Khamis, 22 Oktober 2009

PENDIDIKAN KRAF LAYANG-LAYANG

Permainan wau atau lebih dikenali sebagai layang-layang pada suatu ketika dulu menjadi permainan popular terutamanya di kawasan pedalaman seperti di kawasan pantai dan kawasan lapang seperti sawah padi, padang dan sebagainya. Namun kini, permainan ini telah menjadi popular bukan sahaja di kawasan pedalaman tapi juga amat digemari oleh masyarakat pelbagai kaum di bandar.

Sehubungan itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor telah mengambil inisiatif untuk mengadakan aktiviti pendidikan kraf wau dan layang-layang bagi memberi peluang dan pendedahan kepada golongan pelajar khususnya, untuk mempelajari seni pembuatan layang-layang. Usaha ini merupakan langkah pemuliharaan agar seni kraf pembuatan layang-layang ini tidak tenggelam di telan zaman.

Bertepatan dengan itu, satu bengkel pendidikan kraf pembuatan layang-layang telah dilaksanakan bertempat di Sekolah Kebangsaan Parit 6, Sungai Besar, Selangor pada 15 Ogos 2009 yang lalu. Bengkel ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Homestay Air Manis, lima orang ahli daripada Persatuan Layang-Layang Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam.

Sebanyak 17 buah sekolah menengah di Daerah Sabak Bernam telah mengambil bahagian di mana seramai 100 orang pelajar terlibat beserta lima orang tenaga pengajar. Bengkel ini telah dibahagikan kepada 4 kumpulan di mana setiap kumpulan terdiri daripada 25 orang peserta dan seorang tenaga pengajar, bagi setiap kumpulan.

Aktiviti bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 4 petang. Setiap peserta telah berjaya menyiapkan layang-layang mereka mengikut kreativiti sendiri. Selepas itu, layang-layang tersebut telah dinaikkan di kawasan petak-petak sawah yang kosong seperti mana dimainkan pada zaman dahulu. Apa yang menarik, pelbagai warna dan bentuk layang-layang telah terbang menghiasi ruang udara, menjadikan pemandangan pada petang itu begitu unik dan cantik.

Walaupun sedikit kepenatan, namun tergambar kegembiraan dan kepuasan di wajah masing-masing. Mereka amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana aktiviti seumpama ini bukan sahaja menarik, namun ianya turut mengeratkan hubungan dan mewujudkan perpaduan di kalangan peserta. Bagi kakitangan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor, kami amat berpuas hati dan gembira dengan kerjasama yang telah diberikan oleh pelbagai pihak berkaitan dalam menjayakan aktiviti ini.

Selamat Maju Jaya....

Tiada ulasan:

Catat Komen