Khamis, 15 Disember 2011

SATU DESTINASI KE SATU DESTINASI.......


 
Pua Indah Sdn Bhd

21 November 2011 (Selasa)

Kali ini destinasi kami bukan lagi ke Kampung Sungai Bumbun ataupun ke Kampung Sungai Kurau.... tetapi ke tempat usahawan sekitar Rawang.....membawa Pengarah KMCS bersama misinya untuk memantau usahawan.

Lawatan kerja ini turut disertai Pegawai dan Pengajar Kraf dari Unit Usahawan yang dipertanggungjawabkan dengan tugasan meninjau dan bertanyakan isu / pemasalahan yang dihadapi oleh usahawan KMCS sepanjang berkecimpung di dalam pengeluaran kraf, pandangan terhadap potensi bisnes dan potensi industri, kekangan / cabaran serta usul-usul penambahbaikan dan menangani pemasalahan. Tidak dilupakan KMCS meninjau persiapan usahawan yang terlibat di dalam mengeluarkan rekaan-rekaan baru serta produk-produk baru bagi Promosi Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2012. Perbincangan diadakan bagi mengenalpasti langkah-langkah untuk menangani setiap pemasalahan dan isu yang diutarakan.

  Koleksi hasil kerja Pua Indah Sdn. Bhd.

Destinasi dimulai dengan perjalanan ke bengkel kraf batik di Taman Bersatu Rawang yang dimiliki oleh En. Jaludin Bin Hj. Zaini. Sememangnya rekaan yang dihasilkan oleh En. Jaludin atau lebih mesra dengan panggilan Abang Din itu mempunyai identitinya sendiri sesuai dengan nama syarikat yang beliau miliki iaitu Pua Indah Enterprise. Justeru, rekaan batik beliau lebih tertumpu kepada rekacorak pua itu sendiri iaitu satu  rekaan yang berindentitikan motif dari Bumi Kenyalang Sarawak.

Beliau sekarang cuba mengaplikasikan teknik batik blok ke atas batik canting yang diilhamkannya. Kegigihan usaha yang digemblengkan dengan daya kretiviti tinggi, dilihat sebagai permulaan yang boleh membawa graduan lepasan IKN ini ke tahap yang lebih cemerlang, dengan sokongan promosi dan pemasaran dari Kraftangan Malaysia.

East Art Enterprise

Cantik sungguh hasil kerja tangan daripada East Art Enterprise

Selesai lawatan kami di bengkel pertama, kami bergerak pula ke destinasi yang lain pula, kali ini ke bengkel kraf logam iaitu East Art Enterprise dan D’Astek Craft yang terletak di Bukit Sentosa, Rawang Selangor. Rata-rata usahawan yang kami kunjungi telahpun membuat persiapan pengeluaran produk bagi HKK 2012. Bagi rekaan produk pula, kedua-dua syarikat logam ini mempunyai sasaran produk yang tersendiri dan rekaan  mereka juga tidak kurang hebatnya. Hasil ketukangan yang halus dan berkualiti telah menambat klien korporat, kerajaan dan istana. KMCS turut berbangga dengan pencapaian mereka!

Usahawan muda De' Astek Craft

 Di antara koleksi aksesori wanita keluaran De' Astek Craft

Selepas selesai di sana, kami bertukar destinasi pula ke satu lagi bengkel kraf logam yang bertempat di Bandar Tasik Puteri dan nama syarikat ini adalah Akar Emas Trading yang dimiliki oleh graduan Institut Kraf Negara (IKN) Raja An Nurul Hishamuddin. Bengkel ini baru sahaja berpindah ke tempat yang baru iaitu dari Selayang ke Rawang. Bengkel baru beliau kelihatan begitu kemas dan teratur, dan sememangnya boleh mendatangkan mood kerja yang baik. Syarikat Akar Emas Trading juga tidak ketinggalan menyediakan produk bagi HKK 2012. Beliau sempat berkongsi cerita tentang perancangan perniagaannya dengan nada perlahan tapi penuh berkeyakinan.

Pengarah dan beberapa pegawai Unit Usahawan bersama pemilik syarikat Akar Emas Trading

Berdasarkan pengamatan KMCS dan melalui temubual bersama pemilik syarikat, rata-rata mereka telah membuat persediaan  untuk HKK 2012 dengan menghasilkan rekaan-rekaan baru sebagaimana Kraftangan Malaysia kehendaki. Kesungguhan mereka menyahut seruan Kraftangan Malaysia ini melapangkan hati KMCS!

 Wah, cantiknya rantai ni...

Kami warga KMCS berdoa dan berharap agar apa juga yang dirancang oleh semua usahawan KMCS  akan mendatangkan kejayaan dan kebaikan untuk syarikat, Insya- Allah. SELAMAT MAJU JAYA!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan