Jumaat, 29 Jun 2012

RENUNGAN BERSAMA .... AMALAN DI BULAN SYAABAN



Sedar tak sedar kita kini sudah berada pada bulan Syaaban . Masa berlalu dirasakan begitu pantas sekali. Ini juga bermakna umur kita semakin meningkat dan sewajarnya kita sentiasa bermuhasabah iaitu sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita dengan sempurna, dan sudahkah kita bersedia dengan amalan-amalan yang akan dibawa menemui Allah?

Bulan Syaaban menyusul selepas daripada bulan Rejab. Manakala selepas itu, akan datang pula bulan yang mengandungi penuh rahmat iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak.  
Peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa yang berlaku pada tahun kedua hijrah iaitu peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram. Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud:"Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya…"

Selain daripada peristiwa tersebut, sesuatu yang sahih daripada nabi pada bulan Syaaban ini ialah nabi saw memperbanyakkan berpuasa sunat sebagai suatu persediaan menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa:


"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Justeru, daripada hadis-hadis di atas, kita mendapati bahawa nabi saw amat mengambil berat untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Di samping itu, sesiapa yang masih berhutang puasa pada Ramadhan yang sebelumnya seperti wanita yang meninggalkan puasa kerana 'datang bulan', maka inilah waktu yang sesuai untuk mempastikan agar segala 'hutang' dilunaskan sebelum tibanya bulan Ramadhan. Sebagai mencontohi sunnah nabi, kita juga sewajarnya memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban yang mulia ini.

Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan sebagai suatu persediaan untuk memperbanyakkan lagi amalan pada bulan Ramadhan. Antara amalan yang boleh dilakukan selain daripada berpuasa ialah membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berzikir, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim, melakukan amalan kebajikan, memohon keampunan untuk ibu-bapa, memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan sebagainya.

Persoalan seterusnya yang selalu timbul dalam masyarakat kita ialah amalan pada malam nisfu syaaban.   Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi , tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu syaaban, dan semua hadis mengenainya bertaraf dhaif yang tidak boleh diamalkan. Walau bagaimanapun terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu syaaban yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulamak . Hadis tersebut ialah: “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut (sekiranya dianggap sebagai satu kemestian dan wajib seperti ‘mesti’ membaca Yasin sebanyak tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu sempena nisfu syaaban) adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.  Inilah juga pendapat majoriti ulamak seperti Sayyid Sabiq, Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr Abdul Karim Zaidan dan sebagainya.  Oleh yang demikian, kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.
Akan tetapi, ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan tertentu pada malam nisfu syaaban seperti  bacaan Yasin, sebaliknya amalan tersebut  boleh diteruskan, namun    dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya.  Di samping itu, alangkah baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program pengajian ilmu agar pemahaman terhadap ajaran Islam semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru, amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya hendaklah dilaksanakan bukan sahaja pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan tersebut pada bila-bila masa sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan tersebut bertepatan dengan hukum syara', maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbanyakkanlah amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak!
 

Khamis, 28 Jun 2012

PETUA - RAWATAN ISLAM UNTUK SAKIT KEPALA



Artikel bagi ruangan Petua pada hari ini Khamis (28 Jun 2012) telah disediakan oleh Cik Marshila Marzuki bertajuk, "Rawatan Islam Untuk sakit Kepala".

Rabu, 27 Jun 2012

SEKOLAHKU SAYANG…


Alhamdulillah, cuaca yang cerah pada pagi 23 Jun 2012 (Sabtu) yang lalu telah memudahkan Skuad J1M1K untuk menjayakan sesi ‘turun padang’ ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sg. Choh (SEMENCO) sempena Program Sekolahku Sayang anjuran Jabatan Penerangan Negeri Selangor. Cepat betul masa berlalu. Setelah hampir dua tahun kami berkelana ke pelbagai destinasi bagi menjayakan aktiviti J1M1K, akhirnya kami telah kembali ke SEMENCO buat kali ke-2 pada pagi itu. 


Kali pertama kami menjejakkan kaki ke sana adalah pada tahun 2010 yang lalu. Ketika itu kami terlibat secara langsung dalam program yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor sempena Pilihanraya Dun Hulu Selangor. Rasa sedih bertandang jua di hati kerana mengenangkan kenangan bersama arwah Kak Nora (usahawan batik) yang turut bersama-sama KMCS bagi menjayakan aktiviti itu di SEMENCO (semoga arwah Kak Nora ditempatkan bersama orang-orang yang soleh, amin).

Skuad pada hari itu telah diketuai oleh En. Rosman bersama beberapa warga KMCS yang lain seperti A'A, Syida, Kak Ros dan Ina tiba di SEMENCO lebih kurang pada pukul 9.15 pagi dan disambut mesra oleh Cikgu Rosna yang cantik dan manis. Setelah siap bersarapan, kami memulakan tugas untuk memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar yang sudah tidak sabar mahu mencanting batik. Keadaan yang pada awalnya tenang bertukar menjadi ‘gamat’ setelah diserbu oleh pelajar-pelajar yang baru selesai menjalani aktiviti Senam Seni di padang berhampiran.



Berpeluh juga kami melayan lebih daripada 70 peserta yang begitu bersemangat untuk menunjukkan bakat masing-masing. Mereka kelihatan tidak mahu kalah dengan rakan-rakan yang lain. Masing-masing menggunakan daya kreativiti yang tersendiri bagi menghasilkan batik yang menarik. Macam-macam gelagat dan gaya yang dapat kami lihat di sini. Walaupun penat kami tetap gembira. Kami bersurai setelah acara mencanting batik tersebut selesai iaitu pada jam 1.00 tengahari.

SANTAPAN ROHANI - HATI YANG CEDERA



Artikel bagi ruangan Santapan Rohani pada hari ini Rabu (27 Jun 2012) merupakan koleksi dari Bank Artikel KMCS bertajuk, "Hati Yang Cedera".

Selasa, 26 Jun 2012

SEKITAR PROGRAM BESTARI KOMUNITI 1MALAYSIA BESTARI JAYA

Jom kita lihat apa yang Skuad KMCS buat pada hari Sabtu 2 minggu lepas (16 Jun 2012) di Padang Awam Kg. Setia Jaya, Bestari Jaya! Erm.. Ingatkan kami dah tiba di Kelantan sebab tengok begitu ramai yang memakai baju T berwarna merah.. Hehehe bukan gelombang merah rupanya! Tapi penduduk di sini begitu ceria dengan baju serba merah sebagai tanda mengambil bahagian di dalam pelbagai acara yang dipertandingkan di sini.. 

Kedatangan Skuad KMCS pada hari itu tidak lain dan tidak bukan untuk menjayakan aktiviti Interaktif Kraf Mencanting Batik.. Mari kita saksikan pelbagai ragam dan gelagat peserta yang terlibat!









 

MOTIVASI - 6 RAHSIA ORANG BIJAK


Artikel bagi ruangan Motivasi pada hari ini Selasa (26 Jun 2012) telah disumbangkan oleh Bank Artikel KMCS bertajuk, "6 Rahsia Orang Bijak".

Isnin, 25 Jun 2012

I-REKA - REKAAN MANGKUK MODEN



Artikel bagi ruangan I-Reka pada hari ini Isnin (25 Jun 2012) telah disumbangkan oleh Mursyida Md Isa @ Mansor bertajuk, "Rekaan Mangkuk Moden".

Jumaat, 22 Jun 2012

PROMOSI KRAF KERJA KAHWIN 2012



Sedar tak sedar sekejap saja kita sudah berada di penghujung bulan Jun 2012. Seperti biasa, pada bulan Jun dan Julai merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh ramai yang bakal bergelar raja sehari dan bakal menyambut menantu untuk berkunjung ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur bagi memeriahkan Promosi Kerja Kahwin. Pada tahun ini, Promosi Kerja Kahwin 2012 telah bermula pada 20 Jun hingga 2 Julai 2012 dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Macam-macam yang dipamerkan di sana. Jadi, apa tunggu lagi.   Jom! Ramai-ramai kita meriahkan Promosi Kerja Kahwin 2012.

PETUA - MENCUCI HATI


Artikel bagi ruangan Petua pada hari ini Jumaat (22 Jun 2012) telah disumbangkan oleh Cik Amalina binti Rossli bertajuk, "Petua Mencuci Hati oleh Datuk Dr. Hj. Fadzilah Kamsah".

Rabu, 20 Jun 2012

MOTIVASI - 10 CARA MENJADI ORANG KREATIF


Artikel bagi ruangan Motivasi pada hari ini Rabu (20 Jun 2012) telah disediakan oleh Cik Marshila Marzuki bertajuk, "10 Cara Menjadi Orang Kreatif".




Selasa, 12 Jun 2012

I-REKA - REKAAN KASUT KREATIF



Artikel bagi ruangan I-Reka pada hari ini Selasa (12 Jun 2012) telah disediakan oleh Zuridah Zainal Abidin bertajuk, " Rekaan Kasut Kreatif".

Khamis, 7 Jun 2012

PROMOSI KRAF TEKSTIL


        Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (KMCS) sedang menganjurkan Promosi Kraf Tekstil yang bermula pada 7 sehingga 13 Jun 2012. Promosi Kraf ini diadakan di PKNS Shah Alam bermula dari 10.00 Pagi hingga 9.00 malam. Promosi yang bertemakan Kraf Tekstil ini melibatkan penyertaan seramai 24 usahawan yang terdiri dari bidang kraf tekstil, logam dan aneka kraf. Orang ramai adalah dijemput hadir bagi memeriahkan lagi Promosi Kraf Tekstil di PKNS Shah Alam.

Isnin, 4 Jun 2012

TAHNIAH YUHANES ABDULLAH


Pada 31 Mei 2012, Yuhanes Abdullah telah selamat melahirkan cahayamata lelaki di Hospital Besar Kuala Lumpur. Warga KMCS mengucapkan tahniah diatas kelahiran cahayamata kedua yang diberi nama Muhammad Aish Danish Bin Norfaizal, semoga Anes dan keluarga berada dalam keadaan sihat dan dilimpahi rahmat dari Allah S.W.T.