Jumaat, 27 Mei 2011

INDAHNYA…. PERKAMPUNGAN BUDAYA MAH MERI, PULAU CAREY~

LAWATAN KERJA SUB ( KANAN) KPKK

Saat berkunjung datang lagi~ Seawal pagi yang hening lagi kami sudah berada di pejabat untuk bersiap sedia ke Pulau Carey dengan semangat yang berkobar-kobar!!

Kali ini, kunjungan kami ke sana atas urusan Lawatan Kerja YBrs Setiausaha Bahagian (SUB) Kanan (Pengurusan) KPKK, Encik Che Azemi Harun ke tapak Projek Cadangan Pembangunan Pusat Budaya Mah Meri di Kampung Sg Bumbun, Pulau Carey. Turut bersama mengiringi lawatan kerja SUB Kanan (Pengurusan) KPKK adalah pegawai dari Bahagian Pembangunan KPKK. Manakala daripada Kraftangan Malaysia Ibu Pejabat ialah YBrs Timbalan Ketua Pengarah ( Operasi) Encik Ramli Mohd Noor, Pengarah Bahagian Usahawan, Encik Ibrahim Ismail, Jurutera Kanan, Encik Hamdan Ahmad dan Encik Azhari Tahir dan KMCS diwakili oleh YBrs Pengarah, Puan Ruslah Khalid, Encik Rushdan Ahmad dan saya sendiri Noor Iza Kassim.


Sesi Lawatan Kerja ini telah dimulakan dengan taklimat oleh Perunding / Kontraktor mengenai status semasa projek pembangunan ini diikuti dengan penerangan oleh TKP (Operasi) tentang cadangan pengoperasian pengisian aktiviti. Syukur.. Alhamdullilah.. tempoh masa dan kos pembinaan bagi menyiapkan projek ini mengikut masa dan spesifikasi yang telah ditetapkan. Keseluruhan pembinaan ini tidak mempunyai perubahan yang besar daripada pelan asal. Keseluruhan seni binaan, bahan dan seni dalaman Perkampungan Budaya ini menerapkan seni dan budaya Orang Asli Mah Meri. Ciri kesenian ini juga boleh dilihat pada seni landskap yang indah lagi nyaman berlatarbelakangkan pohon-pohon yang menghijau. Sungguh teruja dan terpegun kami ketika menjejak kaki masuk ke pintu gerbang Perkampungan Budaya ini. Tidak lekang dari bibir saya dengan mengatakan CANTIKNYAA!! sambil berjalan menuju masuk ke dalam… :)

Untuk pengetahuan semua, Perkampungan Budaya ini mempunyai keluasan seluas 3 ekar dengan menempatkan sebuah pusat penerangan pelancongan, sebuah ruang galeri, empat unit wakaf jualan, dan ruang terbuka dan tertutup untuk aktiviti kebudayaan Orang Asli Mah Meri.



Pusat Penerangan Pelancongan yang berada di hadapan pintu gerbang


Wakaf Jualan


Galeri, ruang terbuka dan tertutup bagi melaksanakan aktiviti kebudayaan
Mah Meri




Selesai menikmati jamuan ringan yang dihidangkan, rombongan kami dibawa melawat ke tapak Perkampungan Budaya Mah Meri dan seterusnya melawat ke bengkel salah seorang pengukir ukiran kayu Mah Meri iaitu Encik A.Samri A/L Abdul Rahman. YBrs Setiausaha Bahagian (SUB) Kanan dan semua pegawai daripada KPKK amat terpegun dengan hasil kerja ukiran kayu Mah meri yang halus dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Keunikan dan kehalusan Ukiran Patung Moyang “Harimau Berantai” menjadi sebutan sepanjang perbualan mereka. Encik Samri bersemangat berkongsi maklumat dan pengalaman beliau kepada kami. Kepakaran Encik Samri ini telah diiktiraf dan telah menerima Anugerah Tukang Ulung pada Hari Kraf Kebangsaan 2011 baru-baru ini. Atas kepakaran dan jalinan kerjasama yang baik yang diberikan oleh Encik Samri ini telah membawa peluang yang luas kepada beliau. Lebih membanggakan lagi, hasil kerja beliau juga pernah dipertontonkan di luar negara seperti Paris, Shanghai dan Thailand.


Encik A.Samri " Tukang Ulung 2011"



En Samri Bersemangat menerangkan kepada YBrs SUB Kanan





Jutaan terima kasih diucapkan kepada YBrs Setiausaha Bahagian (SUB) Kanan (Pengurusan) KPKK, Encik Che Azemi Harun dan rombongan, YBrs Timbalan Ketua Pengarah ( Operasi) Kraftangan Malaysia Encik Ramli Mohd Noor, Pengarah Bahagian serta pegawai-pegawai yang terlibat atas kunjung rasmi ke PERKAMPUNGAN BUDAYA MAH MERI, PULAU CAREY.

Perjumpaan pertama ini akan diikuti dengan mesyuarat bersama Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Budaya) dalam waktu terdekat untuk membincangkan dengan lebih terperinci cadangan pengisian aktiviti dan pengoperasian Perkampungan Budaya tersebut, dengan melibatkan pelbagai jabatan / agensi berkaitan. Semoga kunjungan ini memberi maklumat dan pengalaman yang menarik kepada semua…Juga tidak lupa Samri dan rakan-rakan atas kerjasama yang diberikan sepanjang kunjungan kami tadi. JUMPA LAGI!! :)

Tiada ulasan:

Catat Komen