Jumaat, 29 Julai 2011

SANTAPAN ROHANI - HIDAYAH DAN TAUFIQ

Artikel bagi ruangan Santapan Rohani pada hari ini ,Jumaat (29 Julai 2011) telah disumbangkan oleh Encik Syahrul Hakimi bin Setapa bertajuk, "Hidayah dan Taufiq".

Khamis, 28 Julai 2011

TERUJA DENGAN KEBOLEHAN SENDIRI




(klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas)

Dari jauh sudah kedengaran alunan bunyi kompang yang dimainkan oleh murid-murid di Sekolah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya. Wah, begitu rapi persiapan yang lakukan oleh pihak sekolah ini bagi menerima kunjungan hormat perwakilan Majlis Bandaran Hioki City, Jepun. Jika sebelum ini skuad J1M1K telah turun padang ke sekolah ini bagi aktiviti mencanting batik, namun pada kali ini kami telah dijemput lagi untuk menyelaras aktiviti yang sama bagi dipersembahkan kepada delegasi Jepun yang datang.

Lebih kurang pada pukul 2.00 petang (27 Julai 2011), rombongan ini tiba di perkarangan SK Seafield dan telah diiringi oleh pegawai khas yang bertanggungjawab menyelaras kunjungan mereka ke negara ini dan beberapa jurubahasa telah disambut mesra oleh Guru Besar, Yang Di Pertua (YDP) PIBG SK Seafield, beberapa YDP PIBG sekolah berhampiran, guru-guru dan murid-murid sekolah ini. Deretan murid-murid yang mengibarkan bendera Jepun telah bersiap sedia berbaris di kiri dan kanan laluan. Rombongan ini telah dipersembahkan dengan pertunjukkan silat dan seterusnya sesi bergambar. Kemudiaannya, mereka di bawa ke perkarangan Dewan Harmoni untuk menyertai permainan sepak raga bulatan. Wah, sungguh tidak di sangka mereka juga tahu bermain sepak raga bulatan ini.

Kini, tibalah masa yang dinanti-nantikan oleh kami, skuad J1M1K. Hehehe… Sesi tunjuk bakat… Pada awalnya agak sukar untuk berkomunikasi namun dengan bantuan jurubahasa, semuanya terkawal dan berlangsung dengan baik. Walaupun baru saja diperkenalkan dengan batik ini namun mereka cepat belajar. Hasilnya amat membanggakan. Mereka sendiri kelihatan begitu seronok dan teruja dengan kebolehan mereka dalam mencanting dan mewarna batik. Ada yang siap bergambar dengan karya sendiri. Sementara menantikan batik ini kering, mereka telah dijemput ke dalam dewan bagi sesi ucapan, penyampaian cenderamata, persembahan tarian dan tayangan multimedia serta seterusnya jamuan makan.

Bagi kami, Skuad J1M1K amat gembira menyambut kedatangan mereka dan berpuas hati kerana dengan tunjuk ajar diberikan telah membuahkan hasil yang membuatkan mereka gembira dan sekaligus dapat memperkenalkan seni mencanting batik kepada negara luar. Alhamdulillah, walaupun menghadapi beberapa kesukaran, namun segalanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

I-REKA - REKAAN LANSKAP MENARIK

Artikel dan gambar bagi ruangan I-Reka pada hari ini, Khamis (28 Julai 2011) merupakan koleksi info dari Bank Artikel, bertajuk "Rekaan Lanskap Menarik". Jom kita lihat apa yang menarik.

Rabu, 27 Julai 2011

RENUNGAN BERSAMA...

Perkataan yang cantik – ALLAH

Lagu yang merdu – AZAN

Novel yang menarik – AL-QURAN

Senaman yang baik – SOLAT

Diet yang mujarab – PUASA



"Jika ALLAH S.W.T memakbulkan doamu, maka Allah meneguhkan kepercayaanmu kepada-Nya",


"Jika ALLAH S.W.T menangguhkan doamu, maka ALLAH menguji kesabaranmu",

Jika ALLAH S.W.T TIDAK MEMAKBULKAN doamu, maka ALLAH telah merancang sesuatu yang lebih baik buatmu".


Sumber - http://www.loveloveislam.com

MOTIVASI - IKTIBAR SEBUAH KEHIDUPAN

Artikel bagi ruangan Motivasi pada hari ini, Rabu (27 Julai 2011) telah disumbangkan oleh Mursyida Md Isa @ Mansor, bertajuk "Iktibar Sebuah Kehidupan".

Selasa, 26 Julai 2011

MAJLIS PERSARAAN ENCIK AMERUS DAN PUAN HAJAH SOKDAH

Pada hari Rabu, 20 Julai 2011 yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Persaraan Encik Amerus bin Che Onn dan Puan Hajah Sokdah binti Junus, bertempat di Bilik Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan Seri Utama , Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Encik Amerus merupakan Pegawai Ehwal Ekonomi di Bahagian Strategik Korporat telah bersara wajib pada tanggal 20 Julai 2011 manakala Puan Hajah Sokdah pula telah bersara pilihan pada 26 Jun 2011.

Jom kita baca apa ucapan yang telah disampaikan oleh Puan Hajah Sokdah pada majlis tersebut:

Bismilahirrahmanirahim

Yang Berusaha Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Encik Ramli bin Mohd Noor, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor, Puan Ruslah Binti Khalid, Pengarah-pengarah Bahagian dan semua sahabat handai sekalian.

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah hari baik bulan baik ini, saya mengambil peluang untuk menyampaikan sedikit renungan dan coretan hidup sepanjang perkhidmatan saya di Kraftangan Malaysia ini.

- Saya bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala, kerana sekian lama saya telah berkhidmat di Kraftangan Malaysia bermula dari tahun 1974 sehingga 2011 iaitu selama 37 tahun sehinggalah saya menamatkan perkhidmatan terakhir ini di Perbadanan Kraftangan Malaysia ini juga di mana penempatan terakhir saya adalah di Cawangan Selangor. Tidak menyangka juga saya dapat menamatkannya dengan pelbagai rintangan, suka duka, pahit manis dan berbagai jenis rasa lagi. Saya tidak pernah 'tidak', apa saja kerja yang mendatang semuanya boleh.

- Perasaan kasih sayang serta semangat kekitaan ini memang amat mendalam di sanubari ini terhadap rakan-rakan seperjuangan dan persekitaran tempat kerja.

- Mencintai kerja yang dibuat secara terbuka dan ikhlas serta hubungan kerja antara satu sama lain, membuatkan diri ini merasai ia amat diperlukan serta dapat mencapai matlamat yang ditetapkan.

- Sikap memberi kerjasama sesama kita telah menjadi sifat semula jadi saya antara rakan seperjuangan dan juga boleh memberi sedikit pendapat atau pandangan jika ia diperlukan.

- Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada PKKM kerana saya dapat menjalankan perkhidmatan ini hingga ke akhirnya dan saya mohon ampun dan maaf atas keterlanjuran kata yang tidak disedari oleh saya sepanjang perkhidmatan ini.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang diri saya sepanjang saya berada di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Latar Belakang Perkhidmatan:

1. Mula berkhidmat dengan Kraftangan pada tahun 1974 dengan nama Lembaga Kraftangan Malaysia, bertempat di Lorong Medan Tunku, Jalan Tuanku Abd. Rahman dengan menyewa rumah kedai 2 tingkat.

2. Mempunyai hanya 12 orang anggota kerja sahaja pada ketika itu.

3. Seramai 6 orang anggota kerja yang datangnya daripada MARA untuk memulakan pengurusannya di Kraftangan Malaysia.

4. Selebihnya diambil sendiri oleh Kraftangan melalui iklan di akhbar.

5. Segala tunjuk ajar berkaitan dengan kerja-kerja pejabat diajar oleh Ketua Kerani daripada MARA yang dikenali dengan nama Pak Wan (Musa Awang).

6. Lama-kelamaan terdapat penambahan anggota kerja yang baru dan aktiviti-aktiviti pembangunan dijalankan sedikit demi sedikit.

7. Awal tahun 80-an pejabat Kraftangan telah berpindah ke Wisma Kraftangan di Wisma Batik, Jalan Tun Perak.

8. Pada tahun 1987, Kraftangan Cawangan Selangor ditubuhkan dengan mempunyai 2 anggota kerja sahaja yang bertugas dan bertempat di Wisma Kraftangan.

9. Pengarah pada masa itu ialah En. Abdullah bin Mohd. Nor.

10. Lebih kurang 3 bulan Pengarah baru dilantik di Cawangan Selangor iaitu Encik Nor Ismail bin Md. Som. Berkhidmat bersamanya lebih kurang 3 tahun dengan mempunyai 5 anggota kerja.

11. Selepas itu, Pengarah bertukar lagi iaitu dan Pengarah baru pada masa itu adalah En. Kamalruzaman Mera Husin.

12. Lebih kurang 1 tahun, bertukar lagi Pengarah iaitu En. Shahrudin Md. Nor.

13. Bekerja bersama dengan En.Shahrudin Md. Nor selama lebih kurang 3 tahun.

14. Pada masa itu Cawangan Selangor bertempat di Institut Kraf Negara di Rawang.

15. Kemudian bertukar pula Pengarah baru iaitu En. Abdul Hanif Mohd. Noor selama lebih kurang 2 tahun sehingga Cawangan Selangor ditutup atas arahan pihak atasan.

16. Saya pun berpindah pula ke Ibu Pejabat dan ditempatkan di Bahagian PR selama 2 tahun dan pentadbiran lebih kurang 3 tahun.

17. Kemudian Cawangan Selangor dibuka semula pada tahun 2003 bertempat di Bangunan Dagangan UMNO Shah Alam dengan hanya 2 orang anggota kerja sahaja iaitu Pengarah dan saya.

18. Pada masa itu, Pengarahnya adalah En.Muhammad Ali bin Mad Jais dan ditambah seorang lagi Penolong Pegawai (En. Mohd. Irwan Mohamad Jamil).

19. Penambahan anggota kerja dilakukan dari semasa ke semasa sehinggalah ke akhir tahun 2010, Cawangan Selangor telah dipindahkan semula ke Institut Kraf Negara, Rawang.

20. Perkhidmatan ini diperlukan sehinggalah ke bulan Jun 2011 dengan berkhidmat di Perbadanan Kraftangan Malaysia selama 37 tahun dan atas pilihan sendiri saya memilih pencen pilihan.

21. Saya mengambil peluang ini menasihati rakan-rakan semua agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik serta bersikap jujur atas kerja-kerja yang perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

Akhir kata, dengan perasaan kasih dan sayang terhadap Kraftangan ini saya ingin mengundurkan diri dengan iringan doa semoga mencapai kejayaan dan menambat hati semua golongan masyarakat agar mencintai barang-barang kraf yang dihasilkan oleh Kraftangan Malaysia.

Sekian, salam sayang kepada semua warga Kraftangan Malaysia. Terima kasih.

Assalamualaikum w.b.t.

(Teks ini telah diedit bagi kesesuaian ayat.)

PETUA - TIPS SEPANJANG BULAN RAMADHAN

Artikel bagi ruangan Petua pada hari ini Selasa (26 Julai 2011), telah disumbangkan oleh Encik Mohd Fathul Muin bin Mohd Hafid, bertajuk "Tips Sepanjang Bulan Ramadhan".

Isnin, 25 Julai 2011

SANTAPAN ROHANI:KISAH KETAQWAAN 4 SAHABAT UTAMA RASULULLAH

Artikel bagi ruangan Santapan Rohani pada hari ini, 25 Julai 2011 (Isnin) adalah bertajuk, "KISAH KETAQWAAN 4 SAHABAT UTAMA RASULULLAH".

BERTAMU DI KERLING

persiapan sebelum program


(klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas)

Jika pada tahun lepas kami telah menjelajah hampir enam kawasan di bawah DUN Hulu Selangor bagi menyertai Program Merakyatkan Seni dan Budaya (PMS) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor (JKKN), pada tahun ini sekali lagi kami telah di jemput ke DUN Hulu Selangorbagi memeriahkan Program Semarak Bestari 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Negeri Selangor.

Seawal jam 7.40 pagi kami telah bertolak ke Kerling kerana program dijadualkan bermula pada jam 9.00 pagi. Pada kali ini kami telah dijemput bagi mengadakan demonstrasi dan interaktif kraf seramik dan mencanting batik. Suasana yang pada awalnya tenang, bertukar menjadi gamat apabila kami diserbu oleh peminat-peminat kraf yang ingin melihat dan mempelajari menghasilkan produk seramik dan mencanting batik. Tak menang tangan kami melayannya, namun segalanya dapat diuruskan dengan baik oleh kami. Shila, Sri, Akmal dan saya terpaksa bergilir-gilir makan kerana tidak sempat rehat dek kerana mereka tidak sabar-sabar menanti giliran untuk menunjukkan bakat terpendam masing-masing.

Sungguh tidak disangka, hasil seni yang dihasilkan amat menarik perhatian kami. Walaupun baru belajar, namun mereka begitu kreatif dan berbakat. Tahniah adik-adikku, umur panjang kita jumpa lagi, insya-Allah.

Jumaat, 22 Julai 2011

SERBUAN HANGAT DI KELAB DARUL EHSAN, AMPANG

(klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas)

Pada 16 Julai 2011 yang lalu, KMCS telah menyertai Program Merakyatkan Seni di Kelab Darul Ehsan (KDE), Ampang yang telah dianjurkan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Selangor. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan pada hari tersebut seperti senam seni, walkaton, face painting, demonstrasi seramik dan lain-lain. Peserta di khemah pameran kebanyakannya terdiri daripada agensi-agensi yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

KMCS juga tidak ketinggalan untuk turut serta dan kami telah mengadakan aktiviti demonstrasi seramik. Wah, sambutan yang diterima di luar jangkaan. Khemah KMCS telah mendapat serbuan hebat daripada peminat cilik kraf. Hehehe... Macam lagu “Terhangat di Pasaran!!!”

Hmm… Pelbagai aksi dan kerenah yang dapat dilihat, namun amat menggembirakan. Berbaloi-baloi…. Kecil-kecil cili api… Itulah yang dapat digambarkan terhadap mereka yang berbakat dalam bidang kraf. Walaupun usia mereka masih muda, namun kebanyakannya amat berbakat dan kreatif dalam membuat kraf seramik. Dengan sedikit tunjuk ajar, namun, masing-masing cepat belajar…. Harapan kami agar ilmu yang curahkan mendapat manfaat kepada mereka di masa akan datang. Insya-Allah.


(klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas)

SEKITAR MAJLIS PERASMIAN PUSAT PERKAMPUNGAN BUDAYA ORANG ASLI MAH MERI PULAU CAREY



Pada 18 Julai lalu, telah berlangsungnya Majlis Perasmian Pusat Perkampungan Budaya Orang Asli Mah Meri bertempat di Kampung Sungai Bumbun , Pulau Carey. Majlis selamat disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Majlis turut melibatkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Untuk makluman, perkampungan Budaya Orang Asli Mah Meri berkeluasan tapak 1.85 ekar dimana projek pembinaan telah bermula pada 13 November 2009 dan siap keseluruhan pembinaanya pada 31 Mac 2011.

Majlis Perasmian turut menyaksikan kehadiran Timbalan Menteri KPKK, YB Dato’ Joseph Salang Gandum, Ketua Setiausaha KPKK YBHG. Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf dan Ketua-ketua agensi di bawah KPKK juga turut hadir dalam memeriahkan majlis tersebut.

Sehubungan dengan itu, KMCS dengan kerjasama Bahagian Usahawan, Ibu Pejabat telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras aktiviti demonstrasi kraf Orang Asli Mah Meri. Demonstrasi kraf yang diadakan adalah ukiran kayu patung dan topeng kaum Mah Meri oleh Pion Anak Bumbong, A.Samri A/L Abdul Rahman, Kemi Bin Khamis dan Nohiman Bin Belon. Manakala demonstrasi anyaman pandan mengkuang dan origami oleh Tijah Anak Tegap dan Rita Anak Uju.

Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli iaitu tarian sewang dan topeng oleh Kumpulan Jo’oh dan Kanak-kanak Tunas Harapan. Acara kemuncak dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan seterusnya upacara menandatangani plak perasmian dan menanam pokok Nyirih Batu sebagai tanda simbolik perasmian sebelum diakhiri dengan lawatan YB Menteri ke Bangunan Pusat Budaya.















SKUAD J1M1K KE SEK. KEB. SEAFIELD



Bagi pengikut-pengikut blog KMCS pasti pernah membaca artikel berkaitan program J1M1K sebelum ini kan? Program J1M1K yang telah dilancarkan pada 8 Julai 2011 yang lalu oleh Y.A.B. Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi merupakan sekolah pertama yang dipilih bagi memulakan jelajah KMCS dalam dalam melahirkan pelajar yang lebih kreatif dan celik kraf.

Program “Jelajah 1 Murid 1 Kraf” atau singkatannya J1M1K telah memulakan ‘jelajahnya’ ke sekolah-sekolah dan sekolah kedua yang terpilih adalah Sekolah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya. Skuad J1M1K yang terdiri daripada anggota kerja KMCS seramai empat orang telah turun padang pada 20 Julai yang lalu bagi memberi pendedahan mencanting batik kepada pelajar-pelajar di sekolah ini. Seramai 57 orang murid dan guru yang telah menyertai aktiviti ini dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

Aktiviti ini juga diadakan sebagai persediaan awal kepada pelajar di sekolah ini bagi menyambut kedatangan delegasi daripada Negara Jepun pada 27 Julai nanti.
Wah, walaupun ramai yang belum pernah mencuba sendiri untuk mencanting batik, namun komitmen dan kesabaran mereka telah membuahkan hasil yang menarik. Tahniah adik-adik dari Sekolah Kebangsaan Seafield. Kita jumpa lagi pada 27 Julai nanti. Tungguuuu……


TAZKIRAH MINGGUAN - BUKAN DARI GOLONGAN KAMI.. YANG TIDAK MENGGUNTING MISAI




Assalamualaikum dan Salam Ukhwah.

Pada kebiasaanya, Sesi Tazkirah akan menyusul selepas selesai bacaan Yasin. Jika pada minggu lepas kita telah mengikuti Hadith 11 yang telah dipetik dari buku BUKAN DARI GOLONGANKU… Himpunan Ustaz Kamal Ashaari dan Nafisah Binti Hj. Md. Tahir cetakan pertama Ogos 2007, jadi, marilah kita sama-sama menghayati dengan penuh tawadhuk maksud hadith 12 minggu ini, "Bukan Dari Golongan Kami… Yang Tidak Menggunting Misai" yang telah dimuatkan di ruangan Tazkirah Mingguan. Semoga kita semua terhindar daripada menjadi orang bukan daripada golongan Nabi Muhammad s.a.w, Nauzubillah!

I-REKA - SENI ANYAMAN KELARAI

Artikel bagi ruangan I-Reka pada hari ini, Jumaat (22 Julai 2011), telah disumbangkan oleh Cik Zuridah binti Zainal Abidin bertajuk "Seni Anyaman Kelarai" .


Khamis, 21 Julai 2011

MOTIVASI - MENGAPA PERLU JADI MENARIK?

Artikel bagi ruangan Motivasi hari ini Khamis (21 Julai 2011), disumbangkan oleh Noor Iza Kassim bertajuk "Mengapa perlu jadi menarik?".

SEKITAR PROGRAM “JELAJAH 1MURID 1KRAF (J1M1K)"





Kami diserbu para pencinta Kraf!






Gelagat staf KMCS!





Bersama orang-orang penting Kementerian Pelajaran Malaysia




Terima Kasih Semua!

Rabu, 20 Julai 2011

PETUA "AWET MUDA" CARA ISLAM

Artikel bagi ruangan Petua pada hari ini, Khamis (20 Julai 2011), telah disumbangkan oleh Puan Zailah binti Zaid bertajuk, "AWET MUDA' cara Islam".

Selasa, 19 Julai 2011

SANTAPAN ROHANI - 10 PERANGKAP SYAITAN

Artikel bagi ruangan Santapan Rohani pada hari ini, 19 Julai 2011 (Selasa), telah disumbangkan oleh Puan Yuhanes binti Abdullah bertajuk, "10 Perangkap Syaitan".

Isnin, 18 Julai 2011

I-REKA - RUMAH MODEN

Artikel bagi ruangan I-Reka pada hari ini, Isnin (18 Julai 2011), merupakan sumbangan daripada Puan Nawwar Hidayah bt Di Nek Kamal yang bertajuk 'Rekaan rumah moden'.

Khamis, 14 Julai 2011

PETUA MENGELAKKAN LABU SAYONG MENYERAP AIR

Artikel bagi ruangan Petua pada hari ini, Khamis (14 Julai 2011), telah disumbangkan oleh Puan Rosmawati binti Zubir bertajuk, "Petua Mengelakkan Labu Sayong Menyerap Air".

Rabu, 13 Julai 2011

HARI BERTEMU PELANGGAN KRAFTANGAN MALAYSIA


Pada tanggal 12 Julai yang lalu, telah berlangsungnya Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia (HBP) bertempat di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur. HBP ini diadakan bagi mendapatkan maklum balas daripada usahawan kraf berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kraftangan Malaysia di samping mendapatkan cadangan bagi mengambil langkah-langkah penambahbaikan serta peningkatan mutu perkhidmatan Kraftangan Malaysia.

Ini merupakan kali yang ke-2, Kraftangan Malaysia menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan dan ia diadakan secara serentak di seluruh cawangan negeri kecuali negeri Sarawak. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Ramli bin Mohd Noor, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia. Turut hadir bersama bagi memeriahkan HBP ini adalah Pengarah KMCS dan Pengarah-Pengarah Bahagian Ibu Pejabat.

Penganjuran HBP di Kompleks Kraf ini telah mengumpulkan usahawan-usahawan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan sebagai usaha Kraftangan untuk mewujudkan hubungan yang baik dan mesra di samping memberi peluang kepada para usahawan untuk mengemukakan cadangan untuk kebaikan semua pihak.

Melalui HBP ini juga, Kraftangan Malaysia dapat berhubung secara terus bersama usahawan dan banyak permasalahan yang dihadapi oleh usahawan dapat dikemukan kepada Kraftangan Malaysia supaya dapat ditangani bersama.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah diadakan semasa HBP tersebut adalah:
1. Taklimat Korporat oleh Pengarah Negeri
2. Sesi Dialog bersama Usahawan Kraf
3. Kaunter Helpdesk
4. Kempen Penggunaan Laman Web Kraftangan Malaysia

Kami, warga KMCS mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada usahawan yang telah sudi meluangkan masa menghadiri Hari Bertemu Pelanggan ini dan berharap agar ikatan yang terjalin ini akan terus berkekalan, insya-Allah.

SANTAPAN ROHANI - ANTARA DOA YANG DIMAKBULKAN

Artikel bagi ruangan Santapan Rohani pada hari ini Rabu (13 Julai 2011) telah disumbangkan oleh Cik Amalina Bt Rossli bertajuk, "Antara Doa Yang Dimakbulkan".

TAHNIAH KEPADA PUAN PENGARAH KMCS..



Kami, warga KMCS mengucapkan tahniah kepada Puan Ruslah binti Khalid kerana telah menerima Anugerah Perkhidmatan 25 Tahun pada 23 Jun 2011 yang lalu. Majlis penyampaian anugerah ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia iaitu Yang Berbahagia Encik Mohd Kamil bin Mohd Ali. Kami mendoakan agar puan dapat melaksanakan tugas seharian dengan dedikasi dan diberikan kesihatan yang baik. Amin...



Isnin, 11 Julai 2011

PELANCARAN PROGRAM ‘J1M1K’ OLEH TIMBALAN PERDANA MENTERI





Pada hari Jumaat yang lalu (8 Julai 2011), telah berlangsungnya aktiviti pendidikan kraf mencanting dan mewarna batik “Jelajah 1Murid 1Kraf” bertempat di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor sempena Majlis Pelancaran Buku Panduan dan Peraturan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) untuk Penambahbaikan UPSR dan PMR mulai Tahun 1 pada 2011 dan Tingkatan 1 pada 2012. Seramai 3,000 orang jemputan telah hadir ke majlis yang telah dirasmikan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.

Program yang dinamakan “Jelajah 1Murid 1Kraf” atau singkatannya ‘J1M1K’ ini merupakan usaha proaktif yang diambil oleh Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (KMCS) bagi memupuk minat generasi muda terhadap kraf dan menyediakan tenaga pelapis bagi meneruskan kesinambungan perusahaan kraf ke peringkat yang lebih tinggi. Program ini juga untuk menarik minat murid terhadap kraf bermula daripada peringkat awal.

J1M1K beraspirasi/ bermatlamat untuk:

  • Membantu murid mengenali dan mencintai seni kraf sebagai seni budaya warisan negara;
  • Membantu Kementerian Pelajaran Malaysia dan sekolah dalam menjadikan kraf sebagai subjek kemahiran yang dipelajari oleh semua murid sekolah rendah;
  • Menbantu memberi pendedahan awal supaya murid dapat memilih kraf sebagai topik kerja kursus di peringkat sekolah menengah serta;
  • Membantu memupuk minat murid untuk memilih kraf sebagai bidang potensi kerjaya.

Seramai lebih daripada 870 orang peserta telah terlibat dalam aktiviti mencanting dan mewarna batik ini termasuk guru dan murid daripada pelbagai sekolah yang terlibat. Syukur Alhamdulillah, J1M1K ini telah dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pada hari berkenaan semasa lawatan beliau ke tapak aktiviti KMCS. Maka, dengan itu, telah terlancarnya J1M1K dan program ini telah bermula di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dan akan diteruskan ke sekolah-sekolah di dearah lain khususnya di negeri Selangor dan Kuala Lumpur sebagai titik permulaan bagi KMCS dalam melahirkan pelajar yang lebih kreatif dan celik kraf. Kumpulan inilah merupakan kumpulan pelapis untuk mewarisi kemahiran dan seterusnya menggerakkan usaha-usaha pemuliharaan kraf.

KMCS berharap agar program ini akan memberi impak yang besar dalam meningkatkan nisbah murid untuk mengambil topik kraf dalam kerja kursus yang ditawarkan pada setiap tahun dan mampu menjadikan pendidikan kraf ini sebagai satu bidang kebitaraan (niche area) dan penanda aras bagi peluasan pelaksanaan di peringkat negeri. Insya-Allah. Kerjasama dengan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor/Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan perlu kami perkukuhkan. Insya-Allah, kami berdoa segalanya akan dipermudahkan-Nya.