Setiap hari kita bertungkus lumus mencari rezeki bagi memenuhi
keperluan hidup seharian. Ada yang bekerja bagi memenuhi keperluan asas.
Ada yang bertungkus lumus bekerja untuk menikmati kesenangan dan
kemewahan hidup.
Anda merupakan golongan yang mana? Sudah tentu anda tahu jawapannya.
Dalam kesibukan mencari rezeki dan mengejar kemewahan, jangan kita alpa
dan lalai dari mengingati-Nya, jangan kita lupa tuntutan yang lebih
utama iaitu mengerjakan perintah agama dan mengejar kemewahan di akhirat
kelak.
Inilah tujuan utama manusia dihidupkan di muka bumi Allah SWT.
Berikut adalah beberapa tips untuk bekerja tanpa meninggalkan tuntutan
agama:
1) Memasang niat yang baik
• Keluar mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga kerana Allah
SWT. Hati akan menjadi tenang sepanjang waktu bekerja jika dimulai
dengan niat yang baik dan semata-mata kerana-Nya. Firman Allah SWT dalam
Surah Al-An'am ayat 162 yang bermaksud:
"Katakanlah Muhammad, "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan seluruh alam."
• Sesungguhnya adalah menjadi rugi sekiranya kita keluar bekerja
setiap hari mencari nafkah untuk isteri, anak-anak, dan keluarga jika
tidak berniat bekerja sebagai ibadah. Alangkah baiknya jia kita berniat
keluar bekerja kerana Allah, kita pasti mendapat pahala sepanjang
bekerja dan mendapat rezeki yang berkat.
2) Jujur dan amanah semasa bekerja
• Ini juga
merangkumi penggunaan waktu bekerja. Kita hendaklah memaksimumkan waktu
bekerja dengan sebaik-baiknya seperti mengelakkan diri kita keluar
menikmati sarapan pagi dan makan tengahari yang terlalu lama. Bekerjalah
dengan bersungguh-sungguh, jujur dan amanah agar kerja yang
dilaksanakan selesai dan rezeki yang diterima diberkati.
• Bekerja dengan bersungguh-sungguh bermaksud melakukan kerja di
tempat kerja sehabis baik. Orang yang gagal dalam melakukan kerja tidak
akan berputus asa sekiranya ada kesungguhan semasa bekerja. Bekerjalah
bersungguh-sungguh supaya kerja yang kita lakukan seharian akan memberi
manfaat kepada orang lain. Orang yang baik adalah orang yang sentiasa
memberi manfaat kepada orang lain.
3) Membasahkan lidah dengan zikir dan doa semasa bekerja
•
Ketika kita sibuk bekerja, pastikan dalam masa yang sama hati dan lidah
juga turut seiring berzikir kepada Allah SWT. Perkara tidaklah susah
untuk dilakukan, cuma ia perlu sentiasa diamalkan dan dibiasakan agar ia
menjadi sebati dalam tindakan kita. Di samping itu, kita juga dituntut
mengamalkan Solat Sunat Dhuha untuk memohon keberkatan dari-Nya dan
mohon dimurahkan rezeki yang halal lagi baik.
4) Tidak melengahkan solat fardhu
• Solat fardhu
merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan merupakan tiang agama.
Jika kita amati, terdapat sebilangan manusia yang terlalu sibuk bekerja
sehingga tidak sedar waktu solat berlalu begitu sahaja bahkan yang lebih
teruk lagi langsung tidak menunaikan solat fardhu. Mudah-mudahan kita
tidak termasuk dalam golongan ini. Sesungguhnya, kita tidak boleh
menunggu waktu lapang tetapi kita yang perlu melapangkan waktu untuk
menunaikan tuntutan solat fardhu. Ingatlah, dalam kesibukan kita
menjalankan tanggungjawab terhadap kerja dan memenuhi kehendak majikan,
jangan sesekali ingkar dan lalai akan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah
SWT adalah majikan kepada seluruh manusia.
5) Menggunakan gaji atau upah ke jalan yang baik
•
Kita hendaklah membelanjakan gaji atau upah yang diterima dengan sebaik
mungkin. Manfaatkanlah gaji atau upah yang diterima dengan bijak untuk
menyara diri dan keluarga, membantu ibu bapa, membayar zakat dan
simpanan di masa memerlukan. Di samping pastikan diri kita tidak lupa
peruntukkan sebahagiannya untuk bersedekah kepada orang yang memerlukan
dan ke jalan-jalan kebaikan. Sesungguhnya rezeki yang kita terima itu
adalah milik Allah SWT dan Allah pasti akan memberikan ganjaran kepada
setiap kebaikan yang kita lakukan, Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa'
ayat 132 yang bermaksud :
"Dan kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan apa yang di bumi. Cukuplah Allah sebagai pemelihara."
Mudah-mudahan rezeki yang diterima akan menjadi halal lagi baik
berkat usaha kita yang sentiasa bekerja tanpa meninggalkan tuntutan
agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa
yang melihat kemungkaran di depannya, maka ubahlah dengan tangannya,
dan jika tiada kemampuan ubahlah dengan lidahnya, dan jika tiada
kemampuan, ubahlah dengan hati, dan inilah selemah-lemah iman."
Semoga artikel ini dapat mengingatkan diri penulis dan semua pembaca
untuk memperbaiki diri kita semasa melakukan kerja tanpa meninggalkan
tuntutan agama.