Selasa, 31 Disember 2013

SELANGOR MUNCUL LAGI SEBAGAI JUARA SHOWCASE SDSI 2013...

Gambar kenangan semua pemenang Showcase SDSI 2014

Alhamdulillah dan syabas kami di KMCs ucapkan kepada usahawan kraf negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang telah menyertai Karnival Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Nasional 2013 dan telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SDSI 2013 dengan membawa pulang hadiah sebanyak RM125,000.00 pada  29 November hingga 1 Disember 2014 yang lalu.

Nampaknya, sudah dua tahun berturut-turut negeri Selangor telah muncul sebagai Juara Keseluruhan SDSI. Tiada kata yang mampu kami ungkapkan dan ucapkan melainkan sekalung tahniah serta berbangga dengan pencapaian usahawan SDSI kami yang telah menggondol beberapa hadiah dan turut menyumbang kepada kecemerlangan negeri Selangor.

Mengimbas kembali kejayaan usahawan SDSI negeri Selangor dan Kuala Lumpur pada tahun 2012 telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada usahawan syarikat Abas & Sal Batik yang telah menggondol dua hadiah iaitu Tempat Pertama bagi kategori Tekstil dan Hadiah Terbaik bagi kategori Produk Inovasi dan syarikat D'Or Rue telah memenangi Tempat Kedua bagi kategori Logam.

Pada tahun 2013 pula, sekali lagi tuah dan rezeki telah menyebelahi syarikat East Art Enterprise dengan memenangi Tempat Kedua bagi Kluster Kraf, Laman Kraf Tani Sdn. Bhd. juga turut memenangi Tempat Kedua bagi Kluster Hasil Rimba dan Barakaff Holdings Sdn. Bhd. telah mendapat Tempat Ketiga bagi Kluster Tekstil.

Bagi meraikan kemenangan tersebut, pihak Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Negeri Selangor) telah mengadakan satu majlis sebagai tanda penghargaan kepada usahawan yang telah diadakan pada 20 Disember 2013 yang lalu.

Kami amat bersyukur dan berdoa agar usahawan kami sentiasa dikurniakan kejayaan dan lebih tekun berusaha bagi menempa kejayaan di peringkat yang lebih baik. Kami juga mengambil kesempatan ini mengucapkan "Tahniah dan semoga maju jaya pada masa hadapan".

Tiada ulasan:

Catat Komen