Pada 28 Julai 2016 (Khamis) yang lalu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Wilayah Kuala Lumpur &Selangor (WISEL) telah mengadakan majlis Rumah Terbuka dan Jamuan Hari Raya WISEL 2016 bertempat di perkarangan pejabat WISEL.
Majlis telah dimulakan dengan Sesi Bacaan Yasin dan Tahlil telah dihadiri oleh usahawan-usahawan kraf WISEL seawal jam 10.00 pagi. Alhamdulillah, majlis yang dipimpin oleh Encik Lotfe itu selesai pada jam 11.30 pagi.
Pada awalnya, kami menjangkan tidak ramai jemputan yang hadir memandangkan pada tahun sebelumnya lebih kurang 150 tetamu sahaja yang hadir. Namun, jangkaan kami meleset. Bermula pada jam 12.00 tengah hari usahawan-usahawan kraf yang dijemput mula membanjiri perkarangan pejabat kami.
Wah, suasana macam kenduri kahwin pun ada. Memang meriah. Tambahan pula kedengaran lagu-lagu raya berkumandang di udara bagi menyambut kedatangan pengunjung rumah terbuka kami.
Apa yang lebih membuatkan kami terharu dan berterima kasih dengan kehadiran Mantan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Dato' Abdullah hadir seawal jam 12.00 tengah hari. Terima kasih juga diucapkan kepada Pengarah Kanan, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Unit Ibu Pejabat yang tiba lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Tidak dilupakan sekalung ucapan terima kasih sahabat-sahabat kami daripada Ibu Pejabat dan Institut Kraf Negara turut datang memeriahkan rumah terbuka kami.
Jika pada tahun lepas WISEL menghidangkan bihun soto, namun pada tahun ini kami menyediakan nasi dan menu kampung sebagai tarikan utama. Tidak ketinggalan laksa utara hasil air tangan Puan Suzita yang menjadi buah mulut tetamu turut dihidangkan. Satu lagi menu 'meletup' yang menjadi rebutan pada tahun ini, rendang daging Cik Juju. Ramai yang kecewa sebabnya tidak dapat merasa. Sedap sangat sampai ramai yang makan bertambah dua tiga kali.
Jom, kita tengok gelagat tetamu yang hadir. Terima kasih daun keladi, tahun depan, insya-Allah WISEL jemput lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan