Isnin, 21 Februari 2011

"BUMI HIJAU"



Bumi Hijau”. Sering kali kita dengar, kita lihat dan kita baca sama ada risalah, majalah, papan iklan, media elektronik serta lain-lain medium media yang sering mendendangkan pernyataan yang mengandungi slogan emas tersebut. Tapi adakah kita mengamalkan apa yang kita dengar, baca atau lihat tersebut? Jika penulis ingin mentafsirkan dengan setepatnya maksud slogan tersebut mungkin ia akan menggunakan lebih dari sepuluh helaian muka surat agar penyampaian tercapai. Tapi sebaiknya kita rumuskan slogan tersebut dengan mengimplemenkan kepada perbuatan sejajar dengan maksud slogan tersebut. Secara ringkasnya boleh dirumuskan sebagai memelihara, memulihkan, menjaga dan apa-apa perbuatan yang mendorong kepada membentuk kawasan yang mempunyai kehijauan flora.

Baru-baru ini iaitu pada 18 Februari 2011, KMCS telah menjalankan aktiviti bergotong-royong mengemas laluan guna sama pejabat. Aktiviti ini melibatkan semua anggota kerja KMCS yang dijalankan pada jam 4.00 petang.

Pelbagai jenis flora ditanam sekitar laluan guna sama seperti “bird nest”, orkid serta pokok pudina. Selain itu juga, terdapat tanaman lain seperti pokok cili, pandan dan lain-lain. Manalah tahu sekiranya bercambah dan mendatangkan hasil!! Tetapi tujuan sebenar aktiviti ini dijalankan adalah untuk menceriakan lagi sekitar laluan guna sama tersebut selain menyahut slogan emas “BUMI HIJAU”. Harapan kami agar aktiviti ini merupakan satu permulaan kepada setiap langkah yang akan datang dalam menceriakan pejabat KMCS.

“Senyum Terukir, Sapanya Ramah,

Bersimpuh Malu Di Hujung Taman,

Jika berbudi kepada tanah,

Kelak untung masa hadapan”




BERAKHIRNYA SESI UNDIAN ONLINE SEMPENA HKK 2011



“Alhamdulillah, semuanya selesai”, ayat yang terpacul daripada mulut kami apabila semua urusan melibatkan undian secara online sempena HKK 2011 telah selesai pada pukul 3.30 petang, 19 Februari 2011 (Sabtu). Bermula pada hari Jumaat, 18 Februari 2011 seawal pukul 9.30 pagi usahawan telah berpusu-pusu datang ke pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (KMCS) bagi menghadiri sesi undian lot niaga secara online ini.Terpancar wajah-wajah kegelisahan di kala menanti giliran masing-masing untuk mengundi. Debaran kian terasa apabila mereka berada di hadapan monitor komputer. Ada yang gembira dan ada juga tertanya-tanya di mana lokasi lot niaga mereka serta ada juga yang sudah tidak sabar untuk pergi melawat ke tapak jualan sejurus sahaja keluar dari pejabat KMCS. Walaupun sibuk menyiapkan produk di saat akhir, namun, mereka tetap meluangkan masa untuk datang ke sini bagi mencabut undi. Seramai 52 usahawan negeri Selangor dan 29 usahawan Kuala Lumpur telah menunaikan tanggungjawab masing-masing dan berpuas hati dengan keputusan undian yang diterima.

Kami , warga kerja KMCS mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala kerjasama baik yang telah diberikan oleh setiap usahawan. Harapan kami agar HKK 2011 ini akan menjanjikan satu kenangan yang indah dengan mendapat hasil jualan yang mencapai sasaran. InsyaAllah…..

JADUAL SEMPENA HARI KRAF KEBANGSAAN 2011



Khamis, 17 Februari 2011

PELAN LOKASI PENURUNAN BARANG SEMPENA HKK 2011


LB 1 : Loading Bay 1
- Hasil Rimba / Pameran Produk Khas

LB2 : Loading Bay 2
- Hasil Tanah/ Logam/ Aneka Kraf

LB3 : Loading Bay 3
- Hasil Tanah/ Logam/ Aneka Kraf/ Demonstrasi

LB4 : Loading Bay 4
- Tekstil

UNDIAN LOT SECARA ONLINE SEMPENA HKK 2011 DITANGGUHKAN

Salam 1Malaysia,

Dukacita dimaklumkan bahawa, undian lot secara online sempena HKK 2011 yang dijadualkan pada 17 Februari 2011 (Khamis), bertempat di Tingkat 1, Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (KMCS) telah ditangguhkan kepada tarikh baru dan dijangkakan akan diadakan pada 18 hingga 20 Februari 2011 bermula pada jam 10.00 pagi hingga 4.30 petang. Ini berikutan terdapat masalah yang tidak dapat dielakkan. Sehubungan itu, pihak kami memohon jutaan maaf di atas kesulitan ini.

Pihak kami akan memaklumkan sebarang pindahan atau perubahan dari semasa ke semasa sama ada melalui panggilan telefon dan juga hebahan menerusi blog KMCS. Harap maklum.

Isnin, 14 Februari 2011

SALAM MAULIDUR RASUL 1432H



KAMI WARGA KERJA KMCS MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENGUCAPKAN SALAM MAULIDUR RASUL 1432H KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT....

Khamis, 27 Januari 2011

Sedetik Bersama Pengarah

"Selamat datang dan terima kasih" merupakan ayat pertama yang keluar daripada mulut warga kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (KMCS) bagi mengalu-alukan kedatangan usahawan-usahawan kraf yang kami kasihi sempena program 'Sedetik Bersama Pengarah' yang telah dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor.


Program ini telah diadakan pada 26 Januari 2011 bertempat di Bilik Kuliah Besar, Institut Kraf Negara. Program ini mensasarkan kehadiran seramai 170 orang usahawan kraf sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan dan alhamdulillah kehadiran para usahawan adalah memberangsangkan.


Pada jam 9.00 pagi, program telah dimulakan dengan sesi pendaftaran kehadiran usahawan dan seterusnya usahawan dijemput untuk menikmati minuman pagi yang telah disediakan sementara menanti kedatangan rakan-rakan usahawan yang lain.


Program yang ringkas serta padat ini merupakan satu pendekatan bijak yang telah diadakan selaras dengan hasrat Pengarah untuk berkenalan dan beramah mesra bersama usahawan, meningkatkan hubungan silaturrahim sesama usahawan dan KMCS di samping juga dapat membuat jaringan kenalan antara satu sama lain.


Pada jam 9.30 pagi, majlis telah menjemput Puan Pengarah untuk memberikan ucapan. Selain mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada usahawan, Puan Pengarah telah memperkenalkan diri serta memberikan beberapa nasihat dan panduan kepada para usahawan agar lebih bersedia mendepani cabaran di masa hadapan, serta berusaha mengubah sikap dan tabiat agar berusaha keras dalam mencari peluang perniagaan yang lebih luas dan baik selaras dengan tema Hari Kraf Kebangsaan pada tahun ini iaitu “kraf menjana ekonomi”.


Program disusuli pula dengan sesi memperkenalkan diri oleh setiap usahawan kraf yang hadir. Di dalam sesi tersebut, ada beberapa usahawan telah menyumbangkan idea, pendapat dan komen kepada KMCS. KMCS amat berterima kasih dengan idea-idea tersebut dan akan meneliti dengan lebih mendalam untuk disuai padankan semua usahawan pelbagai bidang.


Kami juga ingin mengucapkan segunung rasa terima kasih kepada semua usahawan yang telah hadir bagi memeriahkan program "sedetik Bersama Pengarah" ini. Terima kasih daun keladi, semoga kita jumpa lagi..


Persiapan tempat program






Pendaftaran kehadiran usahawan






Minum pagi disediakan sementara menunggu program bermula





Program dimulakan dengan bacaan doa





Pengarah KMCS memberikan ucapan buat kali pertama kepada usahawan




Sesi memperkenalkan diri oleh usahawan kepada Pengarah baru KMCS




Program berakhir dengan jamuan makan dan seterusnya sesi bergambar





Mengemas dan mengembalikan semula segala peralatan yang dipinjam dari IKN



Jumaat, 21 Januari 2011

BIAR KECIL TAPI BERMAKNA….


Semua Khusyuk membaca...



Dalam kesibukan bekerja, kadang kala kita alpa untuk menunaikan tanggungjawab kepada pencipta. Oleh itu, satu Majlis Doa Selamat dan Bacaan Yasin telah diadakan pada pukul 8.30 pagi, 7 Januari 2011 (Jumaat) yang lalu. Majlis yang turut disertai oleh beberapa warga IKN telah berlangsung dengan jayanya. Selain dapat membibitkan benih ukhuwah, ia juga sebagai tanda syukur kami ke hadrat Ilahi kerana urusan perpindahan pejabat telah dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.



Walaupun majlis ini nampak kecil, namun penuh bermakna kerana ia sebagai satu permulaan bagi merapatkan hubungan dan jalinan kerjasama bersama warga kerja IKN. Diharapkan agar benang-benang jalinan ini dapat disulam dengan baik supaya lebih erat dan kukuh kerana banyak lagi aktiviti yang bakal dijalankan bersama, insyaallah.


Lagu rindu jiwa melara,
Lagu cinta jiwa berbunga,
Biar kecil asal bermakna,
Persahabatan erat kekal terbina.



Beberapa warga kerja IKN yang turut bersama kami dalam majlis ini.



Baca Yasin ke tido si Akmal ni?



"Amboi sempat lagi posing."



"Huhu, syahdunya sampai keluar air mata.. Keluar air mata ok lagi,
jangan sampai keluar air hidung sudah la, En. Dan.."
‘Jauh berjalan, luas pemandangan..’ itulah ungkapan paling sesuai bagi menceritakan pengalaman Puan Pengarah ketika mengadakan lawatan ke empat bengkel usahawan kraf batik di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI). Ia juga sebagai sesi pengenalan di antara Pengarah dan usahawan.




" Yang kena jaga ofis, jangan nakal-nakal..."



Segar dan penuh bersemangat sebelum perjalanan dimulakan.




Temujanji bersama usahawan telah dibuat sehari sebelumnya. Perasaan? Tentunya seronok, gementar dan macam-macam lagi. Hari yang dinanti pun tiba. Ditemani Timbalan Pengarah bersama tiga ketua unit, lawatan dimulakan dengan bengkel D’ Har Sdn Bhd yang terletak di Selayang dan kemudiaannya ke bengkel Barakaf Batik di Gombak. Pada jam 12.00 tengahari, kami bergerak menuju bengkel Abas & Sal Batik yang terletak di Kg. Padang Balang, Gombak dan pada sebelah petangnya kami mengunjungi bengkel terakhir iaitu Khadani Sdn. Bhd. di Bandar Baru Selayang.


Lawatan ini diadakan bagi membawa Pengarah melihat sendiri keadaan bengkel usahawan dan turut membincangkan beberapa pemasalahan berkaitan Hari Kraf Kebangsaan 2011, reka bentuk produk baru dan sebagainya. Pemasalahan yang lain juga turut diambil maklum dan akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada sesi perjumpaan bersama usahawan yang akan diadakan tidak lama lagi. Diharapkan lawatan ini membuahkan hasil yang cukup manis untuk ingati. Kepada semua usahawan yang terlibat, terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menerima kunjungan kami. Terima kasih.




"Pilih-pilih jangan tak pilih..."




"Berbangga bekas-bekas pelajar IKN bekerjaya di bengkel D' Har Sdn. Bhd.




"Apa la agaknya yang dibincangkan Kak Sal dengan Puan Pengarah?? Agak-agak dia tanya bila nak dapat flat ironer kot..



Tn. Hj. Karim menerangkan dengan panjang lebar produk-produk baru untuk HKK 2011 mengikut konsep 'retro'.


Pukul 4.30 petang, wajah-wajah keletihan terpamer akibat tak sempat makan tengahari demi menjaga temujanji bersama usahawan.

TAKLIMAT HALA TUJU DAN SESI MOTIVASI TAHUN BARU BERSAMA PENGARAH BARU

Hari demi hari berlalu dengan pantas. Masa berlari tanpa kita sedari. Sedar tidak sedar, kita telah beberapa hari melangkah ke tahun baru 2011. Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya kita masih diberikan peluang bagi meneruskan kehidupan di muka bumi ciptaan Allah s.w.t yang sungguh indah ini. Semoga tahun baru ini memberikan sinar baru kepada kita.


Kesempatan ini telah diambil oleh kami untuk mengadakan Taklimat dan Sesi Motivasi Tahun Baru Bersama Pengarah yang telah dihadiri oleh semua warga kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor. Gurau senda, gelak tawa dan usik mengusik menjadi penyeri suasana. Tahu-tahu sajalah bila masing-masing berkumpul. Seribu satu suasana yang ada. Tapi inilah yang menambah ikatan mesra dan mengeratkan hubungan kami bagaikan sebuah keluarga.


Sesi taklimat dan motivasi ini berlangsung hampir lapan jam. Banyak ilmu serta pengalaman yang telah diberikan kepada kami. Puan Pengarah yang telah lama berkhidmat bersama Kraftangan Malaysia telah menggariskan beberapa nilai murni yang harus dipatuhi oleh setiap warga kerja bagi meningkatkan lagi mutu kerja seharian. Di antaranya amalan memberi salam, bekerja bersungguh-sungguh dengan ikhlas, memberikan senyuman kepada semua, mematuhi peraturan pejabat, menyaran setiap warga kerja harus mempunyai pelbagai kemahiran (multi skills), mendedahkan diri membantu melaksanakan pelbagai tugas (multi-tasking), pro-aktif, berintegriti dan banyak lagi.


Rezeki kami pada hari itu juga murah sekali. Ada sedikit jamuan makan sebagai penyeri majlis. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih daun keladi kepada Kak Azizah dari syarikat Century Fiesta Batik yang telah menghadiahkan kami sebiji kek yang sungguh sedap sebagai santapan pemanis mulut. Makan, makan juga tapi diharapkan apa yang telah disampaikan oleh Puan Pengarah akan dipatuhi dan ditetapkan dalam diri.




"Bincang di celah-celah work station" mengeratkan lagi ukhwah dan semangat kerjasama antara warga kerja




"Amboi Cik Noor Iza kita ni, orang lain tengah sibuk makan, tapi dia pula berposing sakan.."

‘TAK KENAL MAKA TAK CINTA’

Pada tanggal 3 Januari 2011 yang lalu, Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor telah menerima seorang lagi Pengarah baru bagi menggantikan Mantan Pengarah Encik Kamal Ruzaman bin Mera Husin yang telah bersara. Pengarah baru yang dimaksudkan adalah Puan Hajjah Ruslah binti Khalid. Kata orang “tak kenal, maka tak cinta”, jadi mari kita kenali serba sedikit siapa si empunya diri.


BIODATA RINGKAS

Nama : Puan Hajjah Ruslah binti Khalid
Tahun Mula Berkhidmat : Tahun 1986
di Kraftangan Malaysia


RINGKASAN KERJAYA SEPANJANG BERSAMA KRAFTANGAN MALAYSIA

- Memulakan kerjaya sebagai Setiausaha Jemaah di bawah Pengerusinya
Y.Bhg Tan Sri Dr. Hajjah Aishah Ghani
- Kemudiannya bertugas di bawah Pengerusi Jemaah, Y.Bhg. Tan Sri Azman Hashim
- 13 tahun bertugas sebagai Setiausaha Jemaah
- Kemudiannya ditempatkan di Bahagian Perhubungan Awam sebagai
Pegawai Perhubungan Awam (Media)
- Pada tahun 2003, beliau telah ditugaskan sebagai Pengarah Kompleks
Kraf Kuala Lumpur bagi merancang, mengurus dan mengawal selia pelaksanaan
aktiviti-aktiviti di Kompleks Kraf Kuala Lumpur
- Pada tahun 2005, beliau telah diberi tanggungjawab menggerakkan
aktiviti Promosi Domestik yang tugasnya merangkumi Kompleks Kraf Kuala Lumpur
- Pada tahun 2008, beliau telah dipindahkan ke Unit Perolehan sebagai
Ketua Penolong Pengarah (KPP)
- Pada tahun 2009, beliau telah dipindahkan kembali ke jawatan Pengarah
di Bahagian Perhubungan Awam yang kemudiannya dikenali sebagai
Bahagian Komunikasi Korporat
- Pada 15 Oktober 2009 beliau telah ditukarkan ke Bahagian
Khidmat Pengurusan dan menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian
- Pada tanggal 3 Januari 2011, beliau telah ditugaskan untuk menjadi
Pengarah di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor.

Selasa, 11 Januari 2011

SEKALUNG TERIMA KASIH ATAS KUNJUNGAN YANG BERBAHAGIA KETUA PENGARAH KE PKKM CAWANGAN SELANGOR

Pada tanggal 4 Januari 2011 yang lalu, PKKM Cawangan Selangor telah menerima kunjungan Ybhg. Encik Mohd Kamil bin Mohd Ali, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bagi melawat pejabat baru PKKM Cawangan Selangor yang terletak di Institut Kraf Negara, Rawang.


Turut hadir bersama beliau adalah beberapa orang Pengarah Bahagian dari Ibu Pejabat. Di antaranya ialah Pengarah Bahagian Usahawan, Encik Ibrahim Ismail, Pengarah Bahagian Rekaan, Encik Yusak Hj. Mahamud, Pengarah Bahagian Pasaran dan Promosi, Puan Faezah Abd. Aziz, Pengarah Bahagian Teknikal, Encik Kamaruzaman Idris, Pengarah Institut Kraf Negara, Encik Zainal Abidin Che Pa' serta beberapa pegawai kanan dari Ibu Pejabat.


Walaupun kunjungan tersebut berlangsung dalam masa yang singkat berikutan jadual padat Ybhg. Ketua Pengarah, namun ia sungguh bermakna kepada kami, seluruh warga kerja PKKM Cawangan Selangor. Kami warga PKKM Cawangan Selangor amat mengalu-alukan kedatangan semua dan gembira di atas kunjungan Ybhg. Ketua Pengarah. Terima kasih daun keladi, ada masa jemputlah lagi.....


“Burung Kedidi Burung Tempua,
Terbang Bebas Tinggi Di Awan,
Selamat Datang Kepada Semua,
Ikatan Ukhuwah Kita Eratkan”





Lawatan Ketua Pengarah bersama Pegawai-Pegawai Kanan Ibu Pejabat


Perbincangan mengenai penyelarasan pejabat baru PKKM Cawangan Selangor

Rabu, 5 Januari 2011

JAMUAN HARI LAHIR KAK ILA...







Pada tanggal 3 Januari 2011 yang lalu, satu jamuan hari lahir telah diadakan oleh Puan Zailah Zaid bagi meraikan hari lahir beliau bersama-sama warga Kraftangan Selangor. Puan Zailah yang dipanggil Kak Ila merupakan Timbalan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan telah memangku jawatan Pengarah sepanjang Encik Kamal Ruzaman bercuti. Sambutan hari lahir ini telah diadakan di KFC Tesco Rawang.


Walaupun sambutan ini diadakan secara kecil-kecilan namun kegembiraan dan kemeriahan tetap dirasai oleh semua yang begitu teruja untuk meraikannya bersama.






"Selamat Hari Lahir" diucapkan buat Kak Ila. Kami mendoakan agar Allah memberikan kesejahteraan dan kegembiraan yang berpanjangan kepada beliau. Semoga dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Amin....


"Selamat Hari Lahir,
Selamat Hari Lahir,
Selamat Hari Lahir Kak Ila,
Selamat Hari Lahir...."