Isnin, 7 Mei 2012

RENUNGAN BERSAMA - JADILAH ANAK YANG TAHU MENGHARGAI DAN BERBAKTI KEPADA ORANG TUA

Catatan oleh Ustaz Muhammad bin Abdullah Al-Amin (Rancangan Usrah TV9)


Pada pertengahan tahun lalu, seorang Dato’ telah menghubungi saya meminta saya membantu satu perkara…. Seorang Atuk berumur 71 tahun, ditinggalkan oleh anak dan isterinya di hospital, tidak ada siapa yang ingin mengambilnya.

Saya berbincang dengan bahagian Rumah HIV Darul Ukhwah. Pada permulaannya, sahabat di rumah HIV agak berat untuk menerima kerana bebanan tugasan yang memang banyak, sedangkan Atuk ini, seorang yang tidak mampu mengurus diri, kencing dan beraknya perlu dibantu dan seminggu 3 kali dia memerlukan rawatan buah pinggang. 

Saya meminta sahabat saya, Ustaz Azmi mencarikan rumah orang tua bagi menempatkan Atuk ini, kebanyakkannya dikendalikan oleh orang bukan Islam, yang ada juga bayarannya agak mahal. Tapi saya faham kerana penjagaan orang tua memerlukan perhatian dan pekerja yang ramai, jadi kos penjagaan memang agak tinggi.

Apakan daya, kala itu kami tidak mempunyai kemampuan untuk membiayai atuk jika diletakkan di rumah orang tua.  Tapi percaturan Allah itu maha luas kerana dia Maha Pembela setiap hambanya…

Seminggu sebelum Dato’ ini menghubungi saya, datang seorang meminta kerja kepada saya. Pada permulaannya, saya ingin menempatkannya di pejabat saya di Shah Alam, tetapi oleh kerana Darul Ukhwah kekurangan staf, saya memintanya untuk bertugas di rumah HIV ini. Dia bersetuju dengan hati yang terbuka. 

Siapa tahu, rupanya kedatangannya adalah untuk menjaga Atuk yang sudah tidak upaya ini. Dia menjaga Atuk ini seperti ayahnya, kencing berak dibasuh hinggalah memandikan dan menyediakan segala keperluan Atuk ini. 

Itulah percaturan Allah…

“Ustaz, boleh tak minta TV, sebab kadang kala Atuk agak kesunyian,” kata penjaga Atuk. Isteri dan anaknya yang cuba dihubungi sama ada melalui telefon atau sms banyak tidak berjawab, barang kali sibuk dengan urusan harian…"

25 Ramadhan 1432, satu suasana yang agak tegang, penghuni Darul Ukhwah akan pulang bercuti. Saya ketika itu berada di tanah suci bagi umrah Ramadhan. Bagaimana Atuk? Kami cuba menghubungi keluarganya tetapi tidak ada yang mahu mengambilnya.

Keputusannya…

Penjaga Atuk di Darul Ukhwah dengan lapang hati menerima Atuk ini sebagainya ayahnya dan membawanya bersama pulang untuk hari raya. Tetapi, beberapa hari di kampung, Atuk jatuh sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital, barang kali agak sedih berada di sisi keluarga orang lain..

Selepas hari raya, semua penghuni Darul Ukhwah telah kembali, rumah perlindungan ini kembali meriah tetapi Atuk akhir-akhir ini banyak menangis…

13 September 2011, saya bermesyuarat dengan beberapa staf Darul Ukhwah termasuk penjaga Atuk. Saya mengajak penjaga Atuk keluar dan berbual dalam kereta supaya tidak didengari oleh yang lain hal-hal kekeluargaan yang agak sensitif.

“Macam mana keluarga Atuk? tanya saya.

“Masih tidak dapat dihubungi Ustaz, tapi saya dah dapat tahu kisahnya…”

Sepanjang di dalam kereta dari Petaling Jaya ke Shah Alam, penjaga ini bercerita kepada saya mengenai kisah Atuk dan keluarganya..

Saya hanya mendengar sambil sekali sekala memberikan pandangan untuk usaha selanjutnya…. 16 September 2011, saya pulang ke Johor untuk menziarahi keluarga di Johor, maklumlah, baru-baru ini saya beraya di Mekah, jadi tidak sempat menziarahi keluarga di sana. 

17 September 2011 jam 4.00 petang, saya bergerak pulang ke Selangor. Sampai di rumah jam 7.15 petang. Belum sempat mandi telefon saya berbunyi…

Saya memandang ke arah telefon saya…
“Dari Darul Ukhwah” bisik hati saya…
Saya mengangkat telefon, suara penjaga Atuk tersekat-sekat menangis…
““Ustaz, Atuk dah pergi..” kata penjaga ini.
“Innalillah wa Innailahi Rojiun..” spontan saya menyebut.
“Tak apa, tenang… saya sembahyang sekejap, nanti saya terus ke Darul Ukhwah..” kata saya.

Dalam perjalanan saya menghubungi kawan-kawan Atuk yang saya kenal termasuk Dato' yang meminta saya mengambilnya pada awal-awal dahulu… Sesampainya di Darul Ukhwah, saya melihat sekujur tubuh terbaring, diselimutkan dengan kain pelikat. 

Saya melihat wajah Atuk, air mata yang ingin jatuh saya cuba tahan. Baju lusuh berwarna biru yang sering Atuk pakai menjadi pakaian terakhirnya. Atuk baru sahaja lepas makan malam petang tadi. Dia banyak menangis. Selepas makan malam, biasanya dia akan mengiring ke arah dinding, merenung jauh. Hatinya pilu tapi apakan daya… Penjaga Atuk memegang Atuk bagi persiapan maghrib. Atuk tidak menyahut. Badan Atuk digoyangkan, tetapi Atuk tidak juga bergerak.

Doktor yang dihubungi telah datang dan mengesahkan bahawa Atuk sudah kembali kerahmatullah… Ramai orang yang datang, saya tidak tahu dari mana. Badan mereka agak tegap. Ada yang masih berpakaian seragam. Mereka adalah anggota polis. Dari yang berpangkat Tan Sri hinggalah Sarjan biasa, memenuhi ruangan rumah Darul Ukhwah…

Siapa Atuk sebenarnya? bisik hati saya…

Saya cuba menghubungi ahli keluarga Atuk. Barangkali cubaan terakhir, panggilan kali ini diangkat dan makluman pemergian Atuk sampai pada ahli keluarganya.. Jam 12 malam, ahli keluarga Atuk sampai. Mudah-mudahan anak Atuk menjadi anak yang soleh yang sentiasa mengirimkan pahala untuk Atuk sekalipun waktu hayatnya, Atuk sering tertunggu-tunggu mereka. Tidak sedikit orang yang menjadi anak soleh ketika kedua ibu dan ayahnya sudah tiada. Atuk akan dimandikan di masjid berdekatan.

Pagi itu masjid ini dipenuhi dengan anggota polis. Rupanya Atuk seorang yang hebat ketika hidupnya. Saya dimaklumkan dari anggota polis, bahawa, dia dan sahabatnya pernah bertempur dengan komunis di Jalan Kroh-Betong, Perak pada 17 Jun 1968 dan 17 anggota yang bersamanya gugur akibat pertempuran itu. Dia dan kawannya yang gugur patut diberi penghargaan..

Atuk selesai dikafankan. Saya mengimamkan jenazah Atuk. Inilah khidmat terakhir saya untuk Atuk. Tidak sangka, pertemuan di hospital beberapa bulan lalu berakhir dengan pemergian untuk selamanya.

Polis trafik menghidupkan seren motornya. Puluhan kereta mengiringi Atuk ke pusara, kebanyakkannya anggota polis, seakan mengiringi orang VIP di jalan raya. 

Atuk diletakkan ke lahad. Perlahan-lahan saya mengepalkan tanah untuk diletakkan di sisi Atuk. Saya mempersilakan Bahagian Agama Polis Diraja Malaysia membacakan talkin dan tahlil di pusara Atuk. Langit hari ini mendung, hujan gerimis turun mengakhiri penghormatan buat Atuk. Untuk ahli kelurga, takziah saya ucapkan…

Bagi kami di Darul Ukhwah, kami sayang Atuk, sesungguhnya beberapa bulan bersama kami di sini menjadikan atuk sebahagian dari keluarga kami.

Selamat bersemadi dengan tenang, semoga Allah terus merahmati Atuk.. al-Fatihah…


Coretan ini dikongsikan untuk renungan rakan-rakan blogger KMCS. Harapan dan doa kami agar kita semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Jadilah anak-anak yang tahu untuk menghargai dan berbakti kepada kedua orang tua yang telah bersusah payah membesarkan kita. Walaupun mereka telah tiada sekalinya, jangan kita sesekali lupa untuk menadah tangan memohon kepada Allah supaya diampunkan segala dosa-dosa mereka dan semoga mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh yang dijanjikan syurga-Nya, amin.

Tiada ulasan:

Catat Komen