Jumaat, 22 Julai 2011

SEKITAR MAJLIS PERASMIAN PUSAT PERKAMPUNGAN BUDAYA ORANG ASLI MAH MERI PULAU CAREY



Pada 18 Julai lalu, telah berlangsungnya Majlis Perasmian Pusat Perkampungan Budaya Orang Asli Mah Meri bertempat di Kampung Sungai Bumbun , Pulau Carey. Majlis selamat disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Majlis turut melibatkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Untuk makluman, perkampungan Budaya Orang Asli Mah Meri berkeluasan tapak 1.85 ekar dimana projek pembinaan telah bermula pada 13 November 2009 dan siap keseluruhan pembinaanya pada 31 Mac 2011.

Majlis Perasmian turut menyaksikan kehadiran Timbalan Menteri KPKK, YB Dato’ Joseph Salang Gandum, Ketua Setiausaha KPKK YBHG. Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf dan Ketua-ketua agensi di bawah KPKK juga turut hadir dalam memeriahkan majlis tersebut.

Sehubungan dengan itu, KMCS dengan kerjasama Bahagian Usahawan, Ibu Pejabat telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras aktiviti demonstrasi kraf Orang Asli Mah Meri. Demonstrasi kraf yang diadakan adalah ukiran kayu patung dan topeng kaum Mah Meri oleh Pion Anak Bumbong, A.Samri A/L Abdul Rahman, Kemi Bin Khamis dan Nohiman Bin Belon. Manakala demonstrasi anyaman pandan mengkuang dan origami oleh Tijah Anak Tegap dan Rita Anak Uju.

Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli iaitu tarian sewang dan topeng oleh Kumpulan Jo’oh dan Kanak-kanak Tunas Harapan. Acara kemuncak dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan seterusnya upacara menandatangani plak perasmian dan menanam pokok Nyirih Batu sebagai tanda simbolik perasmian sebelum diakhiri dengan lawatan YB Menteri ke Bangunan Pusat Budaya.















Tiada ulasan:

Catat Ulasan