Rabu, 27 Jun 2012

SEKOLAHKU SAYANG…


Alhamdulillah, cuaca yang cerah pada pagi 23 Jun 2012 (Sabtu) yang lalu telah memudahkan Skuad J1M1K untuk menjayakan sesi ‘turun padang’ ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sg. Choh (SEMENCO) sempena Program Sekolahku Sayang anjuran Jabatan Penerangan Negeri Selangor. Cepat betul masa berlalu. Setelah hampir dua tahun kami berkelana ke pelbagai destinasi bagi menjayakan aktiviti J1M1K, akhirnya kami telah kembali ke SEMENCO buat kali ke-2 pada pagi itu. 


Kali pertama kami menjejakkan kaki ke sana adalah pada tahun 2010 yang lalu. Ketika itu kami terlibat secara langsung dalam program yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor sempena Pilihanraya Dun Hulu Selangor. Rasa sedih bertandang jua di hati kerana mengenangkan kenangan bersama arwah Kak Nora (usahawan batik) yang turut bersama-sama KMCS bagi menjayakan aktiviti itu di SEMENCO (semoga arwah Kak Nora ditempatkan bersama orang-orang yang soleh, amin).

Skuad pada hari itu telah diketuai oleh En. Rosman bersama beberapa warga KMCS yang lain seperti A'A, Syida, Kak Ros dan Ina tiba di SEMENCO lebih kurang pada pukul 9.15 pagi dan disambut mesra oleh Cikgu Rosna yang cantik dan manis. Setelah siap bersarapan, kami memulakan tugas untuk memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar yang sudah tidak sabar mahu mencanting batik. Keadaan yang pada awalnya tenang bertukar menjadi ‘gamat’ setelah diserbu oleh pelajar-pelajar yang baru selesai menjalani aktiviti Senam Seni di padang berhampiran.



Berpeluh juga kami melayan lebih daripada 70 peserta yang begitu bersemangat untuk menunjukkan bakat masing-masing. Mereka kelihatan tidak mahu kalah dengan rakan-rakan yang lain. Masing-masing menggunakan daya kreativiti yang tersendiri bagi menghasilkan batik yang menarik. Macam-macam gelagat dan gaya yang dapat kami lihat di sini. Walaupun penat kami tetap gembira. Kami bersurai setelah acara mencanting batik tersebut selesai iaitu pada jam 1.00 tengahari.

Tiada ulasan:

Catat Komen