Selasa, 26 Julai 2011

MAJLIS PERSARAAN ENCIK AMERUS DAN PUAN HAJAH SOKDAH

Pada hari Rabu, 20 Julai 2011 yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Persaraan Encik Amerus bin Che Onn dan Puan Hajah Sokdah binti Junus, bertempat di Bilik Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan Seri Utama , Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Encik Amerus merupakan Pegawai Ehwal Ekonomi di Bahagian Strategik Korporat telah bersara wajib pada tanggal 20 Julai 2011 manakala Puan Hajah Sokdah pula telah bersara pilihan pada 26 Jun 2011.

Jom kita baca apa ucapan yang telah disampaikan oleh Puan Hajah Sokdah pada majlis tersebut:

Bismilahirrahmanirahim

Yang Berusaha Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Encik Ramli bin Mohd Noor, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor, Puan Ruslah Binti Khalid, Pengarah-pengarah Bahagian dan semua sahabat handai sekalian.

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah hari baik bulan baik ini, saya mengambil peluang untuk menyampaikan sedikit renungan dan coretan hidup sepanjang perkhidmatan saya di Kraftangan Malaysia ini.

- Saya bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala, kerana sekian lama saya telah berkhidmat di Kraftangan Malaysia bermula dari tahun 1974 sehingga 2011 iaitu selama 37 tahun sehinggalah saya menamatkan perkhidmatan terakhir ini di Perbadanan Kraftangan Malaysia ini juga di mana penempatan terakhir saya adalah di Cawangan Selangor. Tidak menyangka juga saya dapat menamatkannya dengan pelbagai rintangan, suka duka, pahit manis dan berbagai jenis rasa lagi. Saya tidak pernah 'tidak', apa saja kerja yang mendatang semuanya boleh.

- Perasaan kasih sayang serta semangat kekitaan ini memang amat mendalam di sanubari ini terhadap rakan-rakan seperjuangan dan persekitaran tempat kerja.

- Mencintai kerja yang dibuat secara terbuka dan ikhlas serta hubungan kerja antara satu sama lain, membuatkan diri ini merasai ia amat diperlukan serta dapat mencapai matlamat yang ditetapkan.

- Sikap memberi kerjasama sesama kita telah menjadi sifat semula jadi saya antara rakan seperjuangan dan juga boleh memberi sedikit pendapat atau pandangan jika ia diperlukan.

- Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada PKKM kerana saya dapat menjalankan perkhidmatan ini hingga ke akhirnya dan saya mohon ampun dan maaf atas keterlanjuran kata yang tidak disedari oleh saya sepanjang perkhidmatan ini.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang diri saya sepanjang saya berada di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Latar Belakang Perkhidmatan:

1. Mula berkhidmat dengan Kraftangan pada tahun 1974 dengan nama Lembaga Kraftangan Malaysia, bertempat di Lorong Medan Tunku, Jalan Tuanku Abd. Rahman dengan menyewa rumah kedai 2 tingkat.

2. Mempunyai hanya 12 orang anggota kerja sahaja pada ketika itu.

3. Seramai 6 orang anggota kerja yang datangnya daripada MARA untuk memulakan pengurusannya di Kraftangan Malaysia.

4. Selebihnya diambil sendiri oleh Kraftangan melalui iklan di akhbar.

5. Segala tunjuk ajar berkaitan dengan kerja-kerja pejabat diajar oleh Ketua Kerani daripada MARA yang dikenali dengan nama Pak Wan (Musa Awang).

6. Lama-kelamaan terdapat penambahan anggota kerja yang baru dan aktiviti-aktiviti pembangunan dijalankan sedikit demi sedikit.

7. Awal tahun 80-an pejabat Kraftangan telah berpindah ke Wisma Kraftangan di Wisma Batik, Jalan Tun Perak.

8. Pada tahun 1987, Kraftangan Cawangan Selangor ditubuhkan dengan mempunyai 2 anggota kerja sahaja yang bertugas dan bertempat di Wisma Kraftangan.

9. Pengarah pada masa itu ialah En. Abdullah bin Mohd. Nor.

10. Lebih kurang 3 bulan Pengarah baru dilantik di Cawangan Selangor iaitu Encik Nor Ismail bin Md. Som. Berkhidmat bersamanya lebih kurang 3 tahun dengan mempunyai 5 anggota kerja.

11. Selepas itu, Pengarah bertukar lagi iaitu dan Pengarah baru pada masa itu adalah En. Kamalruzaman Mera Husin.

12. Lebih kurang 1 tahun, bertukar lagi Pengarah iaitu En. Shahrudin Md. Nor.

13. Bekerja bersama dengan En.Shahrudin Md. Nor selama lebih kurang 3 tahun.

14. Pada masa itu Cawangan Selangor bertempat di Institut Kraf Negara di Rawang.

15. Kemudian bertukar pula Pengarah baru iaitu En. Abdul Hanif Mohd. Noor selama lebih kurang 2 tahun sehingga Cawangan Selangor ditutup atas arahan pihak atasan.

16. Saya pun berpindah pula ke Ibu Pejabat dan ditempatkan di Bahagian PR selama 2 tahun dan pentadbiran lebih kurang 3 tahun.

17. Kemudian Cawangan Selangor dibuka semula pada tahun 2003 bertempat di Bangunan Dagangan UMNO Shah Alam dengan hanya 2 orang anggota kerja sahaja iaitu Pengarah dan saya.

18. Pada masa itu, Pengarahnya adalah En.Muhammad Ali bin Mad Jais dan ditambah seorang lagi Penolong Pegawai (En. Mohd. Irwan Mohamad Jamil).

19. Penambahan anggota kerja dilakukan dari semasa ke semasa sehinggalah ke akhir tahun 2010, Cawangan Selangor telah dipindahkan semula ke Institut Kraf Negara, Rawang.

20. Perkhidmatan ini diperlukan sehinggalah ke bulan Jun 2011 dengan berkhidmat di Perbadanan Kraftangan Malaysia selama 37 tahun dan atas pilihan sendiri saya memilih pencen pilihan.

21. Saya mengambil peluang ini menasihati rakan-rakan semua agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik serta bersikap jujur atas kerja-kerja yang perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

Akhir kata, dengan perasaan kasih dan sayang terhadap Kraftangan ini saya ingin mengundurkan diri dengan iringan doa semoga mencapai kejayaan dan menambat hati semua golongan masyarakat agar mencintai barang-barang kraf yang dihasilkan oleh Kraftangan Malaysia.

Sekian, salam sayang kepada semua warga Kraftangan Malaysia. Terima kasih.

Assalamualaikum w.b.t.

(Teks ini telah diedit bagi kesesuaian ayat.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan