Khamis, 13 Februari 2014

PENUNDAAN TARIKH CABUTAN UNDI LOT NIAGA HKK 2014


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Dukacita dimaklumkan bahawa, sesi cabutan undi lot niaga HKK 2014 yang dijadualkan pada hari Khamis (13 Februari 2014) telah ditunda ke hari Isnin (17 Februari 2014) pada pukul 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari bertempat di Bilik Pameran, Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor, Templer Park, Rawang. Pihak KMCS memohon maaf di atas kesulitan ini. Harap maklum.

Rabu, 12 Februari 2014

SALAM TAKZIAH ATAS KEMBALINYA KE RAHMATULLAH PENGARAH PASARAN & PROMOSI


Al-Fatihah

Kami, warga KMCS mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Faezah binti Abd. Aziz, Pengarah Bahagian Pasaran dan Promosi, Kraftangan Malaysia yang telah kembali ke rahmatullah  pada hari ini, Rabu, 12 Februari 2014 (pada jam 3.30 petang). Doa kami semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya dan allahyarhamah ditempatkan di kalangan hamba Allah yang solehah serta dijanjikan syurga firdaus-Nya, insya-Allah. Marilah kita bersama-sama sedekahkan Al-fatihah ke atas rohnya dan mendoakan agar roh allahyarhamah dicucuri rahmat-Nya. Amin.
 

Selasa, 4 Februari 2014

JOM, KLIK LAMAN SESAWANG SEMPENA HKK 2014


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. 

Sekarang sudah masuk minggu pertama bulan Februari 2014. Debaran Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2014 kian terasa. Usahawan-usahawan telah mula bertungkus lumur menyiapkan stok produk untuk jualan. 


Kami pasti banyak rekaan dan produk baru yang akan dipamerkan nanti. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama kami sempena HKK yang akan bermula pada 26 Februari hingga 10 Mac 2014 nanti. Anda juga boleh lawati laman sesawang khas berkaitan HKK seperti di 'link' yang telah disertakan di bawah. Jom, bersama-sama kita meriahkan!





Khamis, 30 Januari 2014

MAKLUMAN PEMILIHAN DAN UNDIAN LOT SEMPENA HKK 2014



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,


Sukacita dimaklumkan bahawa, pihak kami telah menghantar emel pengesahan penyertaan usahawan yang berjaya terpilih bagi menyertai Hari Kraf Kebangsaan 2014 (HKK 2014). Jadi, pihak kami ingin memohon kerjasama  semua usahawan terlibat untuk menyemak emel berkenaan dan menghubungi pihak kami sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan.

Untuk makluman semua tarikh pemilihan tapak bagi Lot Premium dan Lot Biasa  akan diadakan seperti berikut:

LOT PREMIUM (PEMILIHAN TAPAK)

     Tarikh    :               11 Februari 2013 (Selasa)
     Masa     :               10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari
     Tempat  :               Bilik Pameran, KMCS, Templer Park, Rawang

LOT BIASA (UNDIAN SECARA ONLINE)

     Tarikh    :               13 Februari 2013 (Khamis)
     Masa     :               10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari
     Tempat  :               Bilik Pameran, KMCS, Templer Park, Rawang

Diharapkan semua usahawan yang terlibat mengambil maklum akan maklumat ini bagi mengelakkan sebarang masalah. KMCS mengucapkan terima kasih atas kerjasama baik yang telah diberikan oleh semua usahawan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan HKK 2014 ini. Terima kasih.

Selasa, 28 Januari 2014

MAJLIS PELANCARAN TAPAK KEKAL FLORIA PUTRAJAYA


Baru-baru ini KMCS telah dijemput oleh Perbadanan Putrajaya bagi menghadiri Majlis Pelancaran Tapak Kekal Floria Putrajaya. Jika sebelum ini Floria Putrajaya diadakan di Persisiran Tasik Presint 2, Putrajaya, namun bermula pada tahun 2014, Floria Putrajaya akan berpindah ke tapak kekal bertempat di Persisiran Tasik Presint 4, Putrajaya. 



Majlis Pelancaran Tapak Kekal Floria Putrajaya ini telah dirasmikan oleh Presiden Putrajaya iaitu Tan Sri Dato' Seri (Dr) Aseh bin Hj. Che Mat pada 21 Januari 2014 bertempat di Persisiran Tasik Presint 4, Putrajaya.Bunga tema pada tahun ini adalah 'begonia' atau di Malaysia di panggil bunga asam batu.




Melalui ucapan Presiden Putrajaya tersebut, Floria Putrajaya 2014 menjanjikan pelbagai acara dan aktiviti menarik dan mempunyai kelainan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Cuma aktiviti yang mendapat sambutan ramai sebelum ini akan terus dikekalkan seperti Bot Berhias, Pameran Taman Di Raja dan sebagainya. Yang menariknya mulai tahun ini juga, Floria Putrajaya telah mempunyai maskotnya yang tersendiri iaitu 'Flo' dan 'Ria'. Wah, tidak sabar rasanya. Ayuh, sama-sama kita nantikan.







Jumaat, 24 Januari 2014

TERIMA KASIH SEMUA...



Kami warga KMCS bagi pihak Puan Rosmawati binti Zubir (Kak Ros) mengucapkan ribuan terima kasih atas kunjungan, ucapan takziah dan kerjasama yang telah dihulurkan (sebelum dan selepas) upacara pengkebumian jenazah Allahyarham Basir bin Kassim (bekas warga kerja IKN) pada 23 Januari 2014. Jenazah telah selamat disemadikan sebelum solat Zuhur di Tanah Perkuburan Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor. 



Alhamdulillah, segala urusan telah dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Sesungguhnya, doa dan kerjasama yang telah diberikan oleh kalian semua merupakan sokongan yang amat bermakna buat Kak Ros serta keluarga. Doa kami agar Kak Ros diberikan kesabaran yang tinggi dan tabah dalam menghadapi dugaan ini, insya-Allah.

Khamis, 23 Januari 2014

SALAM TAKZIAH



Kami warga KMCS mengucapkan takziah kepada keluarga Puan Rosmawati binti Zubir atas kembalinya ke rahmatullah suami tercinta, Basir bin Kassim pada hari ini 23 Januari 2014 (pada jam 5.45 pagi). Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Batu Muda, Batu Caves. Doa kami semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya dan allahyarham ditempatkan di kalangan hamba Allah yang soleh serta dijanjikan syurga firdaus-Nya, insya-Allah. Al-fatihah.

Rabu, 22 Januari 2014

KARNIVAL CINTA SENI CANTIK

Baru-baru ini pada 18 Januari 2014 yang lalu, 'team J1M1K' telah dijemput bagi memeriahkan satu program kemasyarakatan anjuran sebuah syarikat swasta iaitu Hartalega Sdn. Bhd. bertempat di Dewan Orang Ramai Bestari Jaya. Karnival Cinta Seni Cantik merupakan program yang bertemakan kebudayaan dan kemasyarakatan bagi memupuk semangat perpaduan di kalangan penduduk di samping memperkenalkan pelbagai cabang seni yang ada di negara kita.


Bagi menyokong hasrat murni itu, KMCS telah turun padang bagi memperkenalkan beberapa bidang kraf kepada penduduk setempat dengan mengadakan aktiviti demonstrasi dan jualan kraf. Di samping itu juga, kami turut mengambil kesempatan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai dengan mengadakan aktiviti interaktif kraf batik menggunakan teknik ikat celup.

Para penduduk memang sangat peramah dan mesra. mereka juga turut mengambil mengambil kesempatan mencuba pelbagai aktiviti yang telah kami sediakan seperti anyaman rotan, mencanting batik dan seni pembuatan tembikar tradisional masyarakat India. 


KMCS mengucapkan terima kasih atas jemputan ini dan mengucapkan syabas kepada pihak penganjur kerana usaha mereka ini telah membuka mata dan minda penduduk bahawa seni dan kebudayaan ini merupakan warisan yang harus kita kekalkan di masa hadapan.










Isnin, 13 Januari 2014

SALAM MAULIDUR RASUL


Kami warga KMCS mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul pada 14 Januari 2014 bersamaan 12 Rabiulawal 1435H kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia dan semua pembaca blog KMCS. Untuk makluman semua tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini adalah :


"WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH"

 
Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w. dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik. Semoga kita bersama-sama meningkatkan usaha dalam mencontohi keperibadian rasulullah dan kita sebagai umat Islam mempunyai tanggungjawab yang besar dalam  mempertahankan agama Allah.


Jumaat, 10 Januari 2014

TAHUN MELAWAT MALAYSIA - MISI NASIONAL TAHUN 2014



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Tahun Melawat Malaysia 2014 perlu dijadikan sebagai misi nasional yang membabitkan peranan semua pihak bagi mencapai sasaran kedatangan 28 juta pelancong pada tahun depan.

Perdana Menteri berkata, projek yang didokong oleh kerajaan bukan sahaja terletak di bahu Kementerian Pelancongan tetapi juga setiap kementerian dan agensi serta kerajaan negeri untuk memastikan program itu mencapai kejayaan sepenuhnya.

"Kita semua ada peranan untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014. Daripada pintu masuk Malaysia, pegawai Imigresen, pegawai Kastam, pemandu teksi, penyambut tetamu di hotel, peniaga, pengusaha pelancong, dan rakyat Malaysia.



"Kita semua mesti menunjukkan sikap mesra pelancong. Kita mesti beri mereka satu perasaan iaitu jika melawat Malaysia, mereka akan diterima dengan layanan yang cukup mesra dan sopan," katanya ketika melancarkan Kempen Promosi Tahun Melawat Malaysia 2014.

Najib berkata kemudahan infrastruktur sahaja bukan cukup tetapi kemesraan, keceriaan, kesopanan serta sikap ingin membantu pelancong dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada pelawat dari luar negara.

Najib berkata Malaysia mempunyai keunikannya yang tersendiri yang tidak terdapat di negara lain, antaranya fauna dan flora serta ekosistem yang antara terbaik di dunia, bandar raya kosmopolitan, lokasi keempat terbaik di dunia untuk membeli-belah dan sebagainya.

"Nak tengok budaya orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli, dan lain-lain, semua ini boleh dikecapi dan dilihat di Malaysia. Inilah 'selling-point' (pelaris) Malaysia yang tidak boleh ditandingi oleh negara lain. "Ditambah lagi dengan keamanan, kestabilan yang menjadikan negara kita cukup menarik sebagai destinasi pelancongan," katanya. 

Beliau berkata kerajaan akan terus memberi galakan kepada industri pelancongan negara yang mensasarkan untuk menerima 36 juta pelancong menjelang 2020. - Bernama

Sumber - http://www.sinarharian.com.my/tahun-melawat-malaysia-2014


Rabu, 8 Januari 2014

TIPS SEBELUM MEBUAT KEPUTUSAN

Decisions sign in the sky

‘Guess if you can, choose if you dare.’ -Pierre Corneillie-

Roda waktu tak pernah menunggu, ia akan pergi dan terus berlalu. Tiada apa yang ada pada usia melainkan hanyalah detik-detik kehidupan yang semakin berkurang. Pertambahan umur membuatkan manusia semakin matang secara teorinya. Namun adakah perkara itu merupakan suatu realiti secara praktikal?

Manusia. Mereka dikurniakan akal. Namun sejauh mana mereka memanfaatkannya? Sejauh mana akal itu digunakan berbanding emosi yang menjadi pilihan? Berbicaranya daku bukan kerana apa, kerana penyakit dalam masyarakat kita semakin melata.

Sukar untuk membuat keputusan. Tidak tahu, mana yang benar atau sebaliknya. Segalanya seakan sama. Kebenaran itu kabur, kebatilan pula kelam.

Ada bezakah?


crossroads


Membuat Keputusan

Membuat keputusan, rumitkan? Banyak perkara yang perlu kita fikirkan. Suatu perkara yang akan jadi penentu.

Sama ada matlamat kita untuk membuat sesuatu perkara itu tercapai atau tidak. Perkara yang sangat penting.


‘It does not take much strength to do things, but it requires great strength to decide on what to do.’ -Elbert Hubbard-

1. Pastikan bahawa minda anda berada dalam keadaan baik.

Perkara pertama yang perlu kita lihat adalah keadaan minda kita.

Adakah ketika itu kita sedang marah?

Atau sedang sedih? Kecewa? Geram?

Sakit hati? Patah hati? Makan hati? Panas hati? Retak hati?

Dan segala jenis hati yang ada kaitan atau dengan bahasa mudahnya dalam keadaan tak gembira?

Kenapa perlu berbuat demikian?

Jawapannya mudah, kerana perkara itulah yang akan mempengaruhi keputusan kita. Tika sedang marah, berapa ramai manusia yang mampu membuat keputusan dengan baik? Tengok sahaja kes cerai yang berleluasa di Malaysia. Puncanya apa? Bergaduh dah semestinya. Cuma, apa yang boleh kita beri perhatian, waktu si suami menjatuhkan talak adalah ketika mana suami itu sedang marah. Marah yang teramat sangat, umpama magma yang meletus menjadi lava.

Membuat keputusan dalam keadaan marah adalah amatlah ditegah. Kemungkinan untuk keputusan kita memberi hasil yang negatif itu amat tinggi. Begitu juga dengan sedih, kecewa dan adik-beradiknya.
Jadi, buatlah keputusan ketika kita dalam keadaan gembira, tenang dan relaks. Sebab minda kita ketika itu lebih terbuka dan rasional. Boleh membezakan yang mana baik dan yang mana lebih baik untuk kebaikan masa hadapan.

Pastikan minda anda dalam keadaan bersedia sebelum membuat keputusan, jika tidak. Maka seeloknya tangguh dulu keputusan itu. Pergi ambil wudhuk dan kalau rajin solatlah istikharah. Minta petunjuk dari-Nya. Insya-Allah, hasil keputusan anda : Positif.

2. Berhenti ‘berfikir’ tentang pilihan anda.

Berhenti berfikir? Maksudnya? Tidurkah?

Bukan. Maksudnya di sini, ubah sudut pandang kita. Take another look from the other side.
Jika sebelum ini kita berfikir dari sudut rasional dan logik keputusan kita, apa kata kita ambil berat juga bab lain yang berkaitan dengan emosi kita.

Eah? Tadi kata jangan ikut emosi? Hah, macam mana ini?

Begini, emosi adalah elemen yang amat penting untuk manusia. Tidaklah semua emosi itu negatif, walaupun perbualan Melayu ada yang menggambarkan ‘emosi’ itu sebagai suatu yang negatif, namun emosi itu sendiri pada asalnya adalah positif.

Kita perlu ambil kira faktor emosi kita juga. Dengan kata lain, kita cuba letakkan diri kita dalam suasana tersebut. Adakah kita selesa dengan keputusan kita? Adakah kita gembira apabila keputusan itu dibuat?

‘When you base your life on what’s in your heart, the majority of your decisions are already made.’ -Paul Clark-

3. Menilai setiap kemungkinan dan mempunyai matlamat yang jelas.

Senang cerita, optimis.

Nilai keputusan kita dari segi baik dan buruknya. Bukan sahaja bagi diri kita, tetapi juga untuk mereka di sekeliling. Sama ada keputusan itu membuatkan orang lain selesa atau tidak.

Jadi, sekarang ini apa yang boleh kita beri perhatian. Sebelum membuat keputusan, kita perlu kikis perasaan ego dalam diri. Pastikan keputusan kita menghormati hak orang lain dan yang paling penting selari dengan syarak.

‘Everyone should carefully observe which way their heart draws them, and then choose that way with all their strength.’ -Hasidic Saying-

Ingat, apa pun keputusan anda, buatlah dengan minda yang terbuka dan yang paling penting, keputusan yang dibuat tidak lain hanyalah kerana Allah dan bermatlamatkan perjuangan untuk agama-Nya.

Sumber - http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/6711-tips-sebelum-membuat-keputusan.html

Isnin, 6 Januari 2014

CEPAT BERTINDAK SEBELUM ANDA TERLEPAS PELUANG...


Hari ini 6 Januari 2014 (Isnin) merupakan hari terakhir bagi penghantaran borang permohonan Hari Kraf Kebangsaan 2014 (HKK 2014) dan juga Promosi Kraf Antarabangsa. Jadi, kepada usahawan kraf Selangor dan Kuala Lumpur yang masih belum menyerahkan borang, sila hantar dengan kadar segera bagi mengelakkan nama syarikat anda tercicir daripada senarai kami.

Bagi yang belum menerima borang, sila maklumkan kepada kami sama ada melalui emel ke mursyida@kraftangan.gov.my atau zuridah@kraftangan.gov.my dan juga boleh menghubungi kami di talian 03-60916564 untuk maklumat lanjut. Cepat-cepat hantar supaya anda terlepas peluang :)

Jumaat, 3 Januari 2014

SALAM TAKZIAH BUAT PUAN SALINI DAN KELUARGA

Dukacita dimaklumkan bahawa, ibunda tercinta kepada Puan Salini binti Idris, usahawan daripada syarikat Paulini Nusantara Heritage Sdn. Bhd. telah kembali kerahmatullah pada hari Rabu, 1 Januari 2013 bersamaan 29 Safar 1434H dan telah selamat disemadikan di Kg. Muhibah, Sg. Siput (U), Perak.

Marilah kita bersama-sama sedekahkan bacaan Ummul Kitab Al-Fatihah semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan 
di kalangan orang-orang yang beriman, Insya-Allah... Amin.


Khamis, 2 Januari 2014

HKK DATANG LAGI...

Sedar ataupun tidak, penganjuran HKK 2014 ini merupakan kali yang ke-12. Untuk makluman semua, Kraftangan Malaysia akan menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2014 yang dijangkakan akan diadakan pada 26 Feb hingga 10 Mac 2014 (13 hari), bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. 

Sehubungan dengan itu, kami warga KMCS menjemput semua usahawan kraf negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang telah berdaftar dengan KMCS untuk bersama-sama menyertai HKK 2014. Bagi usahawan kraf yang berminat, boleh menghantar emel kepada kami di mursyida@kraftangan.gov.my / zuridah@kraftangan.gov.my atau datang ke pejabat kami yang seperti di alamat berikut:

Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (KMCS)
No. 1, KM.20, Jalan Ipoh-Rawang,
Taman Rekreasi Templer,
48000 Rawang, Selangor.
No. Tel    : 03-60916564
No. Faks : 03-60915463

Bayaran yuran penyertaan yang telah ditetapkan pada tahun ini adalah seperti berikut:

   i.          Yuran Penyertaan HKK 2014
               Kadar bayaran yuran penyertaan adalah sebanyak RM500.00.
               Ukuran lot jualan adalah seluas 10’ x 10’

   ii.          Lot Produk Kraf Perabot, Taman Dan Laman
               Kadar yuran penyertaan adalah sebanyak RM1,000.00.
               Ukuran lot jualan adalah seluas 10’ x 20’ (terhad).

   iii.         Lot Premium
     Kraftangan Malaysia turut menyediakan lot-lot premium 
     mulai tahun 2014 di mana usahawan kraf yang telah    
     disahkan penyertaan boleh memilih lot-lot mengikut 
     kelompok  bidang kraf yang telah ditetapkan sebelum tarikh  
     undian sebenar   dijalankan. Tambahan kadar bayaran lot 
      premium ini adalah sebanyak RM300.00. Keluasan lot 
     premium adalah berukuran 10’ x 10’ (terhad). Bayaran 
     tambahan ini perlu dijelaskan bersama   bayaran yuran 
     penyertaan bagi pilihan (i) sahaja.

Bayaran boleh dibuat secara online/ tunai dan terus didepositkan kepada akaun Maybank atas nama Perbadanan Kraftangan Cawangan Selangor (No. akaun: 562106210830)  dan resit tersebut perlu dilampirkan bersama ketika penyerahan borang penyertaan (selewat-lewatnya pada 6 Januari 2014). Borang boleh di faks ke 03-60915463 di emel ke mursyida@kraftangan.gov.my atau zuridah@kraftangan.gov.my.

Jadi, jangan tunggu lama-lama kerana lot niaga adalah terhad. Bertindak sekarang sebelum tarikh permohonan berakhir :)

MULAKAN TAHUN BARU DENGAN AZAM BARU...




Selasa, 31 Disember 2013

SELAMAT TAHUN BARU 2014



Padi dijemur di dalam nyiru,
   Diletak bersama bunga raya,
Kami ucapkan 'Selamat Tahun Baru',
   Seiring doa agar terus berjaya.


Kami warga KMCS mengucapkan 'Selamat Tahun Baru' 2014 kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia dan rakyat Malaysia. Doa kami agar kita semua dilimpahi rahmat, dimurahkan rezeki serta diberikan kejayaan dunia dan akhirat, insya-Allah.

SESI PEMBENTANGAN KPI KALI TERAKHIR 2013..


Cepat sungguh masa berlalu. Hari ini sudah 31 Disember 2013. Tinggal beberapa jam sahaja lagi kita akan masuk ke tahun baru 2014. Tahun 2013 akan meninggalkan kita dengan pelbagai kenangan. Suka duka, pahit getir dan segala macam rasa terlipat kukuh dalam ingatan. 


Setiap orang mempunyai catatan pengalaman dan kenangan tersendiri. Bagi kami di KMCS, tahun 2013 merupakan tahun yang sungguh indah kerana banyak pengalaman baru telah ditimba dan banyak kelemahan telah diperbaiki sedikit demi sedikit bagi meningkatkan kualiti kerja kami di sini.

Pada hari ini, kami di KMCS telah berkumpul bersama-sama dalam majlis serba ringkas bagi kali terakhir tahun 2013. Majlis pada kali ini lebih kepada sesi pembentangan KPI bagi setiap unit di KMCS. Unit-unit yang terlibat adalah Unit Rekaan, Unit Usahawan, Unit Promosi, Unit Pemuliharaan serta Unit Pentadbiran dan Kewangan. 

Alhamdulillah, hampir semua unit di KMCS telah mencapai sasaran KPI yang telah ditetapkan dan peruntukan yang diturunkan juga telah mencapai 100% belanja. Di sini, ingin saya kongsikan sasaran KPI yang telah ditetapkan bagi setiap Program Pembangunan KMCS dan butirannya adalah seperti berikut:


Manakala, bagi Unit Pentadbiran dan Kewangan pula, semua warga KMCS telah berjaya mencapai 100% menghadiri kursus lebih daripada tujuh hari, melaksanakan lebih enam kali Mesyuarat KPKA dan JKPAK serta sembilan kali Mesyuarat JKPC. Dari segi perbelanjaan mengurus juga, KMCS telah mencapai hampir 95% belanja berakhir 31 Disember 2013.



Di akhir majlis, Puan Pengerusi telah mengucapkan tahniah kepada semua warga KMCS di atas kerjasama baik yang telah diberikan serta turut menyarankan agar semua warga KMCS meningkatkan usaha, bekerja dengan ikhlas, bersungguh-sungguh, bertanggungjawab dan penuh amanah bagi menghadapi tahun 2014. Selamat Tahun Baru 2014.


SELANGOR MUNCUL LAGI SEBAGAI JUARA SHOWCASE SDSI 2013...

Gambar kenangan semua pemenang Showcase SDSI 2014

Alhamdulillah dan syabas kami di KMCs ucapkan kepada usahawan kraf negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang telah menyertai Karnival Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Nasional 2013 dan telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SDSI 2013 dengan membawa pulang hadiah sebanyak RM125,000.00 pada  29 November hingga 1 Disember 2014 yang lalu.

Nampaknya, sudah dua tahun berturut-turut negeri Selangor telah muncul sebagai Juara Keseluruhan SDSI. Tiada kata yang mampu kami ungkapkan dan ucapkan melainkan sekalung tahniah serta berbangga dengan pencapaian usahawan SDSI kami yang telah menggondol beberapa hadiah dan turut menyumbang kepada kecemerlangan negeri Selangor.

Mengimbas kembali kejayaan usahawan SDSI negeri Selangor dan Kuala Lumpur pada tahun 2012 telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada usahawan syarikat Abas & Sal Batik yang telah menggondol dua hadiah iaitu Tempat Pertama bagi kategori Tekstil dan Hadiah Terbaik bagi kategori Produk Inovasi dan syarikat D'Or Rue telah memenangi Tempat Kedua bagi kategori Logam.

Pada tahun 2013 pula, sekali lagi tuah dan rezeki telah menyebelahi syarikat East Art Enterprise dengan memenangi Tempat Kedua bagi Kluster Kraf, Laman Kraf Tani Sdn. Bhd. juga turut memenangi Tempat Kedua bagi Kluster Hasil Rimba dan Barakaff Holdings Sdn. Bhd. telah mendapat Tempat Ketiga bagi Kluster Tekstil.

Bagi meraikan kemenangan tersebut, pihak Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Negeri Selangor) telah mengadakan satu majlis sebagai tanda penghargaan kepada usahawan yang telah diadakan pada 20 Disember 2013 yang lalu.

Kami amat bersyukur dan berdoa agar usahawan kami sentiasa dikurniakan kejayaan dan lebih tekun berusaha bagi menempa kejayaan di peringkat yang lebih baik. Kami juga mengambil kesempatan ini mengucapkan "Tahniah dan semoga maju jaya pada masa hadapan".

Isnin, 16 Disember 2013

INFO KRAF - TENUNAN SONGKET

 Sumber gambar - Manang Songket

Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kreativiti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.
 
Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan. Tenunan songket mula berkembang dibeberapa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

 Sumber gambar - Manang Songket


Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan. Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.

  Sumber gambar - Manang Songket

Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.

 Sumber gambar - Manang Songket

Tradisi menenun masih dapat dikekalkan tidak berubah sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenunan atau kek, motif dan ragamhiasnya serta cara menenun itu sendiri memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan hasil ciptaan zaman silam yang masih segar hingga ke hari ini.


Sumber - http://www.kraftangan.gov.my
Sumber gambar - http://authentique-terengganu.blogspot.com/2010/12/classy-songket-by-wan-manang-songket.html