Jumaat, 30 September 2011

NOSTALGIA SYAWAL

JAMUAN HARI RAYA KMCS~

Jamuan Hari Raya atau konsep ‘rumah terbuka’ sudah menjadi fenomena pada setiap kali sambutan Hari Raya di negara ini. Ia menjadi tradisi sinonim malah seakan tidak lengkap tanpanya. Inilah trend semasa yang sentiasa dinanti-nanti selepas takbir Syawal bergema.

Walau bagaimanapun, Jamuan Hari Raya mahupun Rumah Terbuka sering mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Kemeriahan ini dapat disaksikan dengan kehadiran tetamu daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama. Mereka hadir bersama-sama untuk berkongsi bukan sekadar pelbagai jenis makanan dan juadah malah budaya masing-masing.

Kelab Sukan dan Kebajikan KMCS juga tidak ketinggalan menganjurkan Jamuan Hari Raya pada 14 September lalu bertempat di perkarangan ruang legar Bilik Pameran KMCS dan Jurusan Seni Kraf Rotan, Institut Kraf Negara.

Sejak dari awal pagi lagi semua warga kerja KMCS telah bertungkus lumus menyediakan sajian menarik untuk dihidangkan kepada para tetamu jemputan dengan majlis bermula jam 11.30pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang.

Apa yang istimewa, hadirin telah disajikan juadah air tangan staf KMCS seperti mee kari, lemang, rendang, nasi impit bersama kuah kacang, roti jala & serawa durian, bubur pulut hitam, cendol, kek, kuih-muih dan buah-buahan selain dihiburkan dengan alunan lagu-lagu nostalgia Hari Raya.

Alhamdulillah dan syukur, Jamuan Hari Raya ini berjaya meraih sokongan padu ke semua staf yang terlibat. Semangat kerja berpasukan telah dapat dimantapkan dan keupayaan setiap Jawatankuasa Kerja telah dapat diserlahkan melalui perancangan dan gerak kerja yang dilaksanakan. Apa yang lebih penting, masing-masing tidak mahu kalah untuk menunjukkan kehebatan kemahiran memasak makanan yang lazat dan menyelerakan.

Ditambah dengan semanis senyuman yang tidak lekang di bibir berserta penampilan segak dan cantik bergaya dengan baju raya masing-masing, layanan mesra yang diberikan warga KMCS tetap mendapat pujian meskipun terpancar wajah keletihan setelah seharian bertungkus lumus menyediakan juadah… hihihi.. :)

Apa yang lebih utama, semoga amalan saling ziarah-menziarahi di antara satu sama lain di musim lebaran ini dapat dijadikan sebagai landasan terbaik dan tidak terbatas dengan adanya Jamuan Hari Raya, Rumah Terbuka atau pada Hari Raya sahaja, tetapi perlulah dihayati dan diamalkan dari semasa ke semasa demi mengukuhkan ikatan ukhuwah dan persaudaraan sesama kita, Insya-Allah.

Jutaan TAHNIAH!! dan terima kasih kepada semua warga KMCS dan para tetamu yang hadir memeriahkan majlis kami!! :)

























Inilah Tiga Masterchef kami di dapur.. hihihi ..opss!!

Terima Kasih atas kunjungan k.Odah sekeluarga... :)

Tiada ulasan:

Catat Komen