Selasa, 19 Mac 2013

GEMBIRANYA USAHAWAN QQ MY CRAFT BERTEMU DYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG



Alhamdulillah, setelah beberapa hari menyepi daripada mencoret sesuatu di blog KMCS ini, hari ini saya ingin berkongsi kegembiraan usahawan KMCS, Encik Goh dari syarikat QQ My Craft. Walaupun, cerita ini berlalu sudah agak 'lama' kerana Hari Kraf Kebangsaan 2013 juga telah melabuhkan tirainya, namun demi tidak menghampakan perasaan beliau, saya mengambil peluang untuk berkongsi tentang cerita ini.



Pagi ini, saya telah menerima emel beliau yang disertakan bersama dua keping gambar. Gambar tersebut memaparkan kegembiraannya dapat bertemu bersama DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Sultanah Hajah Haminah yang telah mencemar duli merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2013 pada 4 Mac 2013 yang lalu. Tuanku Permaisuri juga telah mencemar duli melawat ruang niaga usahawan yang terlibat bersama Datin Seri Maznah Rais. Baginda turut singgah melihat produk kraf sabun keluaran Encik Goh. 

Baginda Tuanku juga turut membeli produk tersebut sebagai tanda kenangan dan ia merupakan satu penghargaan kepada Encik Goh yang sama sekali tidak menyangka Tuanku Permaisuri berminat untuk melihat produk keluaran syarikatnya. Dari riak wajah yang jelas kelihatan melalui gambar yang dikirimkan kepada saya, ternyata dia sangat gembira dan sungguh terharu menerima kunjungan tersebut. 

Memang benar, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri amat 'dekat' bersama rakyat dan kami di KMCS turut menerima 'tempias' kegembiraan tersebut. Kami selalu mendoakan yang terbaik kepada semua usahawan terutamanya di bawah seliaan KMCS. Kalian sentiasa di hati kami.

Tiada ulasan:

Catat Komen