Selasa, 31 Mei 2011

DIREKTORI USAHAWAN KRAF KMCS SEDANG DIKEMASKINI...

Untuk makluman semua pembaca, KMCS sedang membuat penambahbaikan maklumat di ruangan Direktori usahawan. Pihak kami akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada para pembaca. ruangan ini akan dikemaskini dari masa ke semasa, insya-Allah.

MASA UNTUK SENI!


Baru-baru ini, KMCS telah dijemput oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi memeriahkan program Laman Seni Putrajaya kali ke-35. “Masa Untuk Seni” merupakan tema bagi mempromosikan pelbagai bidang seni melalui pengisian aktiviti di khemah aktviti. Pelbagai acara menarik yang telah dilaksanakan oleh PPj bagi menarik minat golongan belia khususnya dalam mempelajari seni. Di antara aktiviti yang telah berlangsung adalah demonstrasi kraf ukiran logam, ukiran kayu, mewarna permukaan produk, mewarna lukisan menggunakan cat air, melukis potret dan mempelajari tulisan kaligrafi. Selain aktiviti ini, terdapat juga persembahan kebudayaan, jualan produk kraf dan lain-lain lagi.

KMCS telah membawa jurudemo bidang logam bagi membuat demonstrasi menghasilkan gelang tangan yang berukir nama menggunakan plat tembaga serta demonstrasi mencanting dan mewarna batik. Alhamdulillah, sambutan yang diterima pada kali ini amat baik kerana pada masa yang sama turut berlangsungnya program Himpunan Sejuta Belia tidak jauh dari tapak Laman Seni Putrajaya.

Apa yang menarik pada kali ini, khemah KMCS turut dikunjungi oleh Pengarah Bahagian Pembangunan dan beberapa pegawai kanan PPj yang telah ‘turun padang' bagi memantau pelaksanaan program ini. Mereka tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri mencanting dan mewarna batik. Walaupun, baru kali pertama mencanting, namun hasilnya amat memuaskan. Terima kasih di atas kunjungan tersebut dan syabas kami ucapkan kerana telah berjaya mencanting dengan baik. Diharapkan agar jalinan kerjasama di antara KMCS dan PPj akan terus berkekalan hendaknya, insya-Allah.















PETUA

Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1Malaysia


Bermula pada hari ini 31 Mei 2011, blog KMCS telah menambah satu lagi ruangan baru, iaitu ruangan Petua yang akan menyiarkan pelbagai petua bagi menjaga produk kraf supaya tahan lebih lama dan kekal cantik. Jadi, untuk hari ini, satu artikel berkaitan "Tips Penjagaan Songket" telah dikongsikan oleh Cik Noor Iza binti Kassim untuk dimanfaat oleh kita bersama. Jom, kita baca apa yang menarik!

MOTIVASI

Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1Malaysia


Artikel bagi ruangan Motivasi pada hari ini 31 Mei 2011 (Selasa), merupakan sumbangan daripada Cik Marshila binti Marzuki, yang bertajuk "18 Cara Menangani Tekanan atau Stress".




Isnin, 30 Mei 2011

Jumaat, 27 Mei 2011

INDAHNYA…. PERKAMPUNGAN BUDAYA MAH MERI, PULAU CAREY~

LAWATAN KERJA SUB ( KANAN) KPKK

Saat berkunjung datang lagi~ Seawal pagi yang hening lagi kami sudah berada di pejabat untuk bersiap sedia ke Pulau Carey dengan semangat yang berkobar-kobar!!

Kali ini, kunjungan kami ke sana atas urusan Lawatan Kerja YBrs Setiausaha Bahagian (SUB) Kanan (Pengurusan) KPKK, Encik Che Azemi Harun ke tapak Projek Cadangan Pembangunan Pusat Budaya Mah Meri di Kampung Sg Bumbun, Pulau Carey. Turut bersama mengiringi lawatan kerja SUB Kanan (Pengurusan) KPKK adalah pegawai dari Bahagian Pembangunan KPKK. Manakala daripada Kraftangan Malaysia Ibu Pejabat ialah YBrs Timbalan Ketua Pengarah ( Operasi) Encik Ramli Mohd Noor, Pengarah Bahagian Usahawan, Encik Ibrahim Ismail, Jurutera Kanan, Encik Hamdan Ahmad dan Encik Azhari Tahir dan KMCS diwakili oleh YBrs Pengarah, Puan Ruslah Khalid, Encik Rushdan Ahmad dan saya sendiri Noor Iza Kassim.


Sesi Lawatan Kerja ini telah dimulakan dengan taklimat oleh Perunding / Kontraktor mengenai status semasa projek pembangunan ini diikuti dengan penerangan oleh TKP (Operasi) tentang cadangan pengoperasian pengisian aktiviti. Syukur.. Alhamdullilah.. tempoh masa dan kos pembinaan bagi menyiapkan projek ini mengikut masa dan spesifikasi yang telah ditetapkan. Keseluruhan pembinaan ini tidak mempunyai perubahan yang besar daripada pelan asal. Keseluruhan seni binaan, bahan dan seni dalaman Perkampungan Budaya ini menerapkan seni dan budaya Orang Asli Mah Meri. Ciri kesenian ini juga boleh dilihat pada seni landskap yang indah lagi nyaman berlatarbelakangkan pohon-pohon yang menghijau. Sungguh teruja dan terpegun kami ketika menjejak kaki masuk ke pintu gerbang Perkampungan Budaya ini. Tidak lekang dari bibir saya dengan mengatakan CANTIKNYAA!! sambil berjalan menuju masuk ke dalam… :)

Untuk pengetahuan semua, Perkampungan Budaya ini mempunyai keluasan seluas 3 ekar dengan menempatkan sebuah pusat penerangan pelancongan, sebuah ruang galeri, empat unit wakaf jualan, dan ruang terbuka dan tertutup untuk aktiviti kebudayaan Orang Asli Mah Meri.



Pusat Penerangan Pelancongan yang berada di hadapan pintu gerbang


Wakaf Jualan


Galeri, ruang terbuka dan tertutup bagi melaksanakan aktiviti kebudayaan
Mah Meri




Selesai menikmati jamuan ringan yang dihidangkan, rombongan kami dibawa melawat ke tapak Perkampungan Budaya Mah Meri dan seterusnya melawat ke bengkel salah seorang pengukir ukiran kayu Mah Meri iaitu Encik A.Samri A/L Abdul Rahman. YBrs Setiausaha Bahagian (SUB) Kanan dan semua pegawai daripada KPKK amat terpegun dengan hasil kerja ukiran kayu Mah meri yang halus dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Keunikan dan kehalusan Ukiran Patung Moyang “Harimau Berantai” menjadi sebutan sepanjang perbualan mereka. Encik Samri bersemangat berkongsi maklumat dan pengalaman beliau kepada kami. Kepakaran Encik Samri ini telah diiktiraf dan telah menerima Anugerah Tukang Ulung pada Hari Kraf Kebangsaan 2011 baru-baru ini. Atas kepakaran dan jalinan kerjasama yang baik yang diberikan oleh Encik Samri ini telah membawa peluang yang luas kepada beliau. Lebih membanggakan lagi, hasil kerja beliau juga pernah dipertontonkan di luar negara seperti Paris, Shanghai dan Thailand.


Encik A.Samri " Tukang Ulung 2011"



En Samri Bersemangat menerangkan kepada YBrs SUB Kanan





Jutaan terima kasih diucapkan kepada YBrs Setiausaha Bahagian (SUB) Kanan (Pengurusan) KPKK, Encik Che Azemi Harun dan rombongan, YBrs Timbalan Ketua Pengarah ( Operasi) Kraftangan Malaysia Encik Ramli Mohd Noor, Pengarah Bahagian serta pegawai-pegawai yang terlibat atas kunjung rasmi ke PERKAMPUNGAN BUDAYA MAH MERI, PULAU CAREY.

Perjumpaan pertama ini akan diikuti dengan mesyuarat bersama Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Budaya) dalam waktu terdekat untuk membincangkan dengan lebih terperinci cadangan pengisian aktiviti dan pengoperasian Perkampungan Budaya tersebut, dengan melibatkan pelbagai jabatan / agensi berkaitan. Semoga kunjungan ini memberi maklumat dan pengalaman yang menarik kepada semua…Juga tidak lupa Samri dan rakan-rakan atas kerjasama yang diberikan sepanjang kunjungan kami tadi. JUMPA LAGI!! :)

TAZKIRAH MINGGUAN


Assalamualaikum dan Salam Ukhwah.

Pada kebiasaanya, Sesi Tazkirah akan menyusul selepas selesai bacaan Yasin. Jika pada minggu lepas kita telah mengikuti Hadith 8 yang telah dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamil Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007, jadi, marilah kita sama-sama menghayati dengan penuh tawadhuk maksud hadith 9 minggu ini, "Bukan Dari Golongan Kami…Yang Mendakwa Sesuatu Yang Bukan Miliknya" yang telah dimuatkan di ruangan Tazkirah Mingguan. Semoga kita semua terhindar daripada menjadi orang bukan daripada golongan Nabi Muhammad s.a.w, Nauzubillah!

I-REKA

Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1Malaysia

Artikel bagi ruangan I-Reka pada hari ini, Jumaat, 27 Mei 2011, telah disumbangkan oleh Puan Lilis Suriyani Abdul Manaf yang bertajuk, "Prinsip Rekaan". Jom, kita baca apa yang menarik!

Khamis, 26 Mei 2011

PROTOTAIP PKK 2011 SIAP!

Produk prototaip sempena Promosi Kerja Kahwin 2011 (PKK 2011) sudah siap dan telah selamat dihantar ke Ibu Pejabat. Produk tersebut akan dipamerkan sepanjang promosi ini berlangsung.

Pada kali ini, sebanyak 11 produk baru telah direka oleh pereka dalaman KMCS dan telah disiapkan sepenuhnya oleh usahawan negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang menyertai PKK 2011. Di antara usahawan yang telah telah terlibat dalam penghasilan produk prototaip tersebut adalah De’ Astek Craft, Terusi Art, Mega Ukir Craft dan East Art Enterprise.

Nak lihat produk ini secara live? Jom kita serbu ramai-ramai Promosi Kerja Kahwin 2011 yang kini sedang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur bermula daripada hari ini, 26 Mei hingga 6 Jun 2011. Datang, jangan tak datang... Bersama-sama kita meriahkannya!












MOTIVASI

Artikel bagi ruangan Motivasi hari ini, Khamis, 26 Mei 2011, merupakan sumbangan daripada Puan Zailah binti Zaid yang bertajuk, "Cara Menghalang Kerisauan Daripada Mengawal Kehidupan Anda". Mungkin maklumat ini berguna buat kita semua kerana kadang kala banyak perkara yang remeh membuatkan kita risau tanpa sebab. Insya-Allah, bersama-samalah kita membendungnya supaya tahap kerisauan kita akan lebih terkawal.

KESALAHAN EJAAN SIRI 11

Seperti biasa, KMCS akan memaparkan beberapa contoh kesalahan dalam ejaan. Marilah kita bersama-sama mengikuti Kesalahan Ejaan Siri ke-11. Siri ini merupakan siri terakhir bagi kesalahan ejaan. Insya-Allah, blog KMCS akan terus menyediakan pelbagai infomasi yang boleh dimanfaatkan bersama.

Rabu, 25 Mei 2011

KERANA MINAT ! ANYAMAN INDAH, WARISAN TEMUAN




Seperti biasa, Isnin adalah hari permulaan bekerja bagi setiap minggu. Kali ini Yang Berusaha Puan Pengarah KMCS serta Unit Usahawan telah mengadakan satu temu janji bersama sukarelawan produk kraf Orang Asli iaitu Cik Rieta Rahim untuk melawat sebuah lagi perkampungan Orang Asli di Kampung Paya Rumput di daerah Sepang.

Setibanya kami di sana, kami berpeluang bertemu sekumpulan usahawan wanita dari suku Temuan yang menjalankan aktiviti anyaman daun pandan dan mengkuang.

Kehadiran rombongan kami disambut mesra dan diperkenalkan dengan Puan Soeb Miah (Yau) dan lima penganyam. Kami sungguh terpegun dan teruja melihat hasil anyaman yang begitu halus dan cantik. Antara produk yang dihasilkan ialah ‘Lopa’ (dompet panjang berbutang) dan pouch. Selain itu, etnik Temuan yang juga dahulu dikenali sebagai kaum Belandas ini juga menghasilkan pakaian daripada kulit kayu yang sering digunakan dalam upacara tarian Sewang.

Rombongan kami juga telah dibawa ke kawasan penanaman daun pandan dan mengkuang di kawasan rumah mereka, selain mendapatkan bekalan dari kawasan yang berhampiran.

Buat pengetahuan semua, Puan Yau atau lebih mesra dipanggil ‘Mak’ yang kini berusia 60 tahun adalah tonggak utama bagi aktiviti anyaman Orang Asli di sini. Kepakaran beliau dalam menghasilkan anyaman ini tidak dapat dipertikaikan lagi. Menurut Cik Rieta, dalam kumpulan Orang Asli di sini, beliau adalah antara salah seorang penganyam terbaik anyaman gila (sejenis seni anyaman) yang boleh menghasilkan produk seperti pouch.

Kumpulan ini rupanya mempunyai pelbagai kemahiran. Selain menganyam dompet, mereka juga boleh menganyam ketupat besar berbagai bentuk seperti ketam, ikan, burung, sotong dan lain-lain. Anyaman origami bentuk lembu juga boleh dibuat. Suami Puan Yau pula pandai membuat sumpit buluh. Menurut Cik Rieta, produk yang dihaslkan oleh kumpulan wanita kaum Temuan ini memang sentiasa laris dan tidak mencukupi untuk jualan di promosi yang disertai oleh Gerai OA.

Walaupun pendapatan aktiviti menganyam ini tidak lumayan, namun mereka tetap gigih. Ditanya “kenapa?” spontan keluar jawapan daripada bibir ‘mak’ dan anak perempuannya Watie, “KERANA MINAT”.Penuh bersemangat mereka menyatakan, mereka juga menjaga nama suku Temuan, supaya ada kemahiran yang dapat diwariskan kepada generasi akan datang dan mereka bangga, anyaman yang diusahakan mereka itulah akan mereka tinggalkan sebagai warisan!

Pengalaman, kepakaran, budaya, bahasa, hobi dan lain-lain antara topik utama perbualan kami. Suasana ceria dan gembira terpancar setiap wajah penganyam di sini setiap kali kami memuji kehalusan anyaman dan kepakaran mereka menghasilkan produk. Cik Rieta akan mengelaskan produk kepada tiga kategori iaitu biasa, halus dan sangat halus bagi menentukan harga produk jualan mereka.

Jutaan terima kasih buat Cik Rieta Rahim dari Gerai OA dan kumpulan wanita suku Temuan Kampung Paya Rumput, Sepang. Tulisan beliau mengenai masyarakat Orang Asli boleh dirujuk menerusi laman web ini http://www.malaysiadesignarchive.org . Juga tidak lupa Mak, semoga sejahtera dan diberi kesihatan yang baik dalam usaha memartabatkan seni anyaman Temuan yang indah dan halus buatannya. :)


Inilah dia... "Puan Yau / Mak"

Kumpulan Wanita "Kembang Sejambak" :)




Baju kulit kayu yang dihasilkan oleh suku Temuan mempunyai kualiti yang tinggi


Buku resipi warna yang direkod sebagai panduan mereka menghasilkan campuran warna pada bahan


Porch anyaman gila



Terbukti "Kehalusan" anyaman yang dihasilkan oleh Kumpulan wanita kembang Sejambak tidak dipertikaikan lagi


Bos.. sila laa...pilih mana-mana yang berkenan di hati~ hihihi... :D


Melawat ke kawasan penanaman daun pandan dan mengkuang di kawasan rumah Puan Yau

SANTAPAN ROHANI

Assalamualaikum w.b.t dan Salam 1Malaysia


Seperti biasa, blog ini akan menyiarkan artikel-artikel yang disumbangkan oleh warga kerja KMCS. Pada hari ini, kami ingin berkongsi bersama pembaca satu artikel bertajuk "Dirimu Tercari-cari" yang telah dimuatkan di ruangan Santapan Rohani. Marilah kita sama-sama menghayatinya.


*(Sila klik pada tajuk atau ruangan Santapan Rohani)


KESALAHAN EJAAN SIRI 10

Seperti biasa, KMCS akan memaparkan beberapa contoh kesalahan dalam ejaan. Marilah kita bersama-sama mengikuti Kesalahan Ejaan Siri ke-10.

Selasa, 24 Mei 2011

BERAKHIRNYA SATU PENANTIAN...

23 Mei 2011 Jam 3.30 ptg, Akhirnya…. Penantian warga KMCS bakal berakhir. Hari ini Unit Pentadbiran KMCS telah berurusan dengan pembekal daripada Curtain Craft untuk pemasangan “ROLLER BLIND”. Kami seluruh warga KMCS mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan Kraftangan Malaysia kerana telah mendengar rintihan dan keluhan kami di sini. Syukur, Alhamdulillah…

Selama hampir lima bulan menunggu peruntukan diturunkan, maka lima bulan jugalah warga kerja KMCS telah berkorban mata dan bahang dek sinaran matahari yang menyinar masuk ke pejabat tanpa sekatan pada waktu pagi dan petang. Ada yang mengalir air mata, ada yang menambah power kaca mata dan terbaru ada yang MC disebabkan sakit mata. Itulah penderitaan yang ditanggung oleh warga kerja selama lima bulan menunggu…

Bagi yang muda, untuk mengelakkan panahan cahaya matahari menerjah masuk dan menyuluh komputer masing-masing, akan bergaya dengan cermin mata hitamnya. Bagi yang ‘old-timer’/ pakcik dan makcik, berbagai cara dilakukan, dengan menggunakan kreativiti sendiri dan bahan yang sedia ada maka terhasillah idea-idea yang seusia dengan mereka cara-cara untuk menghalang sinaran dan panahan mentari yang sentiasa memancarkan cahayanya pabila sampai waktunya. Inilah hasilnya…..

Mudah-mudahan dengan pemasangan “ROLLER BLIND” ini akan berakhirlah ujian kecil yang diciptakan oleh Allah S.W.T. untuk hambanya di dunia supaya kita lebih bersedia apabila bertemu pencipta di akhirat nanti. Amin…..