Ahad, 19 September 2010

LAMAN SENI FLORIA PUTRAJAYA 2010

Laman Seni Floria 2010 telah diadakan pada 10 hingga 18 Julai 2010 bertempat di Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPJ) bersama Kementerian Wilayah dan Luar Bandar merupakan program bagi mempromosi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan Negara dan memperkenalkan hasil seni tanah air kepada orang ramai dan pelancong antarabangsa. Program ini telah dirasmikan oleh Y.A.B Perdana Menteri pada 10 Julai 2010 pada jam 9.00 pagi.

Perbadanan Putrajaya telah menjemput Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan Balai Seni Lukis Negara bagi menyertai aktiviti pameran dan jualan produk kraf tempatan serta karya seni dan lukisan hasil seni pelukis tempatan.


Seramai 12 usahawan kraf pelbagai bidang telah menyertai program ini di antaranya adalah Dean Batik, Nurhais Enterprise, Nies batik, Batik Pelangi, Batik Citrawarna, Batik Har, Ferrovase, De’ Astek Craft, Rosnah Mamat, Lavender Ceramics dan banyak lagi telah menyertai aktiviti ini. Laman Seni Floria ini turut dimeriahkan lagi dengan aktiviti pendidikan kraf pelbagai bidang, persembahan pentas, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Pertandingan Mewarna Cat Air, Pertandingan Fotografi, Pertandingan Taman Tercantik, persembahan malam dan sebagainya.

Program seumpama ini amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh penduduk Putrajaya namun amat digemari oleh pelancong antarabangsa. Hampir 100,000 pengunjung yang telah berkunjung ke tapak program dan mereka amat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan, pengisian aktiviti, pertandingan yang dijalankan dan keindahan taman-taman yang dipamerkan sungguh unik dan tidak terdapat di tempat-tempat lain.

Pihak penganjur juga telah memberikan ruang pameran secara percuma kepada pihak kami bagi melaksanakan aktiviti anyaman rotan, mewarna permukaan seramik dan demonstrasi ukiran kayu yang telah dilakukan oleh pengukir Orang Asli yang dibawa khas dari Pulau Carey. . Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana telah memberi peluang dan ruang niaga kepada pengusaha kraf khususnya dengan kadar yang murah dan berpatutan.

Tiada ulasan:

Catat Komen