Selasa, 9 Oktober 2012

TAUBAT HATI

Apa yang terbit dari hati adakalanya sukar sekali dikawal. Sifat mazmumah mudah sekali hinggap meski kita sendiri tidak sama sekali menyukainya. Timbul rasa takut andai apa jua yang dilakukan tiada nilai di sisi Allah dek kerana sifat sombong, takbur dan riak menguasai diri.

Astagfirullah…

Aduhai lemahnya diri dan masih kotor rupanya hati yang tertanam dalam dada ini. Teringat saya tentang kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah dikatakan sebagai ahli syurga hanya kerana beliau tidak sesekali berhasad dengki walhal ibadah-ibadahnya biasa-biasa sahaja.

Begitulah besarnya akhlak kita serta keikhlasan dalam apa jua yang kita usahakan di dunia. Sehingga ia bisa melabelkan seseorang itu sebagai ahli syurga.

Ironinya, apalah yang dikejar semahu-mahunya isi dunia ini sehingga membiarkan diri dikuasai sifat mazmumah yang tak mengenal siapa yang lebih besar. Sesungguhnya kita ini sangat kecil dan apa jua yang kita miliki kini semuanya milik Allah.

Fikir kembali tatkala nyawa terpisah dari jasad tentang apa yang kita bawa bersama. Dan tentang apa yang kita tinggalkan. Yang pasti bukan kemegahan dengan apa yang dimilki. Yang kita bawa pulang amal ibadah yang soleh serta diredhai Allah.

Benar sekali bandingan hidup di dunia ini terlalu kecil dibandingkan kehidupan di akhirat kelak. Usahkan begitu hatta alam barzah sahaja menjadikan kita dalam ketakutan yang tak berkesudahan. Gelap dan sendiri. Lalu ketika itu apalagi yang diharapkan. Selain rahmat dan kasih-sayang Ilahi.

Aduhai sukar sekali mengawal hati ini. Muhajadah yang hebat sekali. Muhajadah yang membawa kepada membesarkan Allah dalam apa jua yang diurusi. Tiada daya dan upaya selain terus mengharapkan kurniaan-Nya.

Wahai Allah, kami bertaubat. Terimalah taubat hati kami. Lindungilah hati ini dari bisikan mazmumah.
 
 
Sumber dari - http://citratus.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Komen