Rabu, 30 Mei 2012

PENGHIJRAHAN SUATU KEPERITAN DAN KEBAHAGIAAN


Disediakan oleh Cik Sri Norhafeeza binti Abdul Razak / Rabu / 30 Mei 2012.


Penghijrahan itu merupakan suatu peralihan cara hidup yang kemudiannya akan memberi kesan pada masa hadapan. Hijrah itu sinonim dengan perkara yang akan membawa seseorang itu ke arah kebaikan bukan sebaliknya. Setiap keputusan untuk melakukan penghjrahan itu datangnya daripada hati yang inginkan kebaikan dalam diri atau ingin memperbaiki diri.

Bagaimanakah penghijrahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain itu boleh memberi kesan yang baik dalam kehidupan? Pada zaman Rasulullah s.a.w., Rasulullah diberi perintah oleh Allah s.w.t. untuk berhijrah ke Madinah, dan perintah itu ditaati semata-mata kerana Allah s.w.t.. Ancaman orang-orang kafir di tempat Baginda s.a.w., iaitu di Mekah bukanlah sebab utama penghijarahan itu berlaku, tetapi atas perintah Allah s.w.t. yang pasti banyak hikmah yang akan mendatangkan keuntungan kepada seluruh umat Islam secara keseluruhannya.

Keperitan dirasai ketika memulakan penghijrahan, namun kebahagiaan yang diimpikan pasti sedang menunggu jika penghijrahan itu dilakukan dengan  niat yang baik. Penghijrahan itu tidak akan berlaku seandainya keadaan pada waktu ini sudah aman, tenteram dan damai (dalam banyak aspek kehidupan). Tercetusnya tindakan seseorang itu untuk  berhijrah adalah disebabkan oleh kurangnya rasa bahagia di dalam hidupnya kini. Demi menuju kebaikan diri dan umat khususnya, maka hati yang benar-benar ingin mencari kebaikan di dunia ini pasti menjadi pemangkin seseorang itu untuk berhijrah demi menuju kebaikan.

Sesungguhnya apa yang telah kita miliki itu bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan lagi, kerana pasti, apa yang telah dimiliki oleh kita sekarang ini merupakan suatu ujian, iaitu ia akan mencerminkan diri kita sama ada kita mampu atau tidak untuk menghadapi ujian itu, walau apapun bidang yang diceburi di dalam dunia ini. Peluang itu berada di mana-mana sahaja, sama ada peluang untuk melakukan kebaikan atau peluang untuk melakukan keburukan, dan pelbagai lagi peluang yang sentiasa terbuka untuk diceburi di dunia ini. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah Al-Baqarah pada ayat terakhir;
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.” 

Jika apa yang kita ada sekarang ini telah kita yakini bahawa ia merupakan suatu ujian daripada Allah s.w.t., maka mengapa melakukan penghijrahan? Adakah ingin lari daripada ujian Allah s.w.t.? Jika dahulu penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda ke Madinah merupakan perintah daripada Allah s.w.t., maka adakah manusia pada zaman sekarang ini tidak boleh berhijrah kerana tiada perintah terus daripada Allah s.w.t. seperti hal penghijrahan Baginda s.a.w?

Kita melihat penghijrahan Nabi s.a.w. itu sebagai sesuatu yang telah terjadi dan telah kita ketahui kesannya, maka daripada itu kita melihat apakah makna sebenar penghijrahan. Penghijrahan yang kita fahami daripada peristiwa penghijrahan Nabi s.a.w. merupakan suatu perkara yang membincangkan hal hijrah yang lengkap dalam aspek kehidupan seharian.

Dalam kehidupan kita, ada hijrah yang dilakukan secara semula jadi atas usaha yang telah kita usahakan. Manakala ada penghijrahan yang dilakukan tanpa keadaan yang semula jadi, dan hijrah ini merupakan hijrah yang memeritkan diawalnya. Ia perit jika tindakan kita itu dinilai kesannya dengan penilaian yang berkaitan tentang perkara keduniaan, bukan penilaiaan yang bersandarkan keakhiratan.

Penghijrahan itu suatu perkara yang berat, setiap perkara yang dirasakan berat itu merupakan suatu bebanan, setiap bebanan yang kita rasai pula merupakan suatu ujian yang datang daripada Allah s.w.t.. Setiap ujian Allah s.w.t. itu bertujuan untuk mengesan keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya, setiap ujian yang kita hadapi itu hanya bertujuan untuk kebaikan diri kita, jika bukan di dunia, maka di akhiratlah kebaikan itu muncul. Sesungguhnya, hanya insan-insan yang sedar akan ujian itu diberikan kepadanya sahaja yang akan memahami bahawa ia bertujuan untuk kebaikan. Atas kesedaran itu, maka muncul pula tindakan untuk menggapai kebaikan di sebalik ujian yang dihadapi. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, hikmah itu perlu dicari, pencariannya haruslah bersama kesedaran yang mengiringi, dan setiap kesedaran itu harus berteraskan aqidah yang betul dan hakiki di sisi Allah s.w.t..


Sumber dari - http://muslimnetwork.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Komen