, kerana dia adalah yang termuda ketika itu berbincang dengan dua sahabatnya, Huwayyishah dan Muhayyishah. Demikian pula ketika mengangkat seorang menjadi pemimpin jika keilmuan dan keagamaannya setara hendaklah didahulukan yang lebih tua, kecuali jika keilmuan dan keagamaan berbeza maka haruslah didahulukan ilmu dan agamanya sebagaimana dalam sabda Rasulullah s.a.w:

“Yang paling berhak menjadi imam bagi suatu kaum adalah yang paling menguasai kitabullah jika dalam hal tersebut sama derajatnya maka yang paling dahulu hijrah, jika sama hijrahnya maka yang paling tua…”.

          Di dalam hadith ini juga telah menetapkan bahawa tugas menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib kepada umat Islam. Ia merupakan ciri khas bagi umat nabi Muhammad s.a.w. Di dalam Al-Quran Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran, merekalah orang-orang yang beruntung.”
                                                                   Surah Ali Imran : 104

      Tugas berdakwah adalah tugas semua pihak. Namun yang diberatkan untuk tugas ini ialah golongan ulama atau orang-orang yang berilmu. Sabda Rasulullah s.aw. yang bermaksud :

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaan), jikalau tidak berkuasa hendaklah dicegah dengan lisannya, jikalau tidak berkuasa juga, hendaklah dicegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman.”
                                                                                           Riwayat Muslim

         Namun perlaksanaannya terdapat adab-adab yang perlu dipatuhi. Ianya mesti dengan penuh hikmah dan bijaksana yang bermula dari peringkat diri, keluarga, masyarakat, negara dan alam sejagat. Bagi penguasa dan pemerintah wajiblah ia melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat dan negaranya.  


Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".


 ----------------------------------------------------------------------------------
 
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه



Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-16 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

Hadith  16 - BUKAN DARI GOLONGAN KAMI……..YANG MENIRU ATAU MENYERUPAI YAHUDI DAN NASRANI



Daripada Amru bin Syuaib dari bapanya dari datuknya berkata : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Bukan dari golongan kami sesiapa yang menyerupai selain dari agama kami. Janganlah kalian menyerupai kaum Yahudi dan juga Nasrani. Sesungguhnya cara Yahudi mereka memberi salam dengan isyarat jari-jemari manakala Nasrani pula dengan isyarat tangan.                                                                                                                                       Riwayat At-Tarmizi



Sebagai umat yang mulia, seseorang muslim harus memiliki dan memelihara jati diri berasaskan apa yang diajarkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itu Nabi s.a.w. menyarankan agar umat ini sentiasa menjaga dan membiasakan diri dengan melarang menyerupai akhlak, suluk, tabiat dan penampilan kaum yang beragama selain Islam atau orang-orang kafir seperti Yahudi dan Nasrani. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :



“Janganlah kamu memberi salam seperti orang-orang Yahudi kerana sesungguhnya mereka memberi salam menggunakan dengan kepala, tangan dan isyarat.“

Riwayat An-Nasaie


Adapun larangan ini ditujukan khas bagi sesiapa yang mampu memberi salam tetapi tidak mengucapkannya, kecuali jika ada keuzuran, seperti orang bersembahyang, bisu dan orang yang diberi salam itu jauh jaraknya sepertimana yang diriwayatkan daripada Asma’ r.a. beliau berkata yang bermaksud : 



          Nabi s.a.w. telah melalui dalam masjid dan dalamnya terdapat sekumpulan wanita yang duduk, maka Baginda memberi isyarat salam dengan tangan Baginda.

Riwayat At-Tirmizi


Wajib bagi orang-orang yang beriman menjalani kehidupan ini di atas jalan yang di lalui oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. dan wajib mengikuti dan mencontohi segala adat dan ikutan yang membawa kepada kesahihan aqidah dan kesucian prinsip dari ajaran nabi. Setiap agama dan bangsa manusia dinilai prinsip dan pegangannya dari sudut pakaian dan penampilannya. Oleh yang demikian wajiblah bagi umat Islam menjaga keteguhan aqidahnya dengan segala upayanya melalui kemampuan fizikal, spiritual dan kemanusiannya. Nabi s.a.w. selalu memerintahkan umat Islam untuk berbeza dengan orang kafir baik dalam kehidupan seharian serta dalam perayaan mereka misalnya perayaan Natal, Valentine dan yang lain-lain. Sebelum itu Allah s.w.t. juga melarang umat Islam mengikuti jejak langkah orang-orang kafir sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud :


“Dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, Kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik ”

Al-Hadid : 16



“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); Sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”

Al-Maidah : 51


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah r.a. mengatakan : “Dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah serta ijma’ telah memerintahkan supaya menyelisihi orang-orang kafir dan melarang menyerupai mereka. Sebab menyerupai mereka secara lahiriyah merupakan sebab menyerupai tabiat dan tingkah laku mereka yang tercela. Bahkan merupakan sebab meniru keyakinan-keyakinan sesat mereka. Dan dapat mewariskan benih-benih kecintaan dan kesetiaan dalam batin kepada mereka. Sebagaimana kecintaan dalam hhati dapat menyeret kepada penyerupaan dalam bentuk lahiriyah.”
  
Wallahu’alam

"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri."



--------------------------------------------------------------------------------------------------

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه  
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-15 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

Hadith  15 - BUKAN DARI GOLONGAN KAMI……… LELAKI YANG MENIRU (MENYERUPAI) KAUM WANITA ATAU SEBALIKNYA.

Daripada Atho’, daripada seorang lelaki dari Huzail telah berkata : Aku telah melihat Abdullah bin Amru bin Al-As (yang rumahnya di luar tanah haram dan masjidnya di Al-Haram), sedang aku berada di sisinya dia telah melihat Ummu Said, anak perempuan Abu Jahal sedang meniru-niru lenggokan lelaki, dia sedang berjalan seperti jalannya seorang lelaki. Maka berkata Abdullah : Siapa dia? Berkata Al-Hazliy : Dia ialah Ummu Said, anak perempuan Abu Jahal. Maka berkata Abdullah : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Bukan dari golongan kami sesiapa dari kalangan wanita yang menyerupai lelaki begitulah juga lelaki yang menyerupai wanita.                                                                                                                                                                                                                                                                       Riwayat Ahmad

Daripada Yazid bin Aus berkata : Aku telah menziarahi Abu Musa yang sedang sakit tenat, didapati isterinya menangis kerana bimbang akan kematiannya, seraya Abu Musa berkata kepada isterinya : Tidakkah engkau mendengar apa yang telah nabi perkatakan. Berkata isterinya : Ya, bahkan. Langsung ia terdiam. Apabila Abu Musa meninggal dunia. Berkata lagi Yazid : Aku telah bertemu dengan isteri Abu Musa lalu bertanya kepadanya : Apakah yang telah diperkatakan olehnya kepada kamu tentang sabda nabi itu sehingga kamu terdiam? Berkata ia : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. : “Bukan dari golongan kami orang yang mencukur rambutnya, meraung-raung dan mengoyak-ngoyak leher baju ketika ditimpa musibah.”                           
Riwayat Abu Daud dan Nasaei

Di antara fitrah yang disyari’atkan Allah s.w.t. kepada hambaNya iaitu agar laki-laki menjaga sifat kelakiannya dan wanita menjaga sifat kewanitannya seperti yang telah diciptakan Allah. Oleh yang demikian hadith ini meletakkan satu hukum dengan melarang bagi lelaki menyerupai perempuan samada dalam bentuk pergerakan, pemakaian, dan sebagainya yang menjadi perkara-perkara khusus bagi perempuan pada kebiasaan semulajadinya dan sama halnya haram bagi perempuan menyerupai lelaki. Mereka yang melakukan sedemikian akan berdosa besar dan mendapat laknat dari Nabi  s.a.w. secara jelas telah disebut didalam hadith yang bermaksud :

Daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata : “Bahawa Rasulullah s.a.w. melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau meniru-niru kaum wanita dan kaum wanita yang menyerupai atau meniru-niru kaum lelaki.”
Riwayat Bukhari

Daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata : “Rasulullah s.a.w. melaknat kaum lelaki yang lemah lembut berlagak seperti perempuan dan perempuan yang berlagak dengan gaya lelaki. Nabi bersabda lagi : Keluarkan mereka dari rumah-rumah kamu.”
Riwayat Bukhari

       Pada perkataan Tasyabbuh di dalam hadith-hadith ini, Ibnu Hajar Al-Asqalani menyatakan di dalam hadith-hadith ini ialah membawa maksud secara zahir dengan  larangan dari segi pakaian, perhiasan, berdandan, sikap, gerak-geri dan seumpamanya, dan bukan dalam berbuat kebaikan. Imam Tabari juga menyatakan tidak boleh bagi kaum lelaki menyerupai wanita pada pakaian dan perhiasan yang dikhaskan untuk wanita. Manakala tasyabbuh pada perkara kebaikan tidaklah dikeji seperti pada keilmuan, pengetahuan dan pandangan serta pendapat.
 
Timbul persoalan, adakah perempuan yang memakai seluar termasuk dalam menyerupai lelaki? Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Al-Mufassol fi Al-Ahkam Al-Mar’ah, menyatakan boleh bagi wanita memakai seluar, tetapi wajiblah seluar itu dipakai di bawah bajunya. Seluar itu hendaklah besar sehingga pemakainya tidak Nampak bentuk, tebal, tidak jarang dan panjang sehingga buku lali.

Kesimpulannya menunjukkan kepada hukum haram meniru dan menyerupai jantina. Malah Nabi tidak mengakui umatnya kerana perbuatan tersebut dilaknat oleh Allah s.w.t. Hikmah dilarang menyerupai yang bukan sejenis kerana perbuatan tasyabbuh ini mengeluarkan seseorang dari sifat-sifat adilnya yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepadanya. Ia termasuk dalam golongan yang mengubah ciptaan Allah dan menyimpang dari fitrah Allah, padahal Allah s.w.t. telah menciptakan manusia di atas fitrahnya itu sendiri.
  
Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".
 
 ------------------------------------------------------------------------------------------------

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه  
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-14 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.


Hadith  14 - BUKAN DARI GOLONGAN KAMI………YANG MELAMPAU KETIKA MERATAPI SESUATU KEMATIAN.


Daripada Abdullah r.a. berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. : Bukan dari golongan kami orang yang menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyak leher baju dan berseru dengan seruan jahiliyyah.                                                                                                                                           
Riwayat Khamsah



Daripada Yazid bin Aus berkata : Aku telah menziarahi Abu Musa yang sedang sakit tenat, didapati isterinya menangis kerana bimbang akan kematiannya, seraya Abu Musa berkata kepada isterinya : Tidakkah engkau mendengar apa yang telah nabi perkatakan. Berkata isterinya : Ya, bahkan. Langsung ia terdiam. Apabila Abu Musa meninggal dunia. Berkata lagi Yazid : Aku telah bertemu dengan isteri Abu Musa lalu bertanya kepadanya : Apakah yang telah diperkatakan olehnya kepada kamu tentang sabda nabi itu sehingga kamu terdiam? Berkata ia : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. : “Bukan dari golongan kami orang yang mencukur rambutnya, meraung-raung dan mengoyak-ngoyak leher baju ketika ditimpa musibah.”                           

Riwayat Abu Daud dan Nasaei



Hadith ini dengan jelas melarang keras menangisi dan meratapi sesuatu musibah atau kematian secara berlebih-lebihan sehingga meraung, meratap, memukul dan mengoyak-ngoyak leher baju. Semua ini adalah perbuatan dan adat jahiliyyah serta kebiasaan bagi segelintir wanita. Namun ulama sependapat harus menangisi orang mati sebelum dan sesudah dikebumikan, tetapi tidak dengan suara yang tinggi atau perkataan yang buruk, pujian atau ratapan. Ini berdasarkan kepada hadith Bukhari yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. menangis ketika kematian anaknya Ibrahim, sehingga ditegur oleh Abdul Rahman bin Auf. Nabi s.a.w. mengatakan bahawa tidak mengapa menangis, yang dilarang ialah meratapinya. Ini adalah rahmat yang dijadikan Allah dalam hati setiap hambaNya yang pengasih. Sesungguhnya air mata ini mahu mengalir, hati ini sedih dan kami tidak berkata melainkan yang Allah redhai. Sesungguhnya kami bersedih berpisah dengan Ibrahim.



Terdapat hadith yang menyatakan bahawa orang yang mati akan diseksa dengan sebab ratapan keluarganya. Ulama menafsirkannya sebagai larangan tangisan yang diwasiatkan oleh si mati supaya keluarganya menangis dan meratapinya selepas kematiannya, lalu ditunaikan wasiatnya, maka orang yang mati itu akan diseksa dengan sebab tangisan dan ratapan mereka berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud :



“Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya, dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).”

Surah Al-An’am : 164



Seseorang yang ditimpa musibah dan kedukaan sepatutnya memohon pertolongan Allah s.w.t., bersabar dengan bencana yang menimpanya dan mentaatinya. Dia hendaklah memohon pertolongan Allah dengan cara bersabar dan sembahyang. Memohon supaya tercapai apa yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang-orang yang sabar dengan firmanNya yang bermaksud :



“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.  Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
 

Surah Al-Baqarah : 155



Wallahu’alam

"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".




---------------------------------------------------------------------------------------------------------
 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه  
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-13 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007

Hadith  13: BUKAN DARI GOLONGAN KAMI………YANG TIDAK MELAGUKAN AL-QURAN.

Daripada Abu Hurairah r.a. telah berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w. : Bukan dari golongan kami sesiapa yang tidak melagukan Al-Quran.
Riwayat Bukhari

Daripada Abdul Jabbar bin Al-Wardi berkata: Aku telah mendengar Ibnu Abu Mulaikah berkata: Telah berkata Ubaidullah bin Abu Yazid: Abu Lubanah telah berlalu di hadapan kami lalu kami mengikutinya sehingga dia masuk ke dalam rumahnya dan kami dapati dia seorang lelaki yang memiliki rumah yang usang dan buruk pakaiannya. Maka aku (Ubaidullah) telah mendengar dia berkata (Abu Lubanah): Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bukan dari golongan kami sesiapa yang tidak melagukan Al-Quran. Maka aku (Ubaidullah) berkata kepada Abu Mulaikah: Wahai Abu Muhammad, apa pendapat kamu jika seseorang tidak mempunyai suara yang baik? Dia menjawab: Dia hendaklah memperelokkan suaranya sekadar yang termampu.
Riwayat Abu Daud

Daripada Abdul Rahman Bin Al-Saib telah berkata: Telah datang kepada kami Sa’ad Bin Abi Waqqas yang telah buta matanya, seraya aku memberi salam kepadanya. Lalu Sa’ad berkata: Siapa kamu?. Maka aku meberitahunya siapa aku. Dia berkata: Selamat datang wahai anak saudaraku, telah sampai kepadaku yang engkau telah membaca Al-Quran dengan suara yang baik, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Al-Quran ini telah diturunkan dengan kesedihan, maka apabila kalian membacanya hendaklah dengan menangis. Jika kalian tidak dapat menangis, berpura-puralah menangis, dan berlagulah. Maka sesiapa yang tidak melagukan Al-Quran maka bukanlah ia dari kalangan kami.
Riwayat Ibnu Majah
    
Ulama memberi maksud melagukan Al-Quran di sini ialah memperelokkan suara, mengindahkannya dan memperbanyakkan bacaan terhadapnya serta berpada dan berpuas hati dengan membaca Al-Quran sahaja daripada kita membaca bukuk-buku pembacaan lain. Ia juga bermaksud meninggikan dan menzahirkan suara ketika membacanya serta bersedih-sedihan kerana menyesali diri lantaran berlaku kekurangan, mengeluh dari apa yang diamati dari isi Al-Quran. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

(Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.
Surah Al-Ankabut : 51

Ianya adalah antara sunnah Nabi yang banyak kelebihan di sisi Allah s.w.t. sehingga Allah redha dan menerima amalan sunnah ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. :

Allah tidak mendengar sesuatu sebagaimana Allah mendengar seorang Nabi mempunyai suara yang baik yang melagukan Al-Quran dengan suara yang tinggi.
Riwayat Bukhari dan Muslim
              
Ia juga hendaklah dibaca dengan suara yang jelas, penuh tartil dan tidak cepat dengan susunan bacaan yang jelas dan terang makhraj huruf beserta kaedah tajwidnya. Hadith ini juga menyarankan agar membaca Al-Quran dengan khusyu’ sehingga memperlihatkan dukacita atau menangis kerana sentuhan pengaruh ayat yang dibaca menyentuh jiwa dan perasaan.

Allah s.w.t juga menjelaskan sebahagian dari sifat-sifat hambaNya yang soleh berdasarkan firmanNya yang bermaksud :

Dan mereka segera tunduk sujud sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.
Surah Al-Isra’ : 109

Justeru itu perlulah kita menjadikan Al-Quran ini sebagai bahan bacaan yang paling utama dan menjadi panduan kehidupan kerana manusia kini semakin disibukkan dengan bahan-bahan bacaan lain seperti majalah dan mengalakkan manusia lupa kepada penciptanya sepertimana Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud :

Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian tiada mengamalkanya samalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah, dan ingatlah, Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
Surah Al-Jumuah : 5



Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".

---------------------------------------------------------------------------------------

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه 

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-12 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007
Hadith  12: BUKAN DARI GOLONGAN KAMI…. YANG TIDAK MENGGUNTING MISAI.

      Daripada Zaid bin Arqam bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Barangsiapa yang tidak menggunting misainya maka ia bukanlah dari golongan kami.
Riwayat Tirmizi dan Nasaie, Hadith Hassan Sahih

                Hadith ini menyarankan secara tegas agar umat Islam dari kalangan muslimin sentiasa menjaga dan memotong misainya agar ia sentiasa nipis dan rapi. Bermisai adalah sebahagaian daripada sunnah Nabi s.a.w. Pada zaman ini, orang yang bermisai nipis bukan orang yang zahid melainkan yang benar-benar meniti di atas sunnah Nabi s.a.w. malah banyak pula yang tidak bermisai langsung atau mempunyai misai yang tebal.

                Begitu juga dengan janggut, ia adalah sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah sekalian nabi dan rasul sejak zaman dahulu. Disebutkan juga di dalam hadith daripada Saidatina Aisyah yang bermaksud :

                                     “Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah) iaitu memotong misai, memelihara
 janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi,
mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria :
“Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur.”
Riwayat Muslim

Antara hadith-hadtih sahih dari Nabi s.a.w. yang menunjukkan wajibnya memelihara janggut dan jambang serta memotong misainya agar nipis dan rapi ialah :

Abdullah bin Umar berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w. Janganlah kamu menyerupai
orang-orang musyrikin, peliharalah janggut kamu dan tipiskanlah misai kamu.
Riwayat Muslim

Wallahu’alam

."Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri."

---------------------------------------------------------------------------------------------

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه  

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-11 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamal Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

Hadith 11: BUKAN DARI GOLONGAN KAMI….. YANG MERAMPAS HARTA ORANG LAIN

Berkata Jabir bin Abdullah: Telah bersabda Rasulullah s.a.w., perampas harta orang lain tidak dikenakan hukuman potong tangan (tetapi dikenakan takzir) dan sesiapa yang merampas satu rampasan secara terang-terangan maka bukanlah ia dari golongan kami.
                                                                                                                Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah

Hadith ini adalah satu ancaman dan melarang keras umat Islam daripada merampas harta dan barang orang lain secara terang-terangan, paksaan dan kekerasan. Ini adalah termasuk dalam dosa-dosa besar, walaupun Nabi mengatakan ‘’dia bukan dari golongan kami ” bukanlah bermaksud dia akan jatuh kafir kerana dia tidak melakukan kekufuran dan tidak melakukan sesuatu yang membatalkan iman dan Islamnya. Dalam undang-undang jenayah Islam pencuri atau perampas yang tidak boleh dikenakan hukuman kesalahan sariqah (potong tangan) ialah :

  1. Pencurian yang dilakukan secara khianat, iaitu orang yang mengambil harta atau barangan yang diamanahkan kepadanya. Mereka yang melakukan kesalahan tersebut tidak boleh didakwa di bawah kes sariqah (mencuri) dan tidak dikenakan hukuman hudud, tetapi mereka itu hendaklah didakwa di bawah kes kesalahan pecah amanah yang wajib dikenakan hukuman takzir. Perlu diingat bahawa hukuman takzir adakalanya lebih berat dari potong tangan seperti dihukum bunuh, sebat, buang daerah dan sebagainya.

  1. Orang yang merampas dan mengambil harta atau barangan orang lain dengan cara paksaan atau kekerasan.

  1. Orang yang menyambar barangan orang lain sambil lalu, iaitu semasa berjalan atau atas kenderaan, termasuk juga penyelok saku.

  1. Pencurian berlaku di medan peperangan.

  1. Mengambil buah yang tergantung di atas dahannya kerana tersangat lapar dan dahaga.
Walaupun tidak dikenakan hudud ke atas mereka di atas muka bumi ini mereka tetap akan diberi hukuman oleh Allah s.w.t. suatu hari nanti dengan azab yang pedih. Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang telah diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a. yang bermaksud :

“ Sesiapa yang mengambil hak orang Islam dengan sumpahnya, Allah mewajibkan mereka baginya dan diharamkan syurga untuknya (sekiranya mati sebelum bertaubat dan mengembalikan hak orang lain tersebut). Sahabat bertanya : Walaupun benda yang diambil itu sesuatu yang amat sedikit wahai Rasulullah? Baginda menjawab : Walaupun sekecil batang kayu sugi. “

Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri"



-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah hadith ke-10 yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

HADITH 10 : BUKAN DARI GOLONGAN KAMI….YANG MENINGGALKAN SOLAT WITIR.
Daripada Abdullah bin Burairah daripada bapanya berkata : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Solat sunat witir adalah benar, justeru sesiapa yang tidak solat witir dia bukanlah dari golongan kami. Solat sunat witir adalah benar, justeru sesiapa yang tidak solat witir dia bukanlah dari golongan kami. Solat sunat witir adalah benar, justeru sesiapa yang tidak solat witir dia bukanlah dari golongan kami.

                               Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim

Hadith ini mengambarkan kedudukan sebenar solat witir yang begitu tinggi di sisi Allah s.w.t. Justeru itu Rasulullah s.a.w. sangat mengalakkan agar kita melaksanakannya dan menegur serta berlepas diri daripadanya orang yang meninggalkannya dengan sabdanya : Solat sunat witir adalah benar justeru sesiapa yang tidak solat witir dia bukanlah daripada golongan kami dan mengulanginya sebanyak 3 kali.

Solat witir adalah solat sunat yang ganjil bilangan rakaatnya sama ada satu, tiga, lima, tujuh, sembilan dan sebelas rakaat. Ia dinamakan dengan witir kerana ditamatkan dengan satu rakaat dan berbeza dengan solat yang lain. Hukumnya adalah sunat muakkad di sisi mazhab Syafie dan jumhur ulama tetapi menjadi wajib di sisi mazhab Hanafi. Antara kelebihan solat sunat witir ini adalah Allah s.w.t. sentiasa mengasihinya iaitu dengan mendirikan solat sunat witir itu dengan bersungguh-sungguh serta kyusuk dalam melakukannya. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :


Sesungguhnya Allah itu ganjil dan suka kepada yang ganjil-ganjil. Oleh itu, witirlah kamu wahai ahli Al-Quran. ”

Hadis ini menunjukkan betapa eratnya ahli Al-Quran dengan solat witir kerana Al-Quran merupakan kitab Allah dan witir itu ketunggalan Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud :

“ Solat sunat witir dikurniakan kepada kita oleh Allah, dan ia satu solat yang lebih baik daripada unta merah. “

Waktu solat witir ialah selepas solat Isyak sehingga masuknya waktu solat Subuh dan boleh dilakukan secara berjemaah dan menjadi sunat pada bulan Ramadhan dilakukan bersama imam selepas solat terawih. Solat witir ini tidak boleh dilakukan dua kali pada satu malam kerana bilangan rakaat solat witir itu akan menjadi genap. Walaupun begitu, jika seseorang sudah berwitir dan ingin melakukan solat sunat yang lain juga dibolehkan dan juga diberikan dua pilihan untuk melakukan solat witir ini iaitu dengan melakukan pada awal malam selepas solat Isyak jika dibimbangi tidak terjaga atau pada akhir malam jika diyakini dapat bangun berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“ Sesiapa yang bimbang tidak dapat mendirikannya pada tengah malam maka berwitirlah pada awal malam, tetapi siapa yang mampu mendirikannya pada tengah malam itu dipersaksikan dan yang demikian itu adalah yang lebih baik. “                                  
  Riwayat Imam Muslim

Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".

---------------------------------------------------------------------------------------------

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

HADITH 9 - BUKAN DARI GOLONGAN KAMI…. YANG MENDAKWA SESUATU YANG BUKAN MILIKNYA.

Daripada Abu Dzar bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Siapa yang mendakwa orang lain sebagai bapanya, padahal dia tahu itu bukan bapanya, maka dia itu kafir. Dan, siapa yang mendakwa sesuatu yang bukan miliknya, maka orang itu tidak termasuk golongan kita dan tempatnya ialah di neraka. Dan siapa yang memanggil seseorang dengan panggilan kafir atau musuh Allah, padahal orang yang dipanggil itu bukan demikian, maka ucapannya itu kembali kepada dirinya sendiri.”                  
                                                                                                                                                                                              Riwayat Muslim                                              


Daripada Abu Dzar bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “ Sesiapa yang mendakwa sesuatu yang bukan miliknya, maka orang itu tidak termasuk golongan kita dan tempatnya adalah di neraka.”                                                                                                              
                                               Riwayat Ibnu Majah


            Siapa yang mendakwa orang lain sebagai bapanya, padahal dia tahu itu bukan bapanya, maka dia itu kafir. Maksud kafir di sini mempunyai dua tafsiran iaitu yang pertamanya, jatuh kafir sekiranya ia menghalalkan hukum dengan menasabkan dirinya kepada orang lain sebagai bapanya sedangkan ia tahu hukumnya haram. Keduanya ialah kufur nikmat dan ihsan, kufur terhadap hak Allah dan hak bapanya. Ia bukanlah bermakna kafir yang membawa kepada terkeluar daripada Islam.


Terdapat tiga perkara penting yang telah diberitahu di dalam hadith ini:

1.                   Haram menasabkan nama dengan bukan bapa kandung

Antara penyakit umat Islam hari ini ialah suka meniru-niru budaya kaum atau agama lain seperti isteri menasabkan namanya dengan nama suaminya. Nabi s.a.w. pernah menampakkan kekecewaan terhadap umat ini bahawa suatu hari nanti mereka akan terikut-ikut kaum lain dalam banyak perkara sebagai mana Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sungguh kalian akan mengikuti jejak langkah orang-orang sebelum kalian selangkah demi selangkah, hingga apabila mereka memasuki lubang dhab (biawak), nescaya kalian mengikutinya. Para sahabat bertanya, apakah yang dimaksudkan itu ialah orang-orang Yahudi dan Nasrani? Beliau berkata: Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Adalah orang-orang jahiliah sebelum Islam anak angkat dengan meletakkan binnya atau bintinya kepada nama bapa angkat dengan membuang dan meninggalkan nama bapanya, dan anak-anak itu pula mewarisi harta pusaka bapa angkat itu, mereka manamakan Za’id ( anak angkat) bin Muhammad ( bapa angkat) (Nabi s.a.w.), kerana Nabi sebelum menjadi Nabi telah menjadikan Za’id itu anak angkat baginda. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

            
 
“ Kemudian setelah Za’id selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atau orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                           Surah Al-Ahzab : 37

                     Ayat ini menjadi dalil bahawa tiada boleh menjadikan anak-anak angkat kamu itu anak kamu yang betul, itulah kata-kata dusta daripada orang-orang Yahudi dan Munafik menuduh Nabi s.a.w. berkahwin dengan janda anaknya      (Zaid bin Harithah), lalu Allah s.w.t. menolak tuduhan itu dengan firman-Nya bahawa boleh mengahwini janda anak angkatnya kerana Zaid bukan anak kandungnya. Hikmah ditengahnya perbuatan ini ialah kerana tiada tanda berterima kasih dan tiada mengenang budi kepada orang yang menjadikannya, dari itu dalam Islam adalah sebesar-besar dosa itu kafir kepada Allah s.w.t. kemudian derhaka kepada ibu bapa dan mendatangkan kesamaran dan bercampur aduk perkara wali nikah dan perkara waris pusaka serta ditakuti akan berlaku pengakuan bohong dalam nasab kerana menyembunyikan nasab yang benar.


2.                   Haram mendakwa sesuatu yang bukan miliknya.

Secara umumnya maksud ‘mendakwa’ di sini ialah menyandarkan atau menuntut kepemilikan sesuatu yang berada di tangan orang lain atau di bawah tanggungjawab orang tersebut kepada dirinya. Rasulullah s.a.w. telah menetapkan satu sistem kepada golongan ini untuk mengatur keadaan ini jika berlaku pendakwaan dengan mewajibkan kepada orang yang didakwa atau terdakwa untuk bersumpah sebagai bukti bahawa ia adalah miliknya dengan mendatangkan ‘Al-Bayyinah’ (saksi) sedangkan si terdakwa yang mengingkarinya agar mengucapkan ‘Al-Yamin’ (sumpah). Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

Dari Ibnu Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Andaikata semua manusia diberi kebebasan dengan dakwaan masing-masing, nescaya ada saja manusia yang mendakwa darah orang-orang (bahawa mereka membunuh) dan harta benda mereka (bahawa itu adalah hartanya), akan tetapi pembuktiannya adalah dengan cara bersumpah oleh orang yang mengingkarinya (si terdakwa).”

Hikmah Rasulullah s.a.w bersabda ialah agar jangan sampai setiap orang dengan mudah dan seenaknya melakukan dakwaan terhadap orang lain sebab bila hal itu dibiarkan bebas, nescaya orang-orang yang tidak membiasakan dirinya selalu di bawah pengawasan Allah s.w.t. dengan mudahnya akan melayangkan dakwaan secara dusta terhadap orang-orang yang tidak bersalah.

3.                   Tidak boleh kafir-mengkafir (Takfir).

Mengkafirkan seseorang tidak boleh dilakukan kecuali bila Al-Quran dan Sunnah telah membuktikan kekafirannya dengan bukti yang jelas. Nabi s.a.w. telah memperingatkan umatnya agar jangan sampai mengkafirkan orang yang tidak kafir dengan bersada yang bermaksud :

                “Siapapun  orangnya yang mengatakan kepada saudaranya, ‘Hai Kafir’, maka perkataan itu akan mengenai salah satu di antara keduanya. Jika perkataan itu benar, maka benar. Tetapi bila tidak, maka tuduhan itu akan kembali kepada diri orang yang mengatakannya.”
               

Takfir hanya boleh ditetapkan bila sebab-sebab serta syarat-syaratnya ada dan faktor penghalangnya tidak ada. Syarat-syarat tersebut iaitu:

1.                   Mengetahui atau memahami apa yang diucapkannya.
2.                   Dengan senang hati atau tidak terpaksa.
3.                   Sengaja dalam mengucapkan apa yang dikatakannya.

Isu kafir-mengkafir ini perlulah difahami kerana tanpa pemahaman akibatnya akan timbul fitnah, kekacauan, menumpuhkan darah dan membuat keonaran di tengah-tengah masyarakat kerana itulah Nabi s.a.w. melarangnya melainkan telah nyata kekufuran tersebut sebagaimana sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud :

“……….Kecuali bila kalian lihat kekafiran yang nyata, yang tentangnya kalian memiliki bukti yang jelas dari Allah.”



Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".





 ------------------------------------------------------------------------------------------------------
 
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

HADITH 8 - BUKAN DARI GOLONGAN KAMI…. YANG MENGHUNUS SENJATA DI HADAPAN SAUDARA MUSLIMNYA

Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w telah berkata:

“Sesiapa yang menghunus senjata kepada kita, maka ia bukan dari golongan kami.”                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          
                                                                          Riwayat Khamsah

Menghunus senjata adalah kiasan dari perbuatan hendak membunuh dan menjadi penekanan hukum haram membunuh sesama Muslim. Sesiapa yang menghunus pedang ke atas kaum Muslimin tanpa hak dengan tidak menghalalkan perbuatan tersebut hukumnya berdosa dan tidak jatuh kafir, tetapi jika ia menghalalkannya maka kafirlah ia kerana menghalalkan perkara yang haram. Oleh yang demikian, Islam menjadikan seorang Muslim itu haram darah, harta dan kehormatannya atas Muslim yang lain. Allah s.w.t. telah berfirman di 2 ayat iaitu :

وَمَن يَقتُل مُؤمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُه, جَهَنَّمُ خَـلِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيهِ وَلَعَنَه,        
 وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا (93 )           
Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya
ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melakanatkannya
serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”                                                                                
                                                                                                                                                                                                                           An-Nisaa’: 93

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya)                  melainkan dengan suatu (sebab) yang benar.”                                                                                                
                                                                            Al-An’am: 151


Allah s.w.t. adalah satu-satunya Dzat yang memiliki hak atas kehidupan dan kematian seseorang. Islam melarang umatnya dari mengganggu dan menyakiti kaum Muslimin yang lainnya serta mewajibkan seseorang Muslim menahan diri dari berbuat buruk dan menyakiti sesama Muslim. Islam telah menetapkan aturan-aturan yang begitu indah dan luhur dengan melarang seseorang untuk berisyarat atau mengacukan senjata dan sejenisnya kepada sesama Muslim, pelakunya tidak akan diakui oleh Nabi s.a.w. sebagai umatnya, bahkan akan mendapat laknat dari malaikat, seperti hadith yang telah diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :


“Barang siapa berisyarat kepada saudaranya dengan (mengacukan) besi,
maka malaikat melaknatnya, meskipun dia adalah saudara seayah atau seibu.”
                                                                                                                           
                                                                            Riwayat Muslim

Selain itu juga islam melarang seseorang membawa senjata di tempat umum dalam keadaan terbuka atau terhunus seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Barang siapa yang melewati suatu tempat di masjid kita atau pasar kita, sedangkan ia membawa
 panah, maka hendaklah ia menyimpannya atau memegang bahagian mata panahnya
dengan telapak tangan, agar jangan sampai sedikit pun mengenai salah seorang dari kaum Muslimin.”
                                       
                                                                              Muttafaq ‘alaih

Islam juga melarang saling mengejek, mencela, memberikan julukan yang jelek, tajassus (mengintai-intai), ghibah (mengumpat), kerana perkara itu boleh menjadi kepada pertumpahan darah. Dilarang sama sekali mengugut dan menakutkan saudara seIslam dengan mengacu senjatanya, malah bergurau juga ditegah kerana bahaya yang tidak terhidu takut-takut tersalah tunjuk atau tersalah pegang dan sebagainya yang boleh membawa kepada kelukaan. Antara hikmahnya Nabi s.a.w. telah bersabda di dalam hadith yang lain yang bermaksud :

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

“Jangan dihalakan oleh seseorang daripada kamu kepada saudara seIslamnya dengan
 senjatanya, kerana bahawasanya tidak diketahui barangkali syaitan mendorong tangannya
lalu terkena kepada saudaranya itu maka jatuhlah ia di dalam lubang dari neraka.”                                                                                                                                                                                                                              
                               
                                                                        Riwayat Muslim


Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri"



-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

HADITH 7: BUKAN DARI GOLONGANKU….LELAKI YANG MENYEBABKAN TIMBULNYA FITNAH AL-SARRAA


Daripada Umair bin Hani berkata : Aku mendengar  Abdullah bin Umar berkata : Ketika Kami duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w. baginda telah menyebut tentang fitan (peristiwa akhir zaman). Dan Baginda seringkali menyebutnya sehinggalah baginda menyebut tentang fitnah al-Ahlas. Maka berkata seseorang : Wahai Rasulullah, apakah dia fitnah al-Ahlas itu? Bersabda Rasulullah s.a.w. : Ia adalah malapetaka berterusan iaitulah apabila berlakunya pelarian dan peperangan secara besar-besaran. Kemudian, fitnah al-Sarraa (kemewahan dan kesenangan) bermula dari bawah kaki seorang lelaki yang mendakwa yang dia adalah keturunanku. Bagaimanapun, dia bukanlah dari golonganku kerana yang termasuk dalam golonganku ialah mereka yang bertaqwa. Selepas itu, orang ramai akan tunduk taat di bawah telunjuk seorang lelaki tempang (pemerintah yang menyeleweng). Kemudian, fitnah al-Duhaymaa (fitnah gelap dan hitam lantaran jenayah yang berleluasa) sehingga ia tidak akan meninggalkan seorangpun dari umat ini tanpa kekejaman atau penindasan. Apabila disangkakan fitnah ini telah tiba ke penghujungnya, rupanya ia semakin dipanjangkan dan berkekalan. Pada ketika itu terjadilah seorang itu yang paginya beriman dan apabila waktu petang ia menjadi kafir. Sehingga akhirnya manusia pada ketika itu terbahagi kepada dua kumpulan. Sebuah kumpulan keimanan yang tidak ada kemunafikan, dan sebuah lagi kumpulan kemunafikan yang tiada keimanan di dalamnya. Jika keadaan ini berlaku, maka kalian tunggulah kemunculan Dajjal pada hari itu atau esoknya.
Riwayat Abu Daud, Ahmad dan Hakim. Berkata Halim : Hadith ini sanadnya sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.


Hadith ini dengan jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. telah memberi isyarat kepada kita semua, bahawa di zaman akhir nanti akan terjadi berbagai fitnah atau ujian yang mengharuskan kita untuk berwaspada agar jangan sampai menjadi korban hilangnya keimanan. Iaitulah fitnah al-Ahlas, al-Sarraa dan al-Duhayma. Fitnah yang berpunca dari pengaruh harta benda dan kemewahan duniawi yang dapat menyeret seseorang menuju kesesatan kerana kerapuhan iman yang dimiliki oleh orang-orang di akhir zaman, sedang pihak lain berusaha untuk menggelincirkan iman seseorang dengan begitu hebat sekali iaitu golongan yang mendakwa dia adalah sebahagian daripada keturunan Nabi s.a.w. padahal baginda menyangkal sama sekali: golongan ini menjadi punca kepada datangnya cubaan besar kepada umat terkemudian dengan mengumpankan kemewahan-kemewahan dunia.


Dimana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadah. Tetapi Rasulullah s.a.w. mengatakan “ Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita,” ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat. Bila dibandingkan dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita jauh sangat jauh ketinggalan. Kita sibuk menyimpan harta dan menghalang dari berbuat ibadah. Seperti Rasulullah s.a.w. berkata : “Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang emas yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah”. Begitulah gambaran sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan.
Nabi s.a.w. telah menganjurkan kepada umatnya untuk bergegas atau segera memperbanyakkan amal soleh untuk menghadapi datangnya fitnah. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya. Semakin banyak amal solehnya semakin kuat pula imannya. Fitnah- fitnah ini sebenarnya berpunca daripada manusia-manusia yang mempunyai karakter seperti Dajjal. Meraka datang pada setiap tempat dan waktu sedangkan Dajjal hanya muncul pada hari kiamat. Oleh yang demikian Rasulullah s.a.w. tidak meninggalkan umatnya begitu sahaja malah diajarkan kepada kita agar sentiasa memohon perlindungan dengan Allah s.w.t. daripada fitnah Dajjal ini menurut hadith yang bermaksud seperti :

Daripada Ibn Abbas r.a. berkata “Bahawasanya Nabi s.a.w. mengajar akan mereka itu akan doa ini seperti mana baginda mengajar mereka itu akan Surah dari Al-Quran iaitu “Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon berlindung dengan Mu daripada azab jahannam dan daripada azab kubur dan daripada fitnah hidup dan mati dan daripada fitnah al-Masih Dajjal.”
Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim


Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri"





-------------------------------------------------------------------------------------------------------------


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS yang bermula pada setiap jumaat. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

HADITH 6 : BUKAN DARI GOLONGANKU….YANG BERIKTIKAD BAHAWA ULAR BOLEH MEMBALAS DENDAM

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w : Bunuhlah semua ular. Maka barangsiapa yang takutkan balasan dendamnya maka bukanlah ia dari golonganku.
                                                                                                                                                Riwayat Abu Daud dan Nasaie

Daripada Ibu Abbas berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : “Barangsiapa yang membiarkan ular-ular hidup kerana takut dituntut bela oleh mereka maka ia bukanlah dari golongan kita. Kita tidak pernah berdamai dengan mereka sejak kita memerangi mereka.”
                                                                                Riwayat Abu Daud

Zahir hadith ini menyeru agar dibunuh semua jenis ular melainkan ular yang berada di dalam rumah, sehinggalah setelah tiga hari diberi peringatan supaya pergi, kerana kemungkinan ia adalah jin. Ini berdasarkan pada sabda Rasulullah s.a.w yang bererti :

Sesungguhnya di Madinah terdapat sekelompok jin yang telah islam. Maka siapa yang melihat jin-jin ini, beri izin dia tinggal selama tiga hari. Jika sesudah tiga hari telah diperingatkan supaya pergi, tetapi dia masih kelihatan, bunuhlah kerana dia itu adalah syaitan.

Hadith ini menyangkal kepercayaan-kepercayaan karut orang jahiliyyah yang sehingga hari ini masih lagi mempengaruhi pegangan sesetengah orang-orang islam. Mereka percaya bahwa menjadi pantang larang membunuh ular kerana ditakuti ular-ular lainnya akan dating menuntut bela ke atas kematian rakannya itu. Oleh yang demikian nabi s.a.w memerintahkan membunuh semua ular-ular kerana ia termasuk dalam kategori binatang yang ada nas disuruh membunuhnya. Binatang dalam kategori ini adalah seperti ular, kala, tikus, gagak dan sebagainya berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ibnu Mas’ud yang bererti :

“Adalah kami bersama-sama Nabi s.a.w pada sebuah gua di Mina dan sesungguhnya telah diturunkan kepadanya akan surah : Walmursalati Urfa, tiba-tiba muncullah ular, maka baginda bersabda : Bunuhlah dia…”
                                                                Riwayat Muslim




Dan lagi hadis dari Siti Aisyah :

Telah bersabda Rasulullah s.a.w :” 5 macam binatang jahat yang hendaklah membunuhnya, baik di tanah haram atau ditanah halal iaitu; ular, gagak, tikus, anjing galak dan burung helang”

Riwayat Muslim

Menurut Raji Al-Asmar seperti yang tersebut dalam bukunya Asy-Syayatin, jin mempunyai keupayaan menjelmakan diri berupa manusia, binatang berkaki empat, ular, kala dan juga burung. Kebanyakan jin menjelma menyerupai anjing hitam atau kucing hitam.

Jin juga ada kalanya menjelma sperti ular. Tegahan membunuh yang dimaksudkan hanya khusus pada ular yang memasuki rumah. Ular yang terdapat di dalam rumah boleh dibunuh. Andainya seseorang itu melihat ular yang masuk dalam rumah, dia hendaklah menyuruhnya keluar dengan menyebut ungkapan yang bermaksud : Aku bersumpah ke atasmu dengan nama Allah, agar kau keluar dari rumah ini, dan agar kau jauhkan kejahatanmu daripada kami, kalau tidak kami akan bunuh akan dikau.”

Sekiranya ular itu masih di dalam rumah, ataupun dating lagi selepas tiga hari, ia boleh dibunuh, kerana diyakini bahwa ular itu bukan jelmaan jin. Ular yang bukan jelmaan boleh dibunuh. Begitu juga andainya ular itu adalah daripada jelmaan jin jahat yang terus menerus ada di dalam rumah, menjelmakan diri setelah diberi tempoh tiga hari kerana ia menyakiti dan menakut-menakutkan penghuni rumah.

Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri"






-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dalam tazkirah mingguan KMCS pada setiap Jumaat. Pada hari ini, saudara Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

Hadith 5

BUKAN DARI GOLONGKANKU…YANG TIDAK MEMPERCAYAI TAKDIR

Daripada Abi Hafsah berkata : ‘Ubadah bin Somit telah berkata kepada anaknya: Wahai anakku, sesungguhnya engkau tidak akan dapat merasai hakikat keimanan sehinggalah engkau mengetahui bahawa apa yang menimpa kamu (tidak ditakdirkan) tidak mungkin akan menimpamu, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Sesungguhnya yang pertama sekali Allah ciptakan ialah al-Qalam (pena). Maka Allah berfirman kepadanya (al-Qalam) : Tulislah!. Berkata ia : Ya tuhanku apa yang harus aku tulis?. Allah berfirman : Tulislah qadar setiap sesuatu sehingga datangnya hari qiamat. Wahai anakku, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Sesiapa yang mati di atas selain daripada keyakinan ini (selain dari iktiqad ini), maka ia bukanlah dari golonganku.
                                                                                                                                                                Riwayat Abu Daud

Sesungguhnya apa sahaja yang berlaku dan menimpa manusia di dunia ini sama ada baik atau buruk maka ia adalah takdir Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya yang bermaksud :

“Tidak ada suatu bencana apa pun yang menimpa di muka bumi ini dan tidak pula pada dirimu sendiri melainkan telah bertulis dalam kitab Luh Mahfuz, sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Kami jelaskan yang demikian itu agar kalian tidak berduka cita dari apa yang lepas dari diri kalian dan supaya kalian jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya terhadap kalian dan Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri”
                                                                                                                                               
Surah Al-Hadid : 22-23

Allah s.w.t telah menetapkan kadar dan ukurannya masing-masing dari segi kuantiti, kualiti, ruang dan waktu. Jadi bagi manusia dan semua makhluk, yang namanya takdir Allah itu adalah hal ghaib dan misteri. Kerana itu haram hukumnya seseorang berpangku tangan tidak berusaha dengan alasan sudah takdir. Padahal Allah sendiri sebagai Penulis Takdir telah memerintahkan kita untuk berusaha dan bekerja serta berikhtiar. Takdir ini memiliki empat tingkatan (konsep) yang semuanya wajib diimani, iaitu :
  1. Al-‘Ilmu bahawa seseorang harus menyakini bahawa Allah mengetahui segala sesuatu yang baik secara global mahupun terperinci. Dia mengetahui apa yang telah terjadi dan apa yang akan terjadi. Kerana segala sesuatu diketahui oleh Allah, baik yang terperinci mahupun jelas atas setiap gerak-geri makhluknya.
  2. Al-Kitabah bahawa Allah mencatat semua itu dalam Luh Mahfuz sebagaimana firmanNYA yang bermaksud :
“Apakah kamu tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa sahaja yang ada di langit dan dibumi?; bahawasanya yang demikian itu terdapat dalam sebuah kitab. Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah”.                        
                                                                                                                                                Surah Al-An’am : 59
  1. Al-Maashi ah ( Kehendak) iaitu Allah ini bersifat umum. Bahwa tidak ada sesuatu pun di langit maupun di bumi melainkan terjadi dengan ibarat / masyiah Allah s.w.t. Maka tidak ada dalam kekuasannya yang tidak diinginkannya selamanya. Baik yang berkaitan dengan apa yang dilakukan oleh Zat Allah atau yang dilakukan oleh makhlukNya.
  2. Al-Khalqu bahawa tidak sesuatu pun di langit dan di bumi melainkan Allah sebagai penciptanya, pemiliknya, pengaturnya dan menguasainya.


Segala ketentuan qada dan qadar itu tertulis di Luh Mahfuz di mana tidak ada manusia yang berupaya mengubahnya kecuali kehendak Allah. Ketika ia merasa yakin bahwa kejadaian-kejadian itu merupakan kerja Ilahi Yang Bijaksana, pasti akan terwujud sesuai dengan kemaslahatan dan kebijaksanaan. Demikian pula hati seorang mukmin tidak akan terkait dan tidak akan tertipu oleh dunia, dan tidak akan bangga dengan kesenangannya. Hendaklah kita berusaha menghindari pengaruh-pengaruh yang berlipat ganda dari penafsiran yang menyimpang terhadap masalah ini.

Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri"


--------------------------------------------------------------------------------------------

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat kita kembali dalam tazkirah mingguan KMCS. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah daripada minggu lepas yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

Hadith 4
BUKAN DARI GOLONGANKU….YANG MENIPU
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah melalui tepi satu longgokan makanan ( gandum yang dijual dipasar ), lalu baginda memasukkan tangan ke dalam longgokan itu maka jarinya mencapai atau merasai sesuatu yang basah. Baginda bersabda : Wahai penjual makanan, kenapa jadi begini? Berkata ia : Ia telah ditimpa hujan wahai Rasulullah. Bersabda Rasulullah : Kenapakah tiada engkau letakkan yang basah di sebelah atas supaya dilihat orang? Kemudian baginda bersabda : Barangsiapa yang menipu maka ia bukan dari golonganku.
Riwayat Muslim dan Tarmizi
Secara umumnya hadith ini mengharamkan semua jenis penipuan sama ada dalam masalah jual beli mahupun seperti dalam perjanjian, percakapan, pemberian amanah dan seumpamanya kerana ianya dituntut berlaku jujur dalam seluruh urusannya sebab keikhlasan dalam beragama, nilainya lebih tinggi daripada seluruh usaha duniawi. Antara bentuk-bentuk penipuan ialah :
1.    Penipuan dalam jual beli : penjual cuba untuk menyembunyikan keaiban barangan jualannya, menambah barangan dengan bahan-bahan tiruan agar berat sukatannya dan mengelabui mata pembeli dengan pelbagai cara lagi. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang ( dalam timbangan dan sukatan ), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan ( gantang cupak ) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan sebaliknya apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangkan.
Surah Al-Mutaffifin : 1-3

2.    Penipuan dalam perkahwinan : ibu bapa menyembunyikan keaiban yang nyata ada pada anak perempuannya daripada orang yang meminangnya serta mengahwinkan anak perempuannya tanpa bersungguh-sungguh merisik bakal suaminya sama ada dari agama dan akhlaknya.

3.    Penipuan kepada rakyat : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
Seorang hamba yang dipercayakan Allah memimpin rakyatnya, tetapi dia menipu rakyat, maka jika dia mati, Allah mengharamkan syurga baginya.
4.    Penipuan dalam peperiksaan : Tidak boleh berbuat curang dalam ujian dan tidak boleh membantu orang yang curang dalam hal ini, baik dengan bisikan atau menunjukkan jawapan kepada yang di sebelahnya untuk ditiru atau dengan upaya-upaya lainnya kerana hal ini boleh menimbulkan mudharat terhadap masyarakat.

Dan banyak lagi bentuk penipuan di dalam dunia ini apabila manusia tidak bertaqwa kepada Allah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, ( terutama balasan akhirat ).
                                                                                                                                                                Surah Al-Fajr: 14

---------------------------------------------------------------------------------------------

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurniaNya dapat kita kembali dalam tazkirah mingguan KMCS. Pada hari ini saudara En. Mohd Fathul Muin akan menyampaikan sambungan tazkirah daripada minggu lepas yang dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007.

Hadith 3

Bukan dari golonganku… yang bersekongkol dengan pemimpim yang zalim.

Daripada Ka’ab Bin Ujrah berkata : Telah keluar Rasulullah s.a.w. kepada kami. Kami dalam lingkungan sembilan orang, lima orang dari bangsa Arab dan empat orang berbangsa bukan Arab. Baginda berkata : Dengarkan kamu semua, adakah kamu telah mendengar bahawa sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin ( zalim dan pembohong ), sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga ( telaga al-Kautsar di syurga ) dan sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalangan umatku dan mereka dari kalangan yang akan mendatangi telaga ( telaga al-Kautsar di syurga ).
     Riwayat Tarmizi dan Nasaie

Telaga al-Kautsar : Nabi pernah menggambarkan keistimewaan telaga ini dengan menyebut antara sifatnya air di dalamnya tersangat putih mengalahkan susu, tersangat manis lebih daripada madu, tersangat luas tadahannya dan terdapat gelas-gelas di sisinya seumpama bintang-bintang di langit dan sesiapa yang meminum air di telaga ini tidak akan berasa haus selama-lamanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda dari Anas bin Malik yang bermaksud :
“Keluasan telagaku ialah seperti jarak antara Ailah dan Sona’a di Yaman. Di sisinya terdapat gelas-gelas seumpama bintang-bintang di langit.”
                                                                                                                                                                                Anas bin Malik
Dari Tsuban r.a. berkata : Nabi s.a.w. telah ditanya tentang air minuman di telaga al-Kautsar, maka bersabda nabi s.a.w : Ianya lebih putih daripada susu, dan lebih manis daripada madu. Sentiasa terpancar padanya air yang membuak-buak daripada dua saluran pancuran air dari syurga, satunya diperbuat daripada emas, dan yang satu lagi diperbuat dari perak.
         Riwayat Muslim

Pada hakikatnya Islam menghendaki ketenteraman dan ketertiban, baik individu mahupun masyarakat. Hadith ini adalah antara perkhabaran dan nasihat daripada nabi s.a.w. tentang peristiwa akhir zaman supaya berhati-hati ketika memberi ketaatan kepada golongan pemimpin, lebih-lebih lagi pemimpin yang zalim dan menipu yang bererti secara tidak langsung telah membuat kekacauan dan kerosakan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“ Tidak ada jalan atas orang yang menzalimi manusia dan membuat kerosakan di bumi dengan tidak benar. Kecuali bagi mereka azab yang pedih.”
                                                                                                                                                                      Asy-Syura : 42
Pada hari ini, fenomena kerakusan pihak penguasa nampak jelas dan ketara di merata tempat dengan cara membohongi rakyatnya sendiri dengan mengatakan orang yang benar bersalah, yang menyatakan kebenaran dan berjihad dikatakan pengganas, menangkap ulama, orang yang menentangnya tanpa bukti dihumban dalam penjara tanpa diadili, menghina nabi, malah lebih ketara lagi mereka mengambil hukum selain dari hukum Allah dalam Al-Quran bererti menduakan hukum Allah dan merupakan satu kezaliman yang besar.
Apabila berlaku kepimpinan yang zalim dan menipu adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan menasihati mereka yang zalim. Bila teguran untuk menyatakan tanggungjawab melaksanakan perkara-perkara yang melibatkan hak-hak Islam, ditentang dan dibidas dengan jawapan yang tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim malahan pula kekerasan digunakan untuk menghalang usaha-usaha mendaulatkan hukum Islam kepada manhajnya sendiri. Peranan umat Islam ketika berhadapan dengan pemimpin yang zalim ini ialah sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi dalam hadith ini iaitu tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka. Termasuk dalam golongan ini ialah :

  1. Tidak mendengar dan mentaati mereka, kerana ia tidak akan mampu melakukan perkara yang melampaui batas tanpa pertolongan dan ketaatan dari para pengikut. Oleh yang demikian mereka juga dianggap zalim seperti pemimpinnya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“ Tidak ada ketaatan kepada makhluk untuk melakukan maksiat kepada Allah ”

  1. Tidak menyokong dan memilih mereka, kerana Allah mengharamkan hamba-hambanya memberi sokongan dan pertolongan kepada pemimpin yang zalim dan melampui batas, bahkan melarang dari cenderung kepadanya. Para ulama telah berhujjah bahawa Allah s.w.t. melarang dari memberi sebarang bentuk pertolongan kepada orang-orang yang zalim dan berkhidmat denganya menerusi firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“ Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka ( kalau kamu berlaku demikian ), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian ( dengan sebab kecenderungan kamu itu ) kamu tidak akan mendapat pertolongan “
                Surah Huud : 113

  1. Membangkang setiap penyelewengan dan kezaliman kerana umat Islam hendaklah mengambil sikap sebagai pembangkang sekiranya berbagai-bagai nasihat yang diberikan tidak mampu mengubah kezaliman dan kemungkaran yang dilakukannya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“ Sesungguhnya semulia-mulia jihad ialah mengatakan
kepada penguasa yang zalim “

                                Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah

Sikap membangkang ini juga hendaklah disertakan dengan menghalang segala kefasadan
( kerosakan ) yang dilakukan dengan apa sahaja cara yang terbaik dengan membuat penyelidikan dan kajian serta memberi peringatan dan menghebahkan penyelewengan yang berlaku kepada masyarakat.

Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri"




------------------------------------------------------------------------------------------------


Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1Malaysia

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita masih lagi berpeluang untuk meneruskan perjuangan kita sebagai khalifah Allah di bumi bertuah ini. Sehubungan itu, KMCS telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin pada setiap hari Jumaat bermula pada jam 8.30 hingga 9.30 pagi yang turut diselitkan dengan sesi Tazkirah Pagi untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama di samping menerapkan nilai-nilai murni di kalangan warga KMCS.

Sesi Tazkirah Pagi tersebut telah disampaikan oleh Encik Mohd Fathul Muin bermula pada 18 Mac 2011 yang lalu. Nak tau apa yang telah disampaikan? Jom kita baca sama-sama.

Hadith 1

Hadis ini telah dipetik daripada buku bertajuk, "Bukan Dari Golonganku".
Bukan dari golonganku ………… yang tidak menyukai sunnahku.
أَنَّ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata ; Pada suatu hari sekumpulan kaum muslimin ( dalam lingkungan tiga orang sahabat ) datang kepada isteri Rasulullah s.a.w. Mereka bertanyakan tentang jumlah ibadat yang Rasulullah s.a.w. lakukan setiap hari. Setelah mendapat penjelasan, mereka menggangap ibadah Rasulullah s.a.w. hanya sedikit. Mereka berkata : Kita tidak boleh meniru – niru baginda s.a.w. kerana Allah telah mengampuni segala dosanya yang telah lalu dan yang akan datang! Salah seorang dari mereka berkata : Aku tidak begitu, kerana aku bersembahyang malam ( tahajjud ) terus – menerus!.. Sahabatnya menyahut : Aku berpuasa terus – menerus tanpa berbuka!.. Dan sahabat yang lain berkata : Aku menjauhkan diri dari perempuan dan tidak akan berkahwin selama – lamanya! Ketika Rasulullah s.a.w datang, baginda bersabda : Tadi kamu telah mengatakan begini dan begitu….. Demi Allah, aku ini lebih takut dan lebih bertaqwa kepada Allah daripada kamu sekelian; tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku menunaikan sembahyang dan tidur, dan aku berkahwin dengan wanita. Kerana itu sesiapa yang tidak menyukai sunnahku ia bukan dari golonganku ( bukan dari umatku ).
Riwayat Bukhari, Muslim dan Nasaie, lafaz oleh Bukhari.
Didalam maksud hadith ini ialah nabi diutuskanNya adalah untuk diteladani, dicontohi dan dipatuhi dan bukanlah untuk dikagumi semata-mata malah apa yang dilakukan adalah yang terbaik untuk diikuti. Menambah-nambah dan berlebihan dalam ibadah adalah sesuatu yang dipanggil di dalam islam sebagai bid’ah.

Kehidupan manusia didalam dunia ini terbahagi kepada tiga jenis golongan :
  1. Yang berpaling dari dunia dan menghinanya kerana ianya sibuk menyuburkan jiwa dan ruhnya dengan beriktikaf dan mengasingkan diri dari masyarakat semata-mata untuk beribadat sehingga sanggup membujang.
  2. Yang tenggelam dengan dunia dan perhiasannya iaitu dengan bermati-matian mengumpul harta hanya untuk kepentingan peribadinya tanpa memperdulikan akhlak yang mulia serta keperluan ruh untuk disucikan serta tidak menunaikan haknya kepada penciptanya yang telah melimpahkan rezeki keatasnya dengan mensyukuri segala nikmatnya.
  3. Yang amat menitikberatkan pembinaan ruh, menyeru manusia kepada menghubungkan diri dengan tuhannya dengan ibadat, ketaatan dan amalan mendekatkan diri kepada penciptanya dengan tidak melupakan pembinaan hubungan manusia untuk menjaga wasilah keturunan, ketenangan jiwa serta terjaga maruah diri.
Dengan itu marilah kita beramai-ramai transformasi diri dengan menjadikan kehidupan manusia yang ketiga sebagai panduan dan ikutan sepanjang perjalanan hidup kita.
Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".




---------------------------------------------------------------------------------------------


Hadith 2

Bukan dari golonganku………yang keluar dari jamaah islam, yang berjuang di atas dasar asaobiyah


Daripada  Abu Hurairah r.a., daripada Rasulullah s.a.w. bersabda : 'Sesiapa yang tidak mematuhi iman dan memencilkan diri dari jamaah lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyyah, dan sesiapa yang berperang di bawah bendera ( panji ) buta dan marah ( bermusuhan ) kerana asaobiyyah dan menyeru kepadanya atau membantu kerananya ( asaobiyyah ) maka kematiannya adalah mati jahiliyyah, dan sesiapa yang keluar dari umatku, membunuh orang-orang yang baik dan orang-orang jahat tanpa memperdulikan apakah dia orang mukmin atau tidak, dan tanpa mengendahkan janji yang telah dibuat, maka orang itu juga bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya'.
Riwayat Muslim, nasaie dan Ibnu Majah. Lafaz oleh Muslim


Yang dimaksudkan asaobiyyah ini ialah seseorang yang menolong kaumnya sendiri di atas dasar kezaliman dan menindas-nindas semata-mata fanatik perkauman. Dan ianya mati dalam keadaan jahiliyyah.


Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab berada dalam semangat assabiyyah yang mendalam sehingga sanggup berperang dan mati demi mempertahankan bangsa atau kabilah masing-masing. Kedatangan Rasulullah s.a.w datang dan serta merta menghapuskan segala bentuk assabiyyah yang ada dan sekaligus menyatukan masyarakat Arab di bawah satu kalimah, tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit.


Masyarakat Jahiliyyah telah bangkit dari bangsa yang paling mundur dangan melalui perubahan pemikiran Islam yang akhirnya telah berjaya mewujudkan satu negara dan pemikiran Islam ini telah menjadi anjakan kepada perubahan-perubahan yang lain.


Wallahu’alam
"Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk datangnya dari diri saya sendiri".


---------------------------------------------------------------------------------------------