Khamis, 28 Julai 2011

TERUJA DENGAN KEBOLEHAN SENDIRI




(klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas)

Dari jauh sudah kedengaran alunan bunyi kompang yang dimainkan oleh murid-murid di Sekolah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya. Wah, begitu rapi persiapan yang lakukan oleh pihak sekolah ini bagi menerima kunjungan hormat perwakilan Majlis Bandaran Hioki City, Jepun. Jika sebelum ini skuad J1M1K telah turun padang ke sekolah ini bagi aktiviti mencanting batik, namun pada kali ini kami telah dijemput lagi untuk menyelaras aktiviti yang sama bagi dipersembahkan kepada delegasi Jepun yang datang.

Lebih kurang pada pukul 2.00 petang (27 Julai 2011), rombongan ini tiba di perkarangan SK Seafield dan telah diiringi oleh pegawai khas yang bertanggungjawab menyelaras kunjungan mereka ke negara ini dan beberapa jurubahasa telah disambut mesra oleh Guru Besar, Yang Di Pertua (YDP) PIBG SK Seafield, beberapa YDP PIBG sekolah berhampiran, guru-guru dan murid-murid sekolah ini. Deretan murid-murid yang mengibarkan bendera Jepun telah bersiap sedia berbaris di kiri dan kanan laluan. Rombongan ini telah dipersembahkan dengan pertunjukkan silat dan seterusnya sesi bergambar. Kemudiaannya, mereka di bawa ke perkarangan Dewan Harmoni untuk menyertai permainan sepak raga bulatan. Wah, sungguh tidak di sangka mereka juga tahu bermain sepak raga bulatan ini.

Kini, tibalah masa yang dinanti-nantikan oleh kami, skuad J1M1K. Hehehe… Sesi tunjuk bakat… Pada awalnya agak sukar untuk berkomunikasi namun dengan bantuan jurubahasa, semuanya terkawal dan berlangsung dengan baik. Walaupun baru saja diperkenalkan dengan batik ini namun mereka cepat belajar. Hasilnya amat membanggakan. Mereka sendiri kelihatan begitu seronok dan teruja dengan kebolehan mereka dalam mencanting dan mewarna batik. Ada yang siap bergambar dengan karya sendiri. Sementara menantikan batik ini kering, mereka telah dijemput ke dalam dewan bagi sesi ucapan, penyampaian cenderamata, persembahan tarian dan tayangan multimedia serta seterusnya jamuan makan.

Bagi kami, Skuad J1M1K amat gembira menyambut kedatangan mereka dan berpuas hati kerana dengan tunjuk ajar diberikan telah membuahkan hasil yang membuatkan mereka gembira dan sekaligus dapat memperkenalkan seni mencanting batik kepada negara luar. Alhamdulillah, walaupun menghadapi beberapa kesukaran, namun segalanya dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Komen