Wajahnya tampak tenang, sering mengukir senyuman manakala susunan
butir bicara dan penampilan gaya sederhana, namun keanggunan terpancar
menjadikan sesiapa berurusan dengan wanita penuh sifat positif ini
begitu menyenanginya.
Kelibat Pakar Optalmologi dari Pusat Perubatan Prince Court, Prof
Dr Muhaya Mohamad, 54, memang tidak asing lagi dalam dunia perubatan
dengan khidmatnya tidak sekadar merawat dan mengubati penyakit berkaitan
mata, malah kemunculannya mengendalikan program motivasi di kaca
televisyen juga dinanti.
Hidupnya sentiasa sibuk dan terisi dengan pelbagai tugas hakiki
tetapi beliau tampak sentiasa ceria, berseri dan bersemangat. Ini
membuatkan FAMILI ingin menyingkap bagaimana ibu kepada dua anak ini
menjaga kecantikan dan penampilan seiring dengan penitian usianya.
Prof Dr Muhaya menjelaskan, kecantikan bergantung kepada
amalan, corak, gaya hidup yang baik dan sifat positif kerana itu amat
penting bagi memancarkan kejelitaan sebenar wanita.
Katanya, beliau tidak pernah mengamalkan bacaan ayat suci
al-Quran semata-mata untuk menambah aura kecantikan wajah, sebaliknya
mengamalkan ayat Penghulu Istighfar dan membaca selawat tafrijiyah.
Saya juga mengamalkan bacaan tiga surah Qul sebanyak tiga kali
sebelum tidur sebagai ayat pelindung, selain sentiasa berzikir dan
bersyukur setiap kali melakukan sesuatu, katanya ketika ditemui di
kediamannya, di Kajang, baru-baru ini.
Kecantikan terserlah memulakan hari dengan motivasi diri dan
mengadunkan tiga perkara penting iaitu mengutamakan makanan rohani,
makanan fizikal dan makanan emosi.
'Makanan rohani' yang dimaksudkanProf Dr Muhaya ialah dengan
bersembahyang, mengaji dan berzikir untuk mendekatkan diri dengan Allah
SWT manakala 'makanan fizikal', mengamalkan pengambilan makanan seimbang
termasuk pil vitamin dan sebagainya. Sementara, 'makanan emosi'
sentiasa berniat baik, berbuat baik, membayangkan hari yang baik dan
bersifat positif.
Katanya, rutin hariannya sentiasa bersyukur, berdoa, memohon ampun dan bertaubat kepada Allah sebaik saja celik daripada tidur.
Setiap hari adalah hari baru. Saya memohon dijauhi neraka dan
didekatkan syurga sambil membayangkan perjalanan hari itu berjalan
dengan baik. Apabila kaki melangkah bangun daripada katil, saya akan
mengamalkan meminum segelas air putih sambil selawat ke atas Nabi
Muhammad SAW. Kemudian, melihat wajah pada cermin, melemparkan senyuman
lalu berkata pada diri sendiri:
Alhamdulillah, saya gembira dan bersyukur kerana masih lagi
cantik dan sihat seperti usia 40 tahun. Setiap kali sebelum sembahyang
Subuh, minum segelas lagi air jenama kesihatan BYoung. Minuman ini
dipercayai mengandungi 60 bahan semula jadi seperti cendawan,
sayur-sayuran dan campuran pati buah-buahan untuk khasiat tubuh dan
kesihatan retina mata.
Saya mencampurkan tiga lagi minuman serbuk lain untuk kolagen,
menurunkan kolesterol dan tinggi serat. Sambil minum perlahan, ketika
itu saya lakukan beberapa aktiviti lain antaranya menelan sebiji demi
sebiji pil kesihatan dan kecantikan.
Bagi saya kecantikan dan kesihatan perlu seiringan. Saya mengambil
bermacam-macam jenis pil yang mempunyai berbagai fungsi tersendiri
antaranya untuk pembakaran lemak, pelangsingan badan, kecerdasan minda,
kekuatan tulang dan lutut dan sebagainya, katanya tertawa kecil apabila
suaminya, Dr Azmi Jamion sering mengatakan beliau tetap kelihatan umur
di syurga iaitu 33 tahun.
Sambil menghabiskan minuman dan menunggu bilik saunanya panas,
beliau akan menonton rancangan keagamaan di televisyen dan melayari
Facebook yang kini sudah mempunyai lebih 272,000 pengunjung untuk
menyampaikan inspirasi kepada peminatnya, di laman laman sosial itu.
Ketika sauna saya akan menghabiskan masa sendirian mendengar
cakera padat bermotivasi dan keagamaan sebagai terapi jiwa dan minda.
Sauna dilakukan jika tidak sempat bersenam atau ada kalanya melakukan
yoga selama 10 minit untuk merenggangkan otot serta meningkatkan
fleksibiliti atau berenang bersama cucu, katanya.
Minum air satu kemestian, dengan membawa 2.5 liter air putih
ditapis yang dicampur dengan serbuk teh hijau, HerbaLife sebagai amalan
minuman kesihatan berfungsi membakar lemak dan anti-penuaan.
Tugasan sebagai pakar perlu memberikan khidmat terbaik kepada
pesakit. Sehari kira-kira 15 pesakit datang mendapatkan rawatan. Masa 15
minit untuk rawatan laser mata. Masa makan terhad dan saya gantikan
dengan minum banyak air termasuk segelas air campuran ginseng sebelum
memulakan tugas," katanya.
Berkali-kali menegaskan sifat positif penting untuk membentuk keperibadian, emosi dan kecantikan individu.
Tidak solat, ia mengundang kepada emosi tak elok. Bersolek tetapi
tidak berhubung baik dengan Allah, individu tidak nampak cantik. Saya
seperti wanita lain mencuci solekan sebelum tidur dengan sabun
mengandungi bahan gunung berapi dari Jerman, diikuti produk kecantikan
kulit. Mengoles serum mengandungi vitamin A dan C setiap kali keluar
rumah dan produk pelindung mentari dan pelembap.
Saya memakai krim mata untuk menjaga bahagian itu dan menitikkan
air mata palsu ke dalam mata. Ia seakan losyen kulit, air mata palsu
berfungsi mengelak mata daripada kering dan memberi kesegaran mata,
katanya.
Rumah dilengkapi bilik gimnasium dengan dikendalikan oleh
jurulatihnya, Indra Shamugam untuk aktiviti kecergasan tubuh dengan
latihan dua kali seminggu selama sejam yang mampu membuang 400 kalori
bagi setiap sesi. Tumpukan kepada aresistant toning untuk mengelak
penyakit osteoporosis dan menguatkan tulang serta regangan, bertujuan
mengelak sakit badan.
Saya hanya memakai kasut setinggi dua inci untuk mengelak sakit
kaki dan belakang. Saya juga tampil sederhana memakai pakaian Muslimah
warna tidak terlalu terang dan longgar hingga paras lutut bagi
memudahkan bersolat," katanya yang tidak taksub menggayakan barangan
berjenama dan mahal, selain mempunyai butik pakaian dalam talian dan
Facebook menerusi jenama Modest Culture.
Sumber - http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Rahsiacantik/Article/