Jumaat, 1 Julai 2011

CORETAN SEBUAH PERPISAHAN




Sedih, pilu, sebak dan segala macam perasaan yang menyelubungi kami, warga KMCS ketika berlangsungnya Majlis Perpisahan Puan Hajah Sokdah binti Junus (Kak Odah) pada hari Jumaat (24 Jun 2011) yang lalu. Walaupun, rata-rata di kalangan kami masih baru mengenali Kak Odah, namun kami tidak dapat menahan sebak di dada tak kala diberi peluang untuk memberikan ucapan perpisahan. Ramai yang mengalirkan air mata kesedihan dan tidak dapat meluahkan kata-kata. Walaupun, terpendam di sudut hati namun, Kak Odah akan sentiasa di hati kami.




Bermula pada awal pagi, Kak Odah telah kami ‘quarantine’ di dalam pejabat dan tidak dibenarkan menjenguk segala persiapan yang kami ingin lakukan. Kasihan Kak Odah. Mati kutu dibuatnya. Serba-serbi rasa tak kena apabila ‘pantry’ yang selama ini menjadi tempat kesukaan Kak Odah terpaksa kami kawal dan tidak membenarkan dia masuk ke sana. Selama beberapa hari kami terpaksa ‘mengunci’ mulut agar tidak terlepas kata demi ingin membuat kejutan tentang majlis ini. Walaupun, kerap ‘diasak’ oleh Kak Odah bertanyakan apa yang akan berlaku kerana ada beberapa persiapan awal telah dibuat, namun kami hanya mengatakan ‘tak tahu la kak…”. Huhuhu… Minta Maaf banyak-banyak ye Kak Odah. Bukan kami sengaja hendak berahsia. Alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan segala urusan kami pada hari tersebut.




Akhirnya, lebih kurang pada pukul 3.00 petang, segala rahsia mula terbongkar. Puan Ruslah dan Kak Ila telah menjemput dan mengiringi Kak Odah ke Bilik Mesyuarat kerana kami semua telah menanti di sana. En. Dan selaku Pengerusi Majlis telah memulakan majlis dengan menjemput En. Muin bagi membacakan doa. Majlis telah diserikan dengan kehadiran Shafiq yang telah berpindah ke Ibu Pejabat pada bulan Mac yang lalu. Ucapan perpisahan telah dimulakan oleh Puan Pengarah dan disusuli dengan ucapan Puan Ila (Timbalan Pengarah). Wah, awal-awal lagi air mata sudah sukar dibendung. Air mata ini kian laju mengalir apabila mendengar ucapan yang disampaikan oleh Kak Odah (teks ucapan telah disiarkan pada entri sebelum ini).




Majlis ini turut diserikan dengan majlis penyampaian cenderahati, tayangan multimedia, solat Asar berjemaah dan semestinya ada jamuan makan. Erm.. Sedap betul rendang ayam yang Puan Sue kita masak. Rugi siapa yang tak rasa! Majlis ini turut digabungkan dengan sambutan hari lahir Cik Sri (2 Jun) dan Kak Odah (26 Jun).




Biarpun, majlis ini ringkas dan tidak seberapa, namun kerjasama daripada semua warga KMCS dalam menjayakan majlis ini amatlah dipuji dan diucapkan jutaan terima kasih. Syukur, Alhamdulillah, semoga majlis kami ini diberkati dan kami mendoakan agar pengorbanan Kak Odah sepanjang berkhidmat di Kraftangan Malaysia dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah s.w.t, insya-Allah. Salam sayang daripada kami warga KMCS buat Kak Odah. Kami amat mengalu-alukan dan menantikan kedatangan Kak Odah ke KMCS sekiranya ada masa terluang. “Selamat Bersara dan Selamat Maju Jaya Kak Odah”.







Tiada ulasan:

Catat Komen